Connect with us

Terkini

‘Haji ini bagi yang mampu, jika ada duit, pergilah. Tidak perlu subsidi’

Published

on

Foto: Tokoh industri umrah dan haji, Datuk Md. Daud Che Ngah.
  • Tokoh industri umrah dan haji, Datuk Md. Daud Che Ngah menegaskan, kecukupan simpanan peribadi dan rekod persediaan ilmu melalui kursus haji selama tiga tahun berturut-turut sepatutnya menjadi kayu ukur utama sebelum seseorang ditawarkan peluang ke Tanah Suci.
  • “Pada pandangan saya, bukannya saya tidak mahu menolong jemaah, tetapi saya rasa pemberian subsidi ini kurang sesuai. Kos haji adalah RM33,600, namun jemaah B40 hanya perlu membayar sekitar RM15,000 kerana disubsidi hampir separuh. Masalahnya di sini, mengapa kita perlu mengambil duit orang lain (pendeposit lain) untuk mencukupkan duit mereka? Syarat ‘istito’ah’ (kemampuan) bermaksud jemaah itu sendiri mempunyai wang yang cukup. Sebab itu saya galakkan simpanan sekurang-kurangnya RM23,000 ke atas,” jelas beliau.

KUALA LUMPUR – Langkah pemberian subsidi untuk mencukupkan simpanan jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci disifatkan sebagai ‘kurang sesuai’.

Sebaliknya, kriteria pemilihan bakal jemaah perlu kembali berpaksikan kepada prinsip syariat yang utama iaitu kemampuan atau ‘istito’ah’, khususnya dalam aspek kewangan.

Tokoh industri umrah dan haji, Datuk Md. Daud Che Ngah menegaskan, kecukupan simpanan peribadi dan rekod persediaan ilmu melalui kursus haji selama tiga tahun berturut-turut sepatutnya menjadi kayu ukur utama sebelum seseorang ditawarkan peluang ke Tanah Suci.

“Pada pandangan saya, bukannya saya tidak mahu menolong jemaah, tetapi saya rasa pemberian subsidi ini kurang sesuai. Kos haji adalah RM33,600, namun jemaah B40 hanya perlu membayar sekitar RM15,000 kerana disubsidi hampir separuh. Masalahnya di sini, mengapa kita perlu mengambil duit orang lain (pendeposit lain) untuk mencukupkan duit mereka?

“Syarat ‘istito’ah’ (kemampuan) bermaksud jemaah itu sendiri mempunyai wang yang cukup. Sebab itu saya galakkan simpanan sekurang-kurangnya RM23,000 ke atas. Kos itu hanyalah perbelanjaan asas di Arab Saudi, belum termasuk kos tambahan lain yang ditetapkan oleh Tabung Haji yang sentiasa berubah setiap tahun mengikut kos penerbangan dan perjanjian.

“Haji ini bagi yang mampu; jika ada duit, pergilah. Tidak perlu subsidi. Selain itu, faktor kesihatan juga penting,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times

Mengulas lanjut, Md. Daud turut mempersoalkan kelestarian model subsidi semasa yang kini dikatakan mencecah angka hampir RM200 juta setahun. 

Menurutnya, jumlah yang besar tersebut secara tidak langsung diambil daripada keuntungan perniagaan yang sepatutnya menjadi hak buat keseluruhan sembilan juta pendeposit Tabung Haji. 

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian mengenai laporan pembatalan jemaah pada saat-saat akhir yang merugikan kuota negara.

“Amat menyedihkan apabila kuota sudah ada tetapi pada saat akhir ada yang tidak dapat pergi, sedangkan ramai lagi orang lain yang mampu dan mahu pergi masih menunggu. Keadaan ini menyebabkan pembaziran kekosongan tempat duduk di dalam kapal terbang,” katanya lagi.

Beliau turut menitipkan nasihat agar umat Islam di Malaysia mengubah persepsi dengan menjadikan tabungan haji sebagai keutamaan melalui perancangan awal sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum berangkat bagi memastikan kriteria kesihatan dan kewangan benar-benar mencapai tahap ‘istito’ah’ yang sebaikrnya.

Seramai 514 orang daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia dilaporkan terpaksa menarik diri pada saat akhir sebelum berlepas ke Tanah Suci, kebanyakannya disebabkan masalah kesihatan dan faktor luar jangka.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, berkata antara punca utama penarikan diri itu termasuk kes kematian, kemalangan serta keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan jemaah meneruskan perjalanan ibadah. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author