Connect with us

Terkini

Rain Rave Water Music Festival jana lebih RM392 juta pulangan ekonomi, tarik 415,000 pengunjung

Published

on

Foto: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
  • Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata festival utama yang berlangsung di Bukit Bintang di sini, menarik kira-kira 150,000 pengunjung domestik serta 100,000 pelancong asing antaranya dari China, Jepun, Bangladesh, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam, dengan anggaran pulangan RM320.43 juta kepada ekonomi negara.
  • Pada masa sama, beliau berkata penganjuran di Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Labuan dan Langkawi pula menarik kira-kira 165,000 pengunjung dengan anggaran pulangan ekonomi RM71.9 juta.
  • Mengulas lanjut, Tiong berkata kos penganjuran festival itu secara keseluruhannya sebanyak RM15 juta dengan RM11 juta merupakan sumbangan kerajaan, manakala RM4 juta daripada pihak swasta.

KUALA LUMPUR — Rain Rave Water Music Festival 2026 yang dianjurkan di bawah Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dianggarkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM392.33 juta dengan kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung secara keseluruhan, termasuk penganjuran di enam negeri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata festival utama yang berlangsung di Bukit Bintang di sini, menarik kira-kira 150,000 pengunjung domestik serta 100,000 pelancong asing antaranya dari China, Jepun, Bangladesh, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam, dengan anggaran pulangan RM320.43 juta kepada ekonomi negara.

Pada masa sama, beliau berkata penganjuran di Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Labuan dan Langkawi pula menarik kira-kira 165,000 pengunjung dengan anggaran pulangan ekonomi RM71.9 juta.

“Anggaran impak ekonomi ini dibuat berdasarkan data dan metodologi yang diguna pakai oleh Tourism Malaysia melalui Departing Visitors Survey (DVS) serta data sokongan daripada Jabatan Perangkaan (DOSM),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu sekiranya penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 menyumbang kepada pengukuhan pelancongan berasaskan acara, meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa serta mengekalkan keseimbangan antara elemen antarabangsa dan penghayatan budaya tempatan.

Tiong berkata festival berkenaan adalah sebahagian daripada strategi pelancongan berasaskan acara menerusi kerjasama antara Tourism Malaysia dan sektor swasta bagi menarik lebih ramai pelawat, meningkatkan perbelanjaan pelancong serta merancakkan ekonomi tempatan.

“Walaupun menampilkan hiburan moden bertaraf antarabangsa, festival ini turut menonjolkan persembahan muzik tradisional Malaysia, pertunjukan fesyen budaya, permainan tradisional dan makanan warisan dengan penglibatan penggiat seni tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tiong berkata kos penganjuran festival itu secara keseluruhannya sebanyak RM15 juta dengan RM11 juta merupakan sumbangan kerajaan, manakala RM4 juta daripada pihak swasta.

Beliau berkata setiap RM1 yang dibelanjakan kerajaan bagi penganjuran festival itu menghasilkan pulangan ekonomi sekitar RM36.

Katanya walaupun kerajaan boleh menjana sehingga RM75 juta hasil jualan tiket sekiranya mengenakan bayaran masuk RM300 seorang, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kemasukan percuma sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Pekerja, di samping mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang mempersoalkan kesesuaian penganjuran festival itu serta meminta pecahan terperinci perbelanjaannya, Tiong berkata program itu terbuka kepada pelawat antarabangsa dan domestik tanpa mengira kaum atau agama.– BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author