Connect with us

Terkini

PM digesa selesaikan isu tunggakan gaji 100,000 pekerja kontrak di sekolah – MTUC

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, digesa mengarahkan Kementerian Kewangan segera menyalurkan peruntukan bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji dalam kalangan pekerja di bawah kontrak kerajaan di sekolah seluruh negara.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

PM digesa selesaikan isu tunggakan gaji 100,000 pekerja kontrak di sekolah - MTUC
Foto: Pekerja kontrak pembersihan memegang sepanduk ketika tunjuk perasaan secara aman di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya bagi menuntut tunggakan gaji mereka pada 29 Mac lalu.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, digesa mengarahkan Kementerian Kewangan segera menyalurkan peruntukan menyelesaikan isu tunggakan gaji dalam kalangan pekerja di bawah kontrak kerajaan di sekolah seluruh negara.
  • Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, selepas mengambil kira tempoh tunggakan gaji dialami kira-kira 100,000 pekerja pembersihan dan kawalan keselamatan di sekolah, sejak 1 Mei 2022.
  • Kamarul Baharin turut mendesak campur tangan Anwar dalam isu pelarasan gaji minimum kepada golongan berkenaan yang mengakibatkan isu tunggakan gaji, dianggarkan bernilai antara RM900 hingga RM3,600 seorang.
  • Katanya, kegagalan pembayaran pelarasan gaji itu memberi mesej buruk terhadap kesungguhan bagi penyelesaian isu gaji minimum, sekali gus mewujudkan pertikaian berhubung kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu berkaitan golongan pekerja bawahan.
  • “Peruntukan baik pulih sekolah daif mula diagihkan minggu ini, tetapi tunggakan gaji pekerja kontrak kerajaan di sekolah masih tak dilayan. Membaiki tandas sekolah penting namun membayar tunggakan gaji pekerja yang membersihkan tandas adalah lebih baik dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, digesa mengarahkan Kementerian Kewangan segera menyalurkan peruntukan bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji dalam kalangan pekerja di bawah kontrak kerajaan di sekolah seluruh negara.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, selepas mengambil kira tempoh tunggakan gaji dialami kira-kira 100,000 pekerja pembersihan dan kawalan keselamatan di sekolah, sejak 1 Mei 2022.

Kamarul Baharin turut mendesak campur tangan Anwar dalam isu pelarasan gaji minimum kepada golongan berkenaan yang mengakibatkan isu tunggakan gaji, dianggarkan bernilai antara RM900 hingga RM3,600 seorang.

Katanya, kegagalan pembayaran pelarasan gaji itu memberi mesej buruk terhadap kesungguhan bagi penyelesaian isu gaji minimum, sekali gus mewujudkan pertikaian berhubung kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu berkaitan golongan pekerja bawahan.

“Peruntukan baik pulih sekolah daif mula diagihkan minggu ini, tetapi tunggakan gaji pekerja kontrak kerajaan di sekolah masih tak dilayan. Membaiki tandas sekolah penting namun membayar tunggakan gaji pekerja yang membersihkan tandas adalah lebih baik dan bermaruah.

“Mengikut kaedah Islam, gaji pekerja perlu dibayar sebelum peluhnya kering, namun selepas setahun berlalu pekerja masih mengharapkan bayaran tunggakan diberikan, terutama kepada waris yang berhak.

“Kerajaan perlu memastikan hutang dibayar dan sampai ke tangan setiap pekerja bawahan. Adakah bayaran tunggakan ini tidak diendahkan kerana membabitkan golongan pekerja bawahan?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH sebelum ini, melaporkan MTUC menggesa kerajaan menyediakan data kontraktor culas bagi menyelesaikan isu pembayaran pelarasan kadar gaji minimum, termasuk tunggakan secara terus kepada pekerja yang terkesan.

Tunggakan gaji setiap pekerja kontrak dalam perkhidmatan kerajaan itu terdiri daripada pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan mencecah RM3,600, sejak kadar gaji minimum baharu RM1,500 dilaksanakan 1 Mei 2022.

Dalam pada itu, Kamarul Baharin mengakui kecewa dengan tindakan Jabatan Tenaga Kerja yang hanya menunggu aduan daripada pekerja, biarpun telah maklum mengenai isu membabitkan pekerja di bawah kontrak kerajaan yang belum menerima pelarasan gaji berkenaan.

Katanya, tindakan proaktif bagi menyelesaikan masalah itu juga masih gagal dirangka biarpun ia sudah dibangkitkan MTUC dalam mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan serta Majlis Perundingan Gaji Negara, sebelum ini.

Beliau antara lain menyifatkan alasan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya kontraktor mendahulukan bayaran sebagai intimidasi kepada pekerja dan cubaan mengalihkan kesalahan berhubung kegagalan membayar gaji minimum kepada kontraktor.

“Apa pun alasan, pihak bertanggungjawab terhadap kegagalan bayaran gaji minimum, sama ada kontraktor atau kerajaan, pekerja bawahan yang menanggung derita atas kegagalan sistem kontrak ini.

“Kerajaan harus mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontraktor yang gagal membayar gaji minimum. Bon jaminan kontraktor perlu dirampas untuk membayar tunggakan gaji minimum.

“Tiada penjelasan konkrit mengenai alasan kementerian gagal menguatkuasakan dan mengarahkan bayaran tunggakan gaji minimum. Sikap saling menyalahkan antara kerajaan dan kontraktor menyebabkan pekerja teraniaya.

“Kementerian Sumber Manusia perlu memanggil kontraktor, MTUC, KPM dan Kementerian Kesihatan untuk berbincang jika berkeinginan mencari penyelesaian,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *