Terkini
Caruman industri mampu perkasa pembiayaan universiti awam – Prof Tan Sri Noor Azlan
- Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, universiti awam tidak boleh bergantung kepada yuran pengajian sebagai sumber pendapatan utama, sebaliknya perlu membangunkan model pembiayaan yang lebih pelbagai bagi memastikan institusi pendidikan tinggi terus mampan.
- “Saya harap kalau ada pihak kerajaan yang dengar, tolong ambil cadangan. Yang memanfaatkan universiti… Adakah wajar industri, macam HRDF itu, kita ambil sedikit supaya disumbang kepada universiti,” katanya ketika Forum Bicara Persada mengenai saluran terbuka universiti awam.
BANGI — Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali mencadangkan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan model pembiayaan baharu bagi memperkukuh kelestarian universiti awam, termasuk meneroka mekanisme caruman daripada sektor industri.
Beliau berkata, universiti awam tidak boleh bergantung kepada yuran pengajian sebagai sumber pendapatan utama, sebaliknya perlu membangunkan model pembiayaan yang lebih pelbagai bagi memastikan institusi pendidikan tinggi terus mampan.
“Saya harap kalau ada pihak kerajaan yang dengar, tolong ambil cadangan. Yang memanfaatkan universiti… Adakah wajar industri, macam HRDF itu, kita ambil sedikit supaya disumbang kepada universiti,” katanya ketika Forum Bicara Persada mengenai saluran terbuka universiti awam.
Menurut beliau, universiti yang mempunyai kepakaran dan keupayaan penyelidikan seharusnya menjana pendapatan melalui kekuatan akademik masing-masing, bukannya bergantung kepada peningkatan yuran pengajian.
“Saya juga merasakan bahawa universiti-universiti yang lebih terhadapan seharusnya berupaya menjana pendapatan bukan melalui yuran. Dengan kepakaran yang mereka ada. Tarik endowment dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, universiti bertaraf dunia lazimnya membina kekuatan kewangan melalui pelbagai sumber termasuk dana endowmen, sumbangan filantropi, penyelidikan dan kerjasama strategik, dan bukannya bergantung kepada yuran semata-mata.
Bagi menjelaskan perkara itu, Noor Azlan mengambil contoh Harvard University, namun menegaskan beliau tidak bermaksud Malaysia perlu meniru model universiti tersebut secara keseluruhan.
“Saya bagi contoh. Saya tak kata kita kena jadi macam itu,” katanya sebelum menghuraikan bahawa hanya sekitar 22 peratus hasil Harvard diperoleh daripada yuran pengajian, manakala sebahagian besar lagi disumbangkan melalui dana endowmen, filantropi dan penyelidikan.
Noor Azlan turut menegaskan beliau tidak melihat yuran pengajian, termasuk melalui saluran terbuka, sebagai sumber pendapatan utama universiti.
“Saya tidak nampak bahawa yuran adalah sumber pendapatan utama universiti terkemuka… Saya tidak nampak bahawa yuran terbuka inilah yang akan menjadi sumber yang paling utama,” katanya.
Beliau berkata terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh diterokai bagi memperkukuh kedudukan kewangan universiti, justeru perbincangan mengenai saluran terbuka tidak seharusnya dilihat sebagai satu-satunya penyelesaian kepada cabaran pembiayaan pendidikan tinggi.
“Saya tidak mengatakan saluran terbuka adalah satu-satunya cara. Banyak cara lain,” katanya.
Menurut Noor Azlan, perbincangan mengenai masa depan pendidikan tinggi perlu diteruskan secara terbuka melibatkan kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat bagi mencari pendekatan terbaik untuk menjayakan sistem pendidikan tinggi negara.
“Kerajaan berbincang, rakyat berbincang. Bagaimana kita dapat menjayakan pendidikan tinggi negara,” katanya.-The Merdeka Times