Connect with us

Politik

Exco Kedah sanggah Teresa Kok: Pelancongan di Langkawi meningkat setiap tahun

Published

on

  • Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, berdasarkan data daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), jumlah kemasukan pelancong tidak pernah mencatatkan penurunan sejak tahun 2022.
  • “Jelas, setiap tahun jumlah pelancong ke Langkawi meningkat. Tidak ada penurunan seperti yang cuba digambarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah menyanggah dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung ‘kelesuan’ sektor pelancongan di Pulau Langkawi dengan menegaskan bahawa statistik rasmi menunjukkan trend peningkatan yang konsisten setiap tahun. 

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, berdasarkan data daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), jumlah kemasukan pelancong tidak pernah mencatatkan penurunan sejak tahun 2022.

Menurutnya, statistik menunjukkan kemasukan pelancong meningkat daripada 1,093,937 orang pada tahun 2021 kepada 2,581,605 orang pada tahun 2022, disusuli dengan 2,810,322 orang pada 2023 dan 2,904,629 orang pada 2024. 

“Pada tahun 2025 pula, sempena Tahun Melawat Kedah 2025, angka rasmi yang dicatatkan melonjak kepada 3,215,730 orang.

“Jelas, setiap tahun jumlah pelancong ke Langkawi meningkat. Tidak ada penurunan seperti yang cuba digambarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Teresa dilaporkan sebagai menggesa Pas dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh supaya berhenti menjadi ‘tukang bantah’ sebaliknya mengemukakan pelan alternatif yang konstruktif untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Teresa berkata, tindakan kedua-dua pihak yang berterusan menyerang penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 sebagai satu langkah ke belakang yang hanya akan membunuh industri pelancongan negara.

Malah, beliau turut memberi amaran keras supaya Kuala Lumpur dan Malaysia tidak menerima nasib yang sama seperti Pulau Langkawi, yang didakwanya kini semakin ‘lesu’ dan merosot akibat dasar sempit kerajaan pemimpin negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohd Salleh menegaskan, LADA merupakan agensi Kerajaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan terhadap pembangunan dan pelancongan Langkawi sehubungan itu, angka diberikan lembaga tersebut bukan dikeluarkan oleh agensi kerajaan negeri sebaliknya oleh agensi rasmi Persekutuan yang berautoriti.

Dengan peningkatan yang konsisten, katanya, tidak timbul soal kelesuan sektor pelancongan pulau berkenaan justeru, dakwaan sedemikian hanya membentuk persepsi negatif yang tidak berpijak kepada fakta.

Untuk rekod jelasnya, Kedah berada di tangga kelima tertinggi di Malaysia sebagai negeri tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa bagi tahun 2024, dengan jumlah kehadiran 6.9 juta pelancong berdasarkan angka rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Untuk makluman YB juga, DOSM bukan jabatan atau agensi negeri. Bagi tahun 2025, kita masih menunggu angka rasmi DOSM. Namun secara tidak rasmi, kita menjangkakan jumlah pelancong ke Kedah terus meningkat melebihi 7 juta orang.

“Justeru, saya sekali lagi menyeru YB Teresa Kok agar menyemak fakta sebelum berkata-kata dan berhati-hati sebelum berkongsi kenyataan,” katanya.

Menurutnya, Langkawi tidak lesu sebaliknya terus berkembang dengan Kedah terus menerima peningkatan kehadiran pelancong dari tahun ke tahun. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author