Terkini
Majoriti perniagaan Malaysia syarikat kecil, sukar untuk kenaikan gaji
Malaysia masih tidak dapat mencapai paras pendapatan benar per kapita daripada tahap yang sewajarnya memandangkan 97.4 peratus perniagaan di negara ini adalah dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
- Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME), sebuah badan pemikir perniagaan berpangkalan di Kuala Lumpur, Dr Carmelo Ferlito, berkata dari jumlah keseluruhan PKS itu, 78 peratus adalah perusahaan mikro dan ia sukarkan untuk menjamin mobiliti sosial, iaitu perubahan status sosial ke tahap yang lebih baik.
- “Kerajaan tidak boleh hanya naikkan gaji bagi cerminkan keadaan pasaran buruh. Selain penguasaan PKS, saya berpendapat Malaysia turut punyai lebihan bekalan graduan,” katanya.
- “Kita boleh tambah baik sistem gaji minimum yang ada seperti buat semakan secara berkala ikut kenaikan kadar inflasi, kenaikan kadar produktiviti atau tahap pendidikan rakyat. – Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin
KUALA LUMPUR: Malaysia masih tidak dapat mencapai paras pendapatan benar per kapita daripada tahap yang sewajarnya memandangkan 97.4 peratus perniagaan di negara ini adalah dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME), sebuah badan pemikir perniagaan berpangkalan di Kuala Lumpur, Dr Carmelo Ferlito, berkata daripada jumlah keseluruhan PKS itu, 78 peratus daripadanya adalah perusahaan mikro dan ia menyukarkan untuk menjamin mobiliti sosial, iaitu perubahan status sosial ke tahap yang lebih baik.
Beliau yang juga Felo Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, pekerjaan dalam perusahaan kecil tidak dapat menjamin paras kehidupan sosial yang lebih baik seperti gaji dan kebajikan.
“Kerajaan tidak boleh hanya menaikkan gaji bagi mencerminkan keadaan pasaran buruh. Selain penguasaan PKS, saya berpendapat Malaysia turut mempunyai lebihan bekalan graduan.
“Ini sekali gus mengurangkan nilai relatif mereka dalam pasaran,” katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian bagi bagi mengulas kenyataan Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi yang menyatakan bahawa penduduk di Malaysia masih tidak menikmati limpahan yang sepatutnya walaupun ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan kukuh 8.7 peratus.
Ini susulan terdapat tiga punca utama secara umumnya dan salah satunya adalah pendapatan benar per kapita yang masih rendah daripada paras sewajarnya berdasarkan unjuran daripada prapandemik, selain kelemahan ringgit serta langkah mengeluarkan tabungan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Berdasarkan perkiraan data yang ada, pendapatan benar per kapita Malaysia sepatutnya meningkat kepada kira-kira RM48,000 pada 2022, sebaliknya ia berada pada sekitar RM45,000.
Pada 2019, pendapatan benar per kapita Malaysia adalah sekitar RM43,000.
Mengulas lanjut, Ferlito berkata, faktor kedua yang menyebabkan limpahan ekonomi tidak dapat dirasai oleh rakyat negara ini adalah kerana Malaysia semakin kurang menarik minat pelabur asing.
Beliau berkata, keadaan itu mengehadkan kehadiran perniagaan besar asing yang biasanya mampu menawarkan tahap pekerjaan yang lebih baik jika dibandingkan dengan perniagaan mikro tempatan.
Justeru, katanya kerajaan harus berusaha ke arah menambah baik langkah menjalankan perniagaan di Malaysia.
“Selain itu, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menyokong integrasi dalam industri yang dapat mewujudkan konglomerat perindustrian lebih besar,” katanya.
Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan indikator yang sesuai untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif, bukan hanya sebagai fasilitator semata-mata tetapi bersama dengan sektor swasta untuk membina ekonomi yang lebih berorientasikan rakyat.
“Pendapatan, serta gaji rakyat perlu ditingkatkan. Ini isu asas. Ia perlu bermula dengan peningkatan gaji dalam sektor awam dan seterusnya diikuti dengan sektor swasta.
“Dalam hal ini, kerajaan perlu memainkan peranan aktif dalam memperkenalkan idea, formula dan kerangka baharu dalam membantu rakyat supaya mereka dapat merasai limpahan pembangunan negara,” katanya.
Irwan Shah berkata, bagi melaksanakan langkah yang mampu membantu rakyat, kerajaan disarankan memperkenalkan program Perkhidmatan Asas Universal (UBS).
Beliau berkata, UBS dapat memastikan rakyat terbela dari segi kebajikan, kesejahteraan, kualiti hidup dan juga tahap kebahagiaan.
Katanya, dari segi pendapatan dan gaji pula, banyak pilihan yang boleh dipertimbangkan.
“Kita boleh menambah baik sistem gaji minimum yang ada seperti membuat semakan secara berkala mengikut kenaikan kadar inflasi, mengikut kenaikan kadar produktiviti atau tahap pendidikan rakyat.
“Kita juga boleh memperkenalkan konsep gaji wajar. Selain itu, kerajaan juga boleh memperkenalkan model gaji progresif seperti dilaksanakan di Singapura,” katanya.
Sumber: Berita Harian