Connect with us

Terkini

Isu projek bangunan 40 tingkat di Pantai Cenang: Ahli Parlimen Langkawi sedia teliti pelan induk

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
  • Mohd. Suhaimi memaklumkan bahawa beliau akan mendekati Yang Dipertua majlis serta pegawai daerah berkaitan dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar serta status kelulusan mengenai perancangan pembangunan di di Tanjung Mali di Pantai Cenang dan Pulau Rebak Kecil, Langkawi.
  • “Saya akan lihat pelan induk (master plan) di kawasan-kawasan itu untuk tahu apa yang nak dibuat oleh pihak majlis dan autoriti,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
  • Beliau menambah, tindakan mendekati pihak pentadbiran daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting bagi membolehkannya meneliti secara terperinci setiap keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah sedia meneliti pelan induk (master plan) serta mendapatkan perincian lanjut daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung isu projek pembangunan di Tanjung Mali di Pantai Cenang dan Pulau Rebak Kecil, Langkawi yang dilaporkan menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.

Bercakap kepada The Merdeka Times, Mohd. Suhaimi memaklumkan bahawa beliau akan mendekati Yang Dipertua majlis serta pegawai daerah berkaitan dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar serta status kelulusan mengenai perancangan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Saya tak boleh nak komen satu benda yang saya tak tahu. Jadi saya nak kena kaji balik, nak kena tengok balik. 

“Saya akan lihat pelan induk (master plan) di kawasan-kawasan itu untuk tahu apa yang nak dibuat oleh pihak majlis dan autoriti,” katanya ketika dihubungi mengenai projek pembangunan yang dilaporkan membabitkan pengubahan zon tanah hutan kepada zon perniagaan dengan projek bangunan 40 tingkat serta pengubahan zon hutan, pertanian dan perairan di Pulau Rebak Kecil kepada zon perniagaan untuk pembangunan komersial.

Beliau menambah, tindakan mendekati pihak pentadbiran daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting bagi membolehkannya meneliti secara terperinci setiap keputusan yang telah dibuat sebelum ini. 

Langkah tersebut juga diambil sebagai persediaan untuk beliau memberikan maklum balas serta menjawab segala persoalan yang dibangkitkan komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dengan sewajarnya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa terdapat desakan disuarakan  penduduk tempatan dan komuniti Langkawi yang berkumpul di Pantai Cenang dengan slogan ‘Ambil Peduli, Sayang Langkawi, baru-baru ini bagi membantah peningkatan pembangunan yang didakwa tidak bertanggungjawab yang sedang berlaku di Pulau Langkawi.

Mereka mendakwa ia boleh memberikan impak kekal terhadap aspek warisan geologi, ekosistem marin serta sosio ekonomi penduduk di pulau peranginan berkenaan. 

Seterusnya, mereka mennggesa semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan digesa untuk segera campur tangan bagi menangani kebimbangan berhubung cadangan pembangunan di pesisir Pantai Cenang di Bukit Tanjung Mali, Langkawi. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author