Terkini
MARA : ‘Ini duit rakyat, bukan duit peribadi’ – Asyraf tegas kejar peminjam culas
- “MARA tidak akan sesekali berkompromi dengan peminjam yang sengaja culas. Ini bukan duit peribadi tapi duit rakyat. Arahan Majlis MARA kepada pihak pengurusan amat jelas, jangan dilayani surat-surat mohon pengecualian hatta daripada pihak-pihak berpengaruh walau setinggi mana kedudukan mereka,” – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
- Asyraf berkata, sejak beliau diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, usaha memburu peminjam culas sehingga ke peringkat mahkamah menjadi antara keutamaan bagi memastikan setiap sen wang rakyat yang dipinjamkan dapat dipulangkan semula.
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana peminjam yang sengaja culas membayar balik pinjaman, termasuk mengambil tindakan undang-undang sehingga ke peringkat mahkamah bagi memastikan wang rakyat dapat dikembalikan dan dimanfaatkan semula.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pinjaman yang disalurkan oleh agensi itu merupakan amanah rakyat dan setiap peminjam mempunyai tanggungjawab untuk melunaskan bayaran balik mengikut syarat yang telah dipersetujui.
Menurut beliau, tindakan MARA membawa kes peminjam culas ke mahkamah tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia merupakan sebahagian daripada usaha memastikan dana awam diurus secara berintegriti dan berhemah.
“Kalau namanya pinjaman bermakna wajib bayar. MARA tidak akan sesekali berkompromi dengan peminjam yang sengaja culas. Ini bukan duit peribadi tetapi duit rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Asyraf berkata, sejak beliau diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, usaha memburu peminjam culas sehingga ke peringkat mahkamah menjadi antara keutamaan bagi memastikan setiap sen wang rakyat yang dipinjamkan dapat dipulangkan semula.
Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis MARA telah mengarahkan pihak pengurusan supaya tidak melayani sebarang permohonan pengecualian bayaran balik pinjaman, termasuk daripada individu yang mempunyai pengaruh atau kedudukan tinggi.
“Arahan Majlis MARA kepada pihak pengurusan amat jelas, jangan dilayani surat-surat mohon pengecualian hatta daripada pihak-pihak berpengaruh walau setinggi mana kedudukan mereka,” katanya.
Menurut beliau, MARA tidak mempunyai hak untuk berkompromi atau memaafkan peminjam yang sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka kerana dana yang disalurkan merupakan wang amanah rakyat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa aspek disiplin kewangan menjadi antara komponen penting dalam agenda Transformasi MARA yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Katanya, transformasi tersebut bertujuan memastikan wang rakyat tidak disia-siakan atau mengalami ketirisan akibat kegagalan memahami amanah dan mandat yang diberikan kepada institusi berkenaan.
Asyraf menambah, pengukuhan disiplin kewangan dalam MARA penting bagi menjamin kesinambungan bantuan dan kemudahan pembiayaan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan pada masa hadapan.-The Merdeka Times