Terkini
(VIDEO) Ada pihak bakar kebencian terhadap Rohingya?
KUALA LUMPUR — Terdapat gerakan yang seolah-olah sengaja ‘membakar api kebencian’ terhadap Rohingya, etnik minoriti Muslim yang melarikan diri dari penindasan dan kekejaman junta Myanmar, walaupun rakyat Malaysia pada awalnya antara negara yang menerima kehadiran Rohingya di atas dasar agama dan kemanusiaan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata beliau merasakan ada ‘rencana halus’ sedang dilakukan ke atas Rohingya daripada pihak dari negara asal kelompok minoriti itu.
“Kerana kita dapat maklumat, adanya satu gerakan kebencian terhadap Rohingya itu di mana saja mereka berada (akan timbul rasa benci itu).
“Jadi input dan sentimen itu mulai sampai ke Malaysia dan kemudian diuar-uarkan, di api-apikan. Kemudian ada pihak yang menangkap (memainkan sentimen) itu dan menggunakannya serta membuat tindakan-tindakan di luar undang-undang (bertindak sendiri).
“Sehingga menyerang rumah (pelarian Rohingya di Malaysia), menyerang kedai yang mereka cuba usahakan kemudian mengungkap (mengatakan) bahawa mereka ini kotor, mereka ini biadab mereka ini tidak sesuailah (untuk berada di Malaysia),” kata Cikgu Azmi dalam podcast Garis Krisis (GK) yang bersiaran di Youtube The Merdeka Times setiap Sabtu jam 8.30 malam.
Episod ketiga podcast terbitan Studio Merdeka itu mengupas topik, “Rohingya, Etnik Pelarian Yang Dibenci!” turut menampilkan Penyelaras MAPIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Fadhil Osman sebagai panelis dan dihoskan oleh wartawan & aktivis kemanusiaan, Syed Azwan Syed Ali.
Isu penindasan ke atas etnik Rohingya mula mendapat perhatian dan simpati masyarakat Malaysia selepas pembantaian ke atas etnik itu yang berlaku pada hujung 2012, di mana junta Myanmar dan kumpulan pelampau Buddha di negara itu dilaporkan membunuh, merogol, membakar rumah etnik Muslim dan masjid sebelum menghalau Rohingya secara besar-besaran dari wilayah Arakan (Rakhine) Myanmar ke Bangladesh dan negara sekitar.
Bagaimanapun, simpati itu bertukar kepada sentimen kebencian dan xenophobik apabila timbul insiden tidak menyenangkan antara penduduk tempatan dengan pelarian etnik Rohingya berada di negara ini, kemuncaknya ketika era pandemik COVID-19 pada 2020.
Sentimen negatif itu ‘disemarakkan’ dengan laporan yang mendakwa kononnya Rohingya merampas pekerjaan warga tempatan selain didakwa menuntut hak seperti warga negara, yang terbukti tidak benar. — The Merdeka Times