Terkini
Aset lapangan terbang awam uzur, perlukan naik taraf segera dengan kos tinggi – PAC
- Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin. berkata, kemerosotan mutu perkhidmatan di pintu masuk utama negara berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan yang berlarutan sejak bertahun-tahun.
- “Kemerosotan mutu perkhidmatan pintu masuk utama negara khususnya siri kerosakan infrastruktur dan sistem operasi di lapangan terbang merupakan manifestasi nyata akibat kegagalan melaksanakan penyelenggaraan pemulihan dan pencegahan yang teratur selama bertahun-tahun serta kekurangan pelaburan modal
- “Aset dan infrastruktur lapangan terbang awam yang berada dalam keadaan uzur, memerlukan penambahbaikan segera dan menelan belanja yang tinggi.” katanya
KUALA LUMPUR – Aset dan infrastruktur lapangan terbang awam di negara ini berada dalam keadaan uzur serta memerlukan penambahbaikan segera yang menelan belanja tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin. berkata, kemerosotan mutu perkhidmatan di pintu masuk utama negara berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan yang berlarutan sejak bertahun-tahun.
“Kemerosotan mutu perkhidmatan pintu masuk utama negara khususnya siri kerosakan infrastruktur dan sistem operasi di lapangan terbang merupakan manifestasi nyata akibat kegagalan melaksanakan penyelenggaraan pemulihan dan pencegahan yang teratur selama bertahun-tahun serta kekurangan pelaburan modal
“Aset dan infrastruktur lapangan terbang awam yang berada dalam keadaan uzur, memerlukan penambahbaikan segera dan menelan belanja yang tinggi.” katanya dalam satu kenyataan bagi pembentangan Penyata PAC berhubung Pengurusan Lapangan Terbang Awam di bawah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurut beliau, keadaan itu turut menyebabkan MAHB berdepan cabaran untuk mengimbangi keperluan pelaburan dengan kepentingan pemegang saham kerana sebagai syarikat tersenarai, MAHB berdepan dengan konflik untuk memelihara kepentingan pemegang saham dan membiayai pertumbuhan masa depan.
Mas Ermieyati berkata, projek naik taraf Aerotrain yang melibatkan pembaharuan menyeluruh terhadap sistem kawalan, sistem kuasa, sistem siar raya, kamera litar tertutup, infrastruktur landasan dan kapasiti gerabak telah siap serta mula beroperasi pada 1 Julai 2025.
“Namun begitu, masih terdapat gangguan perkhidmatan yang berulang,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, sistem pengendalian bagasi pula masih berada dalam fasa naik taraf dengan MAHB sedang melaksanakan projek-projek bermodal berkeutamaan tinggi secara segera dan efisien.
Beliau turut memaklumkan Perjanjian Operasi (OA) baharu yang ditandatangani pada Mac 2024 memberikan ruang pembiayaan yang lebih luas kepada MAHB bagi menyalurkan perbelanjaan modal untuk kerja-kerja penambahbaikan serta pembesaran lapangan terbang.
Bagi memastikan tadbir urus dan kedaulatan negara terus terpelihara, Mas Ermieyati berkata PAC mengemukakan lapan syor utama untuk diambil tindakan segera oleh kerajaan dan agensi berkaitan.
Antara syor tersebut ialah supaya MOT dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mewajibkan MAHB melibatkan pemegang taruh industri, khususnya syarikat penerbangan tempatan, dalam proses perancangan awal pembangunan infrastruktur supaya kemudahan yang dibina memenuhi keperluan operasi sebenar.
Selain itu, PAC mengesyorkan MOF dan MOT mengarahkan MAHB mengemukakan laporan kemajuan fizikal serta laporan aliran tunai kewangan secara berkala bagi projek berimpak tinggi termasuk Aerotrain, sistem pengendalian bagasi (BHS) dan pembesaran lapangan terbang bagi memastikan tiada kelewatan atau ketirisan kos.
PAC turut mencadangkan laporan prestasi dan kemajuan projek modal kritikal itu dibentangkan secara berkala di Dewan Rakyat serta dikemukakan kepada PAC bagi membolehkan pengawasan dan semak imbang Parlimen dilaksanakan secara berterusan.
Dalam pada itu, MAHB turut disyorkan memperketatkan tatacara perolehan dan sistem saringan kontraktor dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), CAAM dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menghapuskan amalan kartel kontraktor yang tidak kompeten, sekali gus memastikan kegagalan kualiti kemudahan asas seperti kebocoran bumbung, kerosakan tandas dan kegagalan jambatan pemuatan penumpang tidak berulang. – The Merdeka Times