Terkini
Malaysia jatuh ke tangga 95: Kebebasan media terus merosot
- Berdasarkan data tersebut, skor keseluruhan Malaysia turut menurun kepada 52.73 berbanding 56.09 pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan kemerosotan berterusan dalam tahap kebebasan media negara.
- Indikator sosial turut mencatatkan kejatuhan mendadak kepada 51.25 daripada 62.72, dengan RSF menyifatkan suasana wacana awam yang semakin bermusuhan serta ketidaktoleranan terhadap laporan sensitif sebagai antara faktor utama yang ‘mencengkam’ kebebasan media.
KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2026 terus merosot apabila jatuh tujuh anak tangga ke kedudukan ke-95 daripada 180 negara, menurut laporan terbaharu Reporters Without Borders (RSF).
Berdasarkan data tersebut, skor keseluruhan Malaysia turut menurun kepada 52.73 berbanding 56.09 pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan kemerosotan berterusan dalam tahap kebebasan media negara.
Kemerosotan ini dilihat sebagai lanjutan daripada trend penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kejatuhan lebih ketara sebanyak 34 anak tangga dalam kitaran laporan sebelum ini.
Menurut RSF, tekanan terbesar terhadap landskap kewartawanan Malaysia kini berpunca daripada faktor ekonomi dan sosial yang semakin membebankan operasi media serta kebebasan editorial.
Dari sudut ekonomi, skor Malaysia merosot ketara kepada 40.28 berbanding 48.67 tahun lalu, mencerminkan industri media yang semakin tertekan akibat kelemahan ekonomi sektor tersebut serta peningkatan kos pematuhan operasi.
Sementara itu, indikator sosial turut mencatatkan kejatuhan mendadak kepada 51.25 daripada 62.72, dengan RSF menyifatkan suasana wacana awam yang semakin bermusuhan serta ketidaktoleranan terhadap laporan sensitif sebagai antara faktor utama yang ‘mencengkam’ kebebasan media.
Indikator perundangan juga menunjukkan penurunan kepada 43.71, apabila undang-undang bersifat menyekat termasuk dasar keselamatan negara dan kawal selia media sosial didakwa terus digunakan bagi menghalang kerja-kerja penyiasatan oleh wartawan.
Namun begitu, indikator keselamatan mencatatkan peningkatan kepada skor 85.42, meletakkan Malaysia di tangga ke-69.
Walau bagaimanapun, RSF memberi amaran bahawa peningkatan ini tidak semestinya mencerminkan situasi sebenar, sebaliknya mungkin berpunca daripada amalan penapisan kendiri dalam kalangan pengamal media yang mengelakkan liputan isu sensitif.
Secara keseluruhan, laporan 2026 turut mendedahkan bahawa buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun, purata skor global bagi semua negara berada pada tahap terendah, dengan semakin banyak negara termasuk Malaysia terjerumus ke dalam kategori “sukar”.
Dalam konteks ini, kumpulan advokasi memberi amaran bahawa tanpa jaminan perlindungan yang lebih kukuh serta pembaharuan terhadap undang-undang yang menyekat, usaha pemulihan kebebasan media di Malaysia berisiko terhakis sepenuhnya.
Pengarah Editorial RSF, Anne Bocandé, menegaskan bahawa mekanisme perlindungan sedia ada masih belum mencukupi, malah undang-undang antarabangsa semakin dipinggirkan dalam suasana peningkatan tekanan terhadap media.
Beliau berkata, tindakan tegas termasuk jaminan perlindungan dan sekatan bermakna perlu dilaksanakan bagi memastikan kebebasan akhbar terus dipertahankan dalam menghadapi gelombang kecenderungan autoritarian yang semakin meluas.-The Merdeka Times