Terkini
Semua aliran pendidikan, UEC wajib ambil subjek BM, Sejarah dalam SPM – PM
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diyakini dapat merungkai kontroversi berpanjangan berkaitan isu bahasa Melayu, selain menamatkan polemik berhubung syarat kemasukan ke universiti awam.
- Menurut beliau, kerajaan menetapkan keperluan penguasaan bahasa Melayu selaras dengan kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia untuk semua sistem pendidikan dalam negara sehingga ke peringkat SPM.
- “Sama ada sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat atau aliran UEC, tanpa pengecualian pelajar diwajibkan mengambil peperiksaan bahasa Melayu SPM dan juga Sejarah Malaysia,” katanya.
PUTRAJAYA – Semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama, termasuk institusi yang menggunakan aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan menawarkan dan memastikan pelajar mengambil subjek bahasa Melayu serta Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diyakini dapat merungkai kontroversi berpanjangan berkaitan isu bahasa Melayu, selain menamatkan polemik berhubung syarat kemasukan ke universiti awam.
Menurut beliau, kerajaan menetapkan keperluan penguasaan bahasa Melayu selaras dengan kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk semua sistem pendidikan dalam negara sehingga ke peringkat SPM.
“Sama ada sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat atau aliran UEC, tanpa pengecualian pelajar diwajibkan mengambil peperiksaan bahasa Melayu SPM dan juga Sejarah Malaysia.
“Dengan kaedah ini, laluan mereka ke pendidikan tinggi tidak lagi menjadi isu atau kontroversi,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini hari ini
Anwar berkata, kerajaan bersedia menerima kepelbagaian aliran pendidikan asalkan syarat berkenaan dipatuhi, selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
“Penguasaan bahasa Melayu bukan sekadar boleh bertutur, tetapi perlu diperkasakan sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan penguasaan bahasa Inggeris juga perlu diberi penekanan serius sebagai bahasa kedua, dengan standard dan mutu pengajaran dipertingkatkan.
“Bahasa Inggeris tidak boleh diajar secara sambil lewa. Negara kita sebuah negara perdagangan dan penguasaan bahasa ini penting untuk masa depan anak-anak, khususnya dalam bidang transformasi digital, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan penguasaan ilmu di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata semua Sekolah Kebangsaan (SK) perlu menyediakan guru yang mencukupi bagi subjek teras dan pilihan termasuk bahasa Cina, Tamil dan Arab.
“Selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pelajar yang memilih untuk mempelajari bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab mesti diberi peluang sepenuhnya. Kementerian Pendidikan wajib menyediakan guru yang mencukupi.
“Kita berharap ketetapan ini dapat menamatkan polemik bahasa yang berlarutan dan membina sistem pendidikan yang lebih tersusun serta inklusif,” katanya. – The Merdeka Times