Connect with us

Terkini

Wakil belia India dipersoal kerana bertudung, MIYC tolak prejudis

Published

on

  • Majlis Belia India Malaysia (MIYC) tampil mempertahankan wakilnya ke pentas antarabangsa selepas seorang aktivis wanita muda, Shameera Nasreen Ahamed Noordeen menerima kecaman di media sosial susulan persoalan terhadap identiti etnik dan agamanya.
  • Kecaman tersebut berpunca daripada tanggapan bahawa Shameera, yang tampil bertudung dalam ucapannya, adalah seorang Melayu, sekali gus mencetus persoalan sama ada beliau layak mewakili komuniti belia India Malaysia.
  • “Kenapa seorang Melayu mewakili Belia India Malaysia?” soal seorang pengguna media sosial, manakala peguam Siti Kasim turut membangkitkan persoalan serupa dalam hantaran yang dikongsikan.

KUALA LUMPUR – Majlis Belia India Malaysia (MIYC) tampil mempertahankan wakilnya ke pentas antarabangsa selepas seorang aktivis wanita muda menerima kecaman di media sosial susulan persoalan terhadap identiti etnik dan agamanya.

Kontroversi tercetus apabila segelintir pihak mempersoalkan kelayakan Shameera Nasreen Ahamed Noordeen, 27, yang mewakili MIYC dalam sesi Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN ECOSOC) 2026 di New York, Amerika Syarikat.

Kecaman tersebut berpunca daripada tanggapan bahawa Shameera, yang tampil bertudung dalam ucapannya, adalah seorang Melayu, sekali gus mencetus persoalan sama ada beliau layak mewakili komuniti belia India Malaysia.

“Kenapa seorang Melayu mewakili Belia India Malaysia?” soal seorang pengguna media sosial, manakala peguam Siti Kasim turut membangkitkan persoalan serupa dalam hantaran yang dikongsikan.

Dalam ulasan lanjut, Siti turut mempersoalkan sama ada pengalaman komuniti India Muslim dan India bukan beragama Islam adalah sama, serta menegaskan wakil seharusnya menjelaskan skop perwakilan mereka dengan lebih jelas.

Bagaimanapun, MIYC menolak tanggapan tersebut dan menyifatkannya sebagai prejudis yang tidak berasas.

Exco Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Antarabangsa MIYC, Peshminder Pall Singh berkata, Shameera merupakan seorang India Muslim yang sah mewakili organisasi itu dan memegang jawatan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Wanita dalam majlis berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa MIYC tidak menentukan perwakilan berdasarkan agama atau penampilan, sebaliknya berasaskan keupayaan, sumbangan serta impak individu terhadap komuniti.

“Dalam kita berbangga dengan pencapaian beliau, adalah mengecewakan untuk membaca komen-komen yang memperkecilkan hanya kerana beliau memakai tudung,” katanya.

Menurut beliau, komuniti India di Malaysia sendiri bersifat pelbagai, merangkumi etnik seperti Tamil, Punjabi, Malayali dan Telegu, dengan identiti yang berakar pada warisan, bukan semata-mata agama atau pakaian.

Tambahnya, tindakan mempertikaikan identiti Shameera bukan sahaja tidak tepat, malah berisiko memecahbelahkan masyarakat yang sepatutnya disatukan atas dasar merit dan pencapaian.

“Daripada memecahbelahkan sesama kita, mari memilih untuk menyokong, memartabat dan melangkah ke hadapan bersama,” katanya.

Sementara itu, ucapan Shameera di pentas UN ECOSOC yang tular sebelum ini menekankan peranan majlis belia serta kerjasama dengan Kerajaan Malaysia dalam memperkukuh pembangunan belia di peringkat global.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author