Connect with us

Terkini

Dikecam isu identiti, Shameera tepis persepsi sempit

Published

on

Foto: Shameera Nasreen Ahamed Noordeen
  • “Mesej saya jelas, identiti tidak wajar dipersempitkan oleh persepsi sempit atau ‘gatekeeping’ yang tidak berasas. Kaum dan agama adalah dua perkara yang berbeza, dan dalam realiti masyarakat kita, identiti sering bersifat pelbagai dan berlapis,” katanya dalam satu sesi temuramah bersama The Merdeka Times .
  • Shameera turut menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak berhak menentukan kelayakan seseorang untuk mewakili sesuatu kaum hanya berdasarkan pegangan agama semata-mata.
  • Beliau yang mewakili Majlis Belia India Malaysia (MIYC) ke sesi Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN ECOSOC) 2026 sebelum ini menjadi perhatian selepas ucapan beliau tular dan mencetuskan perdebatan mengenai identiti etnik serta agama.

KUALA LUMPUR – Aktivis muda yang mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa, Shameera Nasreen Ahamed Noordeen tampil menegaskan bahawa identiti seseorang tidak wajar dipersempitkan oleh persepsi sempit atau amalan ‘gatekeeping’ yang tidak berasas, susulan polemik yang timbul terhadap penampilan bertudung dan latar belakangnya.

Beliau yang mewakili Majlis Belia India Malaysia (MIYC) ke sesi Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN ECOSOC) 2026 sebelum ini menjadi perhatian selepas ucapan beliau tular dan mencetuskan perdebatan mengenai identiti etnik serta agama.

“Mesej saya jelas, identiti tidak wajar dipersempitkan oleh persepsi sempit atau ‘gatekeeping’ yang tidak berasas. Kaum dan agama adalah dua perkara yang berbeza, dan dalam realiti masyarakat kita, identiti sering bersifat pelbagai dan berlapis,” katanya dalam satu sesi temuramah bersama The Merdeka Times .

Shameera turut menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak berhak menentukan kelayakan seseorang untuk mewakili sesuatu kaum hanya berdasarkan pegangan agama semata-mata.

“Tidak ada satu pihak yang berhak menentukan siapa ‘cukup layak’ untuk mewakili sesuatu bangsa hanya berdasarkan pegangan agama. Pandangan seperti ini bukan sahaja tidak tepat, malah mengehadkan kefahaman kita terhadap kepelbagaian sebenar dalam masyarakat,”katanya.

Kontroversi tersebut tercetus apabila segelintir pengguna media sosial mempersoalkan identiti beliau yang bertudung, sehingga timbul tanggapan salah bahawa beliau bukan daripada komuniti India.

Mengulas lanjut, Shameera menyifatkan reaksi sedemikian sebagai berpunca daripada kecenderungan masyarakat membuat penilaian berdasarkan penampilan luaran tanpa memahami konteks sebenar identiti individu dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Menurutnya, komuniti India di Malaysia sendiri tidak bersifat homogen, sebaliknya merangkumi pelbagai latar belakang agama, budaya dan bahasa yang berbeza.

Beliau berkata, kekeliruan antara identiti agama dan etnik menunjukkan masih wujud kekurangan pendedahan serta kefahaman dalam kalangan masyarakat mengenai realiti kepelbagaian tersebut.

Dalam masa sama, Shameera menegaskan bahawa penyertaannya di platform antarabangsa harus dilihat dalam konteks yang lebih luas sebagai wakil Malaysia, bukan semata-mata terhad kepada identiti kaum tertentu.

“Platform seperti PBB adalah platform global. Peranan saya adalah membawa suara Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian dan nilai bersama yang kita miliki,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk beralih daripada pemikiran eksklusif kepada pendekatan yang lebih inklusif dan terbuka dalam menilai identiti seseorang.

“Identiti seseorang harus dihormati sebagaimana ia ditentukan oleh individu itu sendiri, bukan ditentukan oleh orang lain,” katanya.

Tambah beliau, jika Malaysia ingin membina masyarakat yang matang dan progresif, semua pihak perlu berhenti mengawal identiti orang lain dan mula memahami bahawa kepelbagaian adalah satu kekuatan, bukannya kelemahan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author