Terkini
Malaysia terajui ekonomi global Islam, teratas dalam tiga sektor – Dinarstandard
- Menurut Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2025/2026, Malaysia juga menduduki tempat kedua dalam media dan rekreasi serta keempat dalam perjalanan mesra Muslim dan fesyen sederhana, mencerminkan kekuatan ekosistem ekonomi Islamnya yang meluas.
- “Dalam perdagangan, Malaysia mencatatkan pertumbuhan import tertinggi dalam kalangan 10 pengimport teratas berkaitan halal Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mencecah US$30.64 bilion, meningkat 12.41 peratus daripada tahun sebelumnya.
KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan kedudukan teratas dalam Global Islamic Economy Indicator (GIEI), berada di tempat pertama keseluruhan dan menerajui tiga daripada enam sektor iaitu makanan halal, kewangan Islam termasuk farmaseutikal serta kosmetik halal, kata firma penyelidikan DinarStandard.
Menurut Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2025/2026, Malaysia juga menduduki tempat kedua dalam media dan rekreasi serta keempat dalam perjalanan mesra Muslim dan fesyen sederhana, mencerminkan kekuatan ekosistem ekonomi Islamnya yang meluas.
“Dalam perdagangan, Malaysia mencatatkan pertumbuhan import tertinggi dalam kalangan 10 pengimport teratas berkaitan halal Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mencecah US$30.64 bilion, meningkat 12.41 peratus daripada tahun sebelumnya.
“Dalam kewangan Islam, Malaysia menyaksikan peningkatan 12 peratus dalam aset dan kenaikan 13 peratus dalam nilai dana Islam, di samping penerbitan sukuk Permodalan Nasional Bhd yang bernilai US$300 juta,” menurut laporan itu.
Ia juga meramalkan perbelanjaan ekonomi Islam global akan mencecah US$3.56 trilion menjelang 2029, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.5 peratus, manakala aset kewangan Islam berada pada paras US$5.99 trilion setakat 2024 dan diunjurkan menokok kepada US$9.72 trilion pada 2029.
Firma penyelidikan itu berkata fasa pertumbuhan seterusnya sedang dirangka sebagai pembinaan kedaulatan: pengukuhan rantaian nilai halal, piawaian pensijilan, pengeluaran tempatan dan serantau, infrastruktur kewangan Islam, platform digital serta kepercayaan pengguna bagi mengurangkan pergantungan dan membina kelebihan pasaran jangka panjang.
Penanda aras nasional laporan GIEI meletakkan Malaysia di tempat pertama, diikuti oleh Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi, Indonesia dan Bahrain, menekankan kepentingan ekosistem negara yang menggabungkan peraturan, kewangan, perdagangan, inovasi serta pembangunan sektor.
Ketua Pegawai Eksekutif dan rakan kongsi pengurusan DinarStandard Rafiuddin Shikoh berkata ekonomi Islam bukan lagi idea baharu tetapi merupakan sistem yang baru muncul.
“Gelombang pertumbuhan ekonomi Islam seterusnya akan diterajui oleh mereka yang boleh menukar permintaan pasaran kepada sistem, piawaian, infrastruktur amanah dan institusi yang mengurangkan pergantungan sambil meluaskan peluang,” tambahnya.
Laporan SGIE 2025/26 menyerlahkan isyarat peluang merentasi semua sektor utama, termasuk pensijilan halal yang didayakan kecerdasan buatan (AI), kebolehkesanan yang didayakan rantaian blok, kewangan Islam digital, platform perjalanan berdaulat, pendigitalan haji, farmaseutikal halal, kosmetik berlabel suci, fesyen yang sederhana selain media serta riadah yang sejajar dengan budaya.
“Secara bersama, isyarat ini menunjukkan kepada ekonomi Islam yang tidak lagi berkembang dengan bergantung kepada lonjakan dalam permintaan orang Islam tetapi disebabkan sistem yang diperlukan untuk memenuhi permintaan itu sedang dibina dengan lebih bermatlamat,” kata DinarStandard lagi.- BERNAMA