Connect with us

Terkini

Jalan ke arah Muafakat Nasional 2.0 masih ‘berliku’

Published

on

Foto: Pensyarah Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ayuni Mohd. Isa.
  • Pensyarah Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ayuni Mohd. Isa berkata, penyelesaian awal terhadap isu pembahagian kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) mestilah diberikan keutamaan sekiranya kerjasama tersebut ingin dijayakan.
  • “Perkara ini (pembahagian kerusi) perlu diselesaikan lebih awal bagi mengelakkan pertembungan yang boleh merugikan kedua-dua pihak.

KUALA LUMPUR – Masih banyak perkara rumit yang perlu diperhalusi oleh PAS dan UMNO sebelum sebarang keputusan rasmi dapat dimuktamadkan berkaitan kerjasama menerusi wadah Muafakat Nasional (MN) 2.0.

Pensyarah Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ayuni Mohd. Isa berkata, penyelesaian awal terhadap isu pembahagian kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) mestilah diberikan keutamaan sekiranya kerjasama tersebut ingin dijayakan.

Menurut beliau, pengalaman lalu membuktikan bahawa kawasan majoriti Melayu sering kali menjadi medan pertembungan sengit berikutan pertindihan kekuatan asas antara kedua-dua parti tersebut.

“Perkara ini (pembahagian kerusi) perlu diselesaikan lebih awal bagi mengelakkan pertembungan yang boleh merugikan kedua-dua pihak. 

“Dari sudut sokongan pengundi Melayu, kerjasama PAS-UMNO sememangnya berpotensi meningkatkan penguasaan undi kelompok itu serta memperkukuhkan kedudukan mereka di beberapa kawasan strategik,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini yang mengesahkan pemimpin parti itu dan UMNO mengadakan pertemuan malam tadi, ketika syor supaya MN 2.0 dijayakan sedang hangat diperkatakan.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci mengenai lokasi dan tujuan pertemuan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘pertemuan biasa’.

Mengulas lanjut, Ayuni bagaimanapun mengingatkan bahawa bebanan terbesar kini berada di bahu PAS untuk menyelesaikan beberapa perkara yang kritikal sebelum melangkah lebih jauh dengan UMNO.

Ini termasuklah memperjelaskan status hubungan serta bentuk kerjasama semasa mereka bersama Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN), menyusun semula strategi dan kepimpinan yang berkaitan dengan persiapan pilihan raya sebelum boleh menentukan hala tuju mutlak agenda MN 2.0.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin menghampiri,  Ayuni melihat faktor masa menjadi penentu paling utama sama ada gabungan berkenaan mampu direalisasikan ataupun tidak.

Beliau berpendapat, pembentukan kerjasama sebelum pilihan raya adalah jauh lebih efektif dan strategik berbanding sebarang rundingan pasca-pilihan raya kerana ia memberi ruang kepada jentera parti untuk menyelaraskan pembahagian kerusi secara tersusun.

“Rakyat juga dapat mengetahui lebih awal bentuk kerjasama yang diwujudkan, sekali gus mengelakkan kekeliruan ketika membuat pilihan dan memberikan keyakinan yang lebih jelas kepada pengundi di peti undi nanti,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan faktor geografi politik memperlihatkan dominasi yang sangat ketara bagi kedua-dua parti di negeri tertentu—dengan Johor yang cukup sinonim sebagai kubu tradisi UMNO, manakala Kelantan kekal sebagai kubu kuat PAS.

Dr. Ayuni merumuskan, sekiranya wujud toleransi politik yang tinggi dan kesediaan untuk bertolak ansur antara kedua-dua belah pihak di negeri-negeri dominan tersebut, model kerjasama MN 2.0 ini berpotensi besar untuk berjalan lancar. 

“Namun, jika sebaliknya berlaku, ia umpama mengharapkan panas sampai ke petang tetapi hujan di tengah hari,” katanya lagi.  – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author