Antarabangsa
Pembunuhan tahun baru, Muslim Meitei di Manipur gesa pelaku ditangkap
Sekumpulan Muslim Meitei (Meitei Pangals) membentuk jawatankuasa tindakan bersama untuk membantu mangsa insiden pada Isnin lalu, di mana empat anggota masyarakat minoriti itu terbunuh dan 14 lain cedera di daerah Thoubal, Manipur, India.

- Sekumpulan Muslim Meitei (Meitei Pangals) membentuk jawatankuasa tindakan bersama untuk membantu mangsa insiden pada Isnin lalu, di mana empat anggota masyarakat minoriti itu terbunuh dan 14 lain cedera di daerah Thoubal, Manipur, India.
- Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Mohammed Sirajuddin, Hussain, Azad Khan dan Daulat.
- Dalam insiden yang berlaku pada jam 7.30 malam Isnin, antara 20 hingga 30 individu berpakaian seragam polis didakwa memasuki rumah Pangal di kawasan Lilong Chingjao daerah Thoubal, merompak wang tunai dan emas bernilai Rs 2 lakh.
- Penduduk tempatan cuba campur tangan, tetapi kelompok itu melepaskan tembakan ke arah penduduk Pangal, menyebabkan empat kematian dan lebih 14 cedera dalam insiden tahun baru itu.
- The Wire melaporkan Polis Manipur telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada Isnin membincangkan operasi carian di kawasan Thoubal, tetapi tidak menyebut tentang kematian empat individu Pangal.
Sekumpulan Muslim Meitei (Meitei Pangals) membentuk jawatankuasa tindakan bersama untuk membantu mangsa insiden pada Isnin lalu, di mana empat anggota masyarakat minoriti itu terbunuh dan 14 lain cedera di daerah Thoubal, Manipur, India.
Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Mohammed Sirajuddin, Hussain, Azad Khan dan Daulat.
Dalam insiden yang berlaku pada jam 7.30 malam Isnin, antara 20 hingga 30 individu berpakaian seragam polis didakwa memasuki rumah Pangal di kawasan Lilong Chingjao daerah Thoubal, merompak wang tunai dan emas bernilai Rs 2 lakh.
Penduduk tempatan cuba campur tangan, tetapi kelompok itu melepaskan tembakan ke arah penduduk Pangal, menyebabkan empat kematian dan lebih 14 cedera dalam insiden tahun baru itu.
Komuniti Meitei Pangals yang bertemu di Manipur pada Selasa, meluluskan resolusi menggesa kerajaan menangkap semua pesalah dalam tempoh 48 jam.
Mereka juga meminta kerajaan negeri Manipur menyerahkan kes itu kepada agensi anti-keganasan India, Agensi Penyiasatan Kebangsaan.
Komuniti Pangal juga membentuk jawatankuasa tindakan bersama diketuai Maulana Habibullah Sheikh untuk membantu mangsa insiden itu.
The Wire melaporkan Polis Manipur telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada Isnin membincangkan operasi carian di kawasan Thoubal, tetapi tidak menyebut tentang kematian empat individu Pangal.
Perintah berkurung telah dikuatkuasakan di daerah Thoubal.
Presiden Jamiat Ulama-i-Hind, Maulana Mahmood Asa’d Madani dilaporkan menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah dan Ketua Menteri Manipur, N.Biren Singh menggesa tindakan tegas terhadap pelaku jenayah kejam itu.
Beliau berkata tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk melindungi nyawa dan harta benda semua rakyat, menggesa siasatan kehakiman peringkat tertinggi terhadap punca kepada insiden itu, termasuk dakwaan cubaan peras ugut. – The Merdeka Times
