Connect with us

Terkini

Pengguguran GEG tidak bermakna ia dilupakan sepenuhnya – Dr Zaliha

Pengguguran peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG) daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan semalam tidak bermakna ia dilupakan sepenuhnya.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pengguguran GEG tidak bermakna ia dilupakan sepenuhnya - Dr Zaliha
Foto: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
  • Pengguguran peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG) daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan semalam tidak bermakna ia dilupakan sepenuhnya.
  • Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan lihat hasil RUU itu selepas diluluskan, dari segi kesan kepada anak-anak dan peratusan merokok sepanjang RUU dilaksanakan.
  • “Jika kita rasa ada keperluan untuk lihat kembali GEG ini, mungkin pada masa itu kita akan bawa kembali, tetapi saya tidak akan beri garis masa.
  • “Insya-Allah, kita tidak terus melupakan, cuma disebabkan pandangan begini (bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan), kita ketepikan dulu,” katanya pada Taklimat RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR: Pengguguran peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG) daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan semalam tidak bermakna ia dilupakan sepenuhnya.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat hasil daripada RUU itu selepas diluluskan, dari segi kesan kepada anak-anak dan peratusan merokok sepanjang RUU itu dilaksanakan.

“Jika kita rasa ada keperluan untuk lihat kembali GEG ini, mungkin pada masa itu kita akan bawa kembali, tetapi saya tidak akan beri garis masa.

“Insya-Allah, kita tidak terus melupakan, cuma disebabkan pandangan begini (bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan), kita ketepikan dulu.

“Kita utamakan apa yang menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Parlimen, semalam.

Di bawah RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam, peruntukan berkaitan GEG digugurkan.

Berdasarkan RUU sebelum ini yang lebih dikenali sebagai RUU GEG dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan itu yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Di bawah RUU baharu yang dibentangkan, mengikut Perkara 17 (1) larangan merokok, mengunyah atau menggunakan produk tembakau atau merokok apa-apa produk pengganti tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

Dr Zaliha berkata, selain GEG, peruntukan berkaitan “peranti merokok” turut digugurkan di bawah RUU baharu, yang mana ia sudah termaktub di bawah akta yang dikawal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Bagaimanapun, jika produk itu ada kaitan dengan definisi merokok, maka ia jatuh di bawah kawalan KKM, di bawah Fasal 7(1)f, iaitu mempromosikan apa-apa barang yang digunakan bersama dengan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

“Selain daripada itu, ia dikawal KPDN,” katanya.

Selain itu, peruntukan berkaitan laporan keberkesanan berkala yang perlu dibentangkan setiap lima tahun di Dewan Rakyat dan Dewan Negara turut digugurkan susulan pengguguran peruntukan GEG.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *