Connect with us

Terkini

Kerajaan disaran laksana reformasi SST, perkenal cukai karbon tangani ‘ketagihan minyak’

Published

on

Foto: Pakar Ekonomi, Prof Emiritus Dr Barjoyai Bardai.
  • Langkah ini jelas pakar ekonomi, termasuklah dengan melakukan reformasi menyeluruh terhadap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau melihat kepada kemungkinan pengenalan semula GST-lite, selain memperkasakan sektor ekonomi digital melalui pematuhan cukai yang lebih ketat menerusi pelaksanaan e-invoicing..
  • Pakar ekonomi juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan cukai baharu termasuk cukai karbon yang selaras dengan agenda Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global, di samping mempergiat usaha mengurangkan ketirisan cukai (tax leakage).

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melaksanakan reformasi struktur secara menyeluruh bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum negara yang kini berdepan dengan realiti yang mencabar.

Bercakap kepada The Merdeka Times, Pakar Ekonomi, Prof Emiritus Dr Barjoyai Bardai berkata, terdapat beberapa langkah strategik boleh dilakukan oleh kerajaan bagi menutup defisit fiskal secara mampan iaitu melaksanakan diversifikasi hasil bagi membolehkan negara keluar daripada ‘ketagihan minyak’. 

“Mengambil kira fakta semasa di mana hasil petroleum negara telah menurun kepada sekitar RM43 bilion dan dividen jatuh sebanyak 37 peratus hingga 38 peratus, kerajaan digesa untuk segera meluaskan asas cukai negara.

“Langkah ini termasuklah dengan melakukan reformasi menyeluruh terhadap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau melihat kepada kemungkinan pengenalan semula GST-lite, selain memperkasakan sektor ekonomi digital melalui pematuhan cukai yang lebih ketat menerusi pelaksanaan e-invoicing.” katanya ketika dihubungi.

The Merdeka Times hari ini melaporkan bahawa Malaysia tidak kehabisan sumber minyak mentah, namun realiti industri petroleum negara kini semakin mencabar apabila kebanyakan rizab baharu dikesan berada di kawasan laut dalam yang memerlukan teknologi lebih kompleks serta kos pembangunan jauh lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Barjoyai mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan cukai baharu termasuk cukai karbon yang selaras dengan agenda Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global, di samping mempergiat usaha mengurangkan ketirisan cukai (tax leakage). 

Langkah mengekang ketirisan itu tambah beliau, sebenarnya sudah mula dilaksanakan oleh pihak kerajaan menerusi pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS).

“Bagaimanapun, langkah-langkah reformasi ini tidak menolak kemungkinan adanya risiko tersendiri, terutamanya impak tekanan kewangan yang bakal dirasai oleh rakyat,” katanya lagi.

Justeru, beliau menegaskan adalah menjadi keperluan untuk memastikan mekanisme pelaksanaannya bersifat progresif bagi menjamin kebajikan golongan B40 sentiasa dilindungi.

Mengulas mengenai langkah rasionalisasi subsidi, beliau menjelaskan bahawa bantuan subsidi yang sebelum ini dibiayai oleh hasil minyak negara perlu ditransformasikan secara menyeluruh daripada sistem universal kepada bersasar. 

Usaha tersebut jelasnya, melibatkan peralihan daripada pendekatan semua pihak menikmati subsidi bahan api kepada pelaksanaan subsidi bersasar yang memfokuskan kepada golongan B40 serta kelompok bawah M40. 

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan memperketat disiplin perbelanjaan kerajaan dengan mengurangkan pelaksanaan projek-projek yang berimpak rendah. 

“Sebaliknya, perbelanjaan negara perlu dialihkan secara strategik untuk memberi fokus kepada sektor kesihatan, pendidikan, serta peningkatan produktiviti menerusi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  dan agenda digitalisasi. Setiap dana yang dikeluarkan mestilah mampu menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang tinggi kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia perlu melaksanakan reformasi struktur yang berorientasikan pertumbuhan (growth-driven) dan bukan lagi bersandarkan kepada sumber komoditi semata-mata (resource-driven). 

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah pula mencadangkan agar PETRONAS mula mengalihkan pelaburan ke dalam industri kecerdasan buatan (AI), robotik, dan pembuatan cip mikro yang dilihat jauh lebih menguntungkan demi masa depan negara.

Tegasnya, meskipun rizab minyak negara berpotensi untuk bertambah, namun proses berkenaan memerlukan sokongan teknologi canggih serta melibatkan implikasi kos yang sangat tinggi. 

Beliau turut mempersoalkan sama ada aktiviti eksplorasi di kawasan laut dalam sedemikian benar-benar mampu menambah pendapatan negara, memandangkan faktor harga minyak mentah dunia yang sentiasa tidak stabil dan kerap turun naik.

“Sehubungan itu, PETRONAS dicadangkan agar tidak bergantung kepada sektor minyak, sebaliknya melabur dalam industri AI, robotik, dan cip yang lebih menguntungkan dalam masa depan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author