Connect with us

Ekonomi

Halal Tourism cecah AS$300 Bilion, Malaysia di landasan jadi peneraju global

Published

on

  • Penganalisis ekonomi, Prof. Dr Abu Sofian Yaacob, berkata, pelancongan mesra Muslim yang dijangka meningkat sekitar 1.2 peratus setiap tahun bakal meletakkan Malaysia berada dalam posisi yang baik untuk menguasai sebahagian besar pasaran itu menjelang 2028.
  • “Unjuran peningkatan sekitar 1.2 peratus setiap tahun bagi pelancongan Islam meletakkan Malaysia pada posisi yang cukup strategik. 
  • “Jika kita mengekalkan momentum ini, Malaysia bukan sahaja akan menguasai sebahagian besar pasaran menjelang 2028, malah bakal menjadi penanda aras global bagi ekosistem pelancongan berteraskan nilai Islam,” kata beliau.

KUALA LUMPUR – Industri pelancongan mesra Muslim kini muncul sebagai antara segmen yang mencatatkan pertumbuhan paling pesat dalam sektor pelancongan global dan mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu utama ekonomi negara dalam mendepani tahun-tahun mendatang. 

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr Abu Sofian Yaacob, berkata, pelancongan mesra Muslim yang dijangka meningkat sekitar 1.2 peratus setiap tahun bakal meletakkan Malaysia berada dalam posisi yang baik untuk menguasai sebahagian besar pasaran itu menjelang 2028.

“Unjuran peningkatan sekitar 1.2 peratus setiap tahun bagi pelancongan Islam meletakkan Malaysia pada posisi yang cukup strategik. 

“Jika kita mengekalkan momentum ini dengan meningkatkan infrastruktur mesra Muslim, Malaysia bukan sahaja akan menguasai sebahagian besar pasaran menjelang 2028, malah bakal menjadi penanda aras global bagi ekosistem pelancongan berteraskan nilai Islam,” kata beliau ketika dihubungi The Merdeka Times.

Berdasarkan laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2024, jumlah pelancong Muslim di seluruh dunia dijangka melonjak sehingga 230 juta orang menjelang tahun 2028, dengan unjuran sumbangan ekonomi melampaui AS$300 bilion.

Dalam perkembangan ini, Malaysia terus mengukuhkan reputasinya apabila secara konsisten menduduki tangga pertama sebagai destinasi mesra Muslim terbaik di dunia. 

Pengiktirafan ini mencerminkan keupayaan negara dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan komprehensif yang memenuhi keperluan spesifik pelancong Muslim, sekali gus mengatasi prestasi negara-negara Arab dan negara Islam serantau yang lain.

Statistik menunjukkan peningkatan ketara pelancong Muslim dari rantau Timur Tengah, Indonesia, dan Asia Selatan yang memilih Malaysia sebagai destinasi utama mereka. 

Sementara itu, Abu Sofian yang juga Pensyarah kanan i-CATS University College, Kuching   menambah, Malaysia terus menjadi pilihan utama bukan sahaja atas faktor statusnya sebagai negara Islam, tetapi juga kerana ekosistem sokongan yang kukuh. 

“Ini termasuklah rangkaian restoran halal yang meluas serta akses mudah kepada ruang solat di pusat beli-belah, lapangan terbang, dan pusat pelancongan. Selain itu, penganjuran serta promosi festival Islam seperti Ramadan dan Aidilfitri turut menjadi daya tarikan yang “signifikan,” katanya.

Untuk rekod, bagi tahun 2023, Malaysia merekodkan kehadiran seramai 4.82 juta pelancong Muslim. 

Antara penyumbang utama kepada peningkatan ini adalah pelancong dari Indonesia, Brunei, Pakistan, Arab Saudi, dan Kazakhstan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author