Connect with us

Terkini

Exco Kedah bidas Teresa, persoal peranan Kerajaan Persekutuan di Langkawi

Published

on

Foto: EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin.
  • Dalam satu kenyataan, Mohd Salleh berkata, Langkawi beroperasi dalam ekosistem yang berbeza sama sekali jika dibandingkan dengan destinasi pelancongan popular seperti Phuket dan Bali, dengan saiz, kapasiti dan kebergantungan yang lebih tinggi kepada dasar-dasar di peringkat Persekutuan.
  • Menurutnya, antara polisi yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan adalah kelulusan penerbangan, pembesaran lapangan terbang, insentif laluan antarabangsa, operasi dan tambang feri, kastam dan cukai, pelancongan kapal pelayaran, polisi visa dan kempen promosi pelancongan peringkat antarabangsa.

KUALA LUMPUR – EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin hari ini membidas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya terhadap sektor pelancongan di pulau Langkawi, sambil mempersoalkan peranan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan di pulau berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Mohd Salleh berkata, Langkawi beroperasi dalam ekosistem yang berbeza sama sekali jika dibandingkan dengan destinasi pelancongan popular seperti Phuket dan Bali, dengan saiz, kapasiti dan kebergantungan yang lebih tinggi kepada dasar-dasar di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, antara polisi yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan adalah kelulusan penerbangan, pembesaran lapangan terbang, insentif laluan antarabangsa, operasi dan tambang feri, kastam dan cukai, pelancongan kapal pelayaran, polisi visa dan kempen promosi pelancongan peringkat antarabangsa.

“Semua itu di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Bukanlah rahsia lagi bahawa antara halangan paling besar yang  menjejaskan usaha menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi adalah perkhidmatan ferinya.

“Ini bukan masalah baharu. Ia telah berulang kali dibangkitkan termasuk oleh kerajaan-kerajaan negeri yang terdahulu. Langkawi cukup sinonim dengan masalah ferinya. Tetapi apakah solusinya?” soalnya.

Jelas Mohd Salleh, beliau sendiri telah beberapa kali meminta supaya Kerajaan Persekutuan melakukan sesuatu supaya masalah perkhidmatan feri di Langkawi dapat diatasi secara tuntas. 

Yang terakhir, katanya, adalah di Persidangan DUN Kedah bulan lepas yang mana beliau menekankan bahawa  perkhidmatan feri di Langkawi seharusnya tidak terlalu berorientasikan komersial kerana ia merupakan keperluan asas penduduk pulau itu.

“Jika YB ikhlas untuk membantu memajukan Langkawi, tolong bawa perkara ini kepada rakan-rakan YB dalam kerajaan Persekutuan. Ia lebih baik daripada mengarang kisah-kisah keburukan Langkawi semata-mata atas sebab dan dorongan politik.

“Percubaan untuk mengaitkan isu pelancongan melalui serangan peribadi atau persepsi politik ke atas Menteri Besar Kedah, sebagaimana yang dilakukan oleh YB juga tidak membantu memperkukuh industri ini,” katanya.

Menurutnya, pelancongan adalah sektor ekonomi yang kompleks dan memerlukan pendekatan berasaskan data, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta strategi jangka panjang yang konsisten. 

Beliau menambah, menggunakan contoh acara tertentu sebagai ukuran tunggal kejayaan ekonomi juga merupakan pendekatan yang simplistik dan tidak mencerminkan realiti sebenar pembangunan pelancongan yang mampan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author