Antarabangsa
Perancis tutup institusi berkait Ikhwanul Muslimin, bubar dana wakaf, beku aset

- Kerajaan Perancis akan mengambil langkah baharu untuk tangani pengaruh Ikhwanul Muslimin di Perancis, termasuk pembubaran dana wakaf dan mekanisme pembekuan aset yang baharu.
- Kerajaan Perancis akan melancarkan kempen kesedaran awam mengenai Ikhwanul Muslimin di mana kakitangan hospital dan guru sukan akan menjadi antara sasaran utama.
- Persatuan sukan belia dilihat antara saluran utama Ikhwanul Muslimin menyebarkan nilai-nilainya, yang dianggap bertentangan dengan prinsip asas negara Perancis iaitu sekularisme.
PARIS – Kerajaan Perancis mengumumkan bahawa ia akan mengambil langkah-langkah baharu untuk menangani pengaruh Ikhwanul Muslimin di Perancis, termasuk pembubaran dana wakaf dan mekanisme pembekuan aset yang baharu.
Laporan rasmi setebal 74 muka surat mengenai Ikhwanul Muslimin “memerlukan cadangan yang lebih berani” daripada pihak kerajaan, menurut pejabat Presiden dalam satu kenyataan selepas mesyuarat peringkat tinggi bersama beberapa anggota kabinet, yang dilaporkan The National News.
Mesyuarat tersebut juga bertujuan mengukuhkan pelaksanaan undang-undang “anti-pemisahan” tahun 2021, yang telah membolehkan penutupan ratusan sekolah, perniagaan dan persatuan sukan yang disyaki mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin.
Menurut pejabat Presiden, Kerajaan Perancis akan melancarkan kempen kesedaran awam mengenai kumpulan ini menjelang pilihan raya perbandaran pada Mac 2026 di mana kakitangan hospital dan guru sukan akan menjadi antara sasaran utama.
Persatuan sukan belia dilihat sebagai antara saluran utama Ikhwanul Muslimin menyebarkan nilai-nilainya, yang dianggap bertentangan dengan prinsip asas negara Perancis iaitu sekularisme atau dikenali sebagai laïcité.
Presiden Emmanuel Macron berkata adalah penting untuk mengelakkan “perangkap berganda”, iaitu bersikap lurus dan mudah percaya kepada kumpulan itu, kemudian menyamakan semua orang Islam dengan ekstremisme.
Presiden Perancis itu telah mengarahkan barisan menteri untuk mengemukakan “cadangan baharu” selepas satu mesyuarat Majlis Pertahanan pada akhir Mei.
Mesyuarat itu diadakan berikutan laporan Kementerian Dalam Negeri yang memetakan pengaruh Ikhwanul Muslimin dalam masyarakat sivil Perancis dan Eropah. – The Merdeka Times
