Terkini
Ekuiti 50% Bumiputera: Kenyataan Guan Eng jejas imej DAP – Penganalisis
- Penganalisis politik dari UiTM, Dr. A. Aziz Azizam berkata, susulan tindakan Guan Eng tersebut, rakyat kini boleh menilai bahawa DAP sebenarnya mempunyai kepentingan tertentu.
- “Saya fikir ((kenyataan Guan Eng beri) impak kepada DAP. Kita rakyat boleh menilai bahawa DAP ini mempunyai mempunyai kepentingan tertentu, bukannya memiliki kepentingan nasionalis sepertimana yang mereka cuba gambarkan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Tindakan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah dilihat akan memberi kesan kepada persepsi rakyat terhadap parti tersebut.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. A. Aziz Azizam berkata, susulan tindakan Guan Eng tersebut, rakyat kini boleh menilai bahawa DAP sebenarnya mempunyai kepentingan tertentu.
Beliau berpendapat, pendekatan yang diambil oleh kepimpinan parti berkenaan memperlihatkan mereka tidak memiliki ‘kepentingan nasionalis’ sepertimana yang cuba digambarkan kepada umum sebelum ini.
“Saya fikir ((kenyataan Guan Eng beri) impak kepada DAP. Kita rakyat boleh menilai bahawa DAP ini mempunyai mempunyai kepentingan tertentu, bukannya memiliki kepentingan nasionalis sepertimana yang mereka cuba gambarkan. Jadi, mereka gagal dalam menilai kepentingan nasional dan juga kepentingan politik kuasa,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, meskipun menyifatkan kenyataan Guan Eng sebagai tidak memberi kesan secara langsung, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali bagaimanapun berkata, tindakan sedemikian mungkin boleh menimbulkan rasa tidak selesa dan kegusaran dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Pada saya, isu-isu berkait dengan kepentingan Bumiputera dan kepentingan orang Melayu itu adalah perkara yang perlu dibincang dalam saluran-saluran rasmi parti, bukan secara individu,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Guan Eng itu sekadar pandangan peribadi dan bukannya pendirian rasmi yang mewakili DAP.
Menurut beliau, situasi tersebut memperlihatkan kecenderungan segelintir pemimpin DAP yang tidak lagi berada dalam arus perdana untuk menyuarakan pandangan peribadi yang dilihat agak bertentangan dengan keputusan-keputusan dasar yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Saya melihat wujud sebilangan kepimpinan dalam DAP yang masih terikat dengan garis skrip politik lama parti itu. Oleh itu, kenyataan terbabit tidak seharusnya dianggap sebagai representasi rasmi DAP, sebaliknya ia lebih kepada pandangan peribadi kelompok yang masih menggunakan pendekatan lama,” katanya.
Beliau menambah, DAP pada hari ini telah bertransformasi menjadi sebuah parti yang lebih terbuka, sekali gus menuntut agar sebarang perkara sensitif yang berkait rapat dengan kepentingan Bumiputera tidak dibahaskan atau diperdebatkan secara terbuka kepada umum, sebaliknya disalurkan menerusi proses perbincangan dalaman yang lebih tertib.
Justeru, beliau berpendapat sebarang kenyataan individu daripada pemimpin terbabit tidak akan memberikan impak yang besar melainkan jika parti itu sendiri yang mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan.
“Dalam kerangka Kerajaan Perpaduan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), serta gabungan parti dari Sabah dan Sarawak, sudah wujud forum khusus untuk memperincikan sebarang isu sensitif, termasuklah hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Semua perkara ini sepatutnya diselesaikan secara dalaman,” jelas beliau.
Guan Eng sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Menurut Penasihat DAP itu, peningkatan syarat daripada 30 peratus kepada 50 peratus dilihat sebagai satu perubahan dasar yang perlu diteliti semula.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membatalkan peningkatan syarat tersebut kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada ekosistem pelaburan serta amalan urus niaga hartanah berskala besar di negara ini. – The Merdeka Times