Terkini
Yasin sihat dan normal sejak 2013 – Pendakwaan
Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berada dalam keadaan sihat dan normal sejak 2013 selepas pihak pendakwaan mengemukakan laporan perubatan daripada tiga hospital yang pernah merawat selebriti itu sebelum ditangkap pada 24 Mac tahun lalu.
- Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berada dalam keadaan sihat dan normal sejak 2013 selepas pihak pendakwaan mengemukakan laporan perubatan daripada tiga hospital yang pernah merawat selebriti itu sebelum ditangkap pada 24 Mac tahun lalu.
- Kenyataan itu dinafikan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony yang menegaskan Yasin disahkan tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami kecelaruan bipolar (bipolar disorder) sejak 2009.
- Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata demikian ketika prosiding bela diri Yasin, 47, terhadap tiga kes dadah dihadapinya.
Petaling Jaya: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berada dalam keadaan sihat dan normal sejak 2013 selepas pihak pendakwaan mengemukakan laporan perubatan daripada tiga hospital yang pernah merawat selebriti itu sebelum ditangkap pada 24 Mac tahun lalu.
Bagaimanapun, kenyataan itu dinafikan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony yang menegaskan Yasin disahkan tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami kecelaruan bipolar (bipolar disorder) sejak 2009.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata demikian ketika prosiding bela diri Yasin, 47, terhadap tiga kes dadah dihadapinya.
Raja Zaizul Faridah ketika pemeriksaan balas terhadap saksi pembelaan itu berkata, tertuduh tidak hadir untuk mendapatkan rawatan pada tarikh janji temu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 23 Mei 2013 dan menggambarkan dia sudah sihat daripada penyakit berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan laporan kesihatan, Yasin menerima rawatan di hospital itu pada 7 hingga 10 Mei 2013.
Susulan itu beliau berkata, pihak hospital menetapkan tarikh janji temu untuk tertuduh hadir ke hospital namun dia gagal.
Raja Zaizul Faridah: Saya katakan, tertuduh sepatutnya hadir untuk janji temu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 23 Mei 2013 tapi dia tidak datang kerana dia berada dalam keadaan sihat?
Dr Ian: Tidak setuju.
Raja Zaizul Faridah: Melainkan, ada bukti lain yang dapat dikemukakan kepada mahkamah, saya cadangkan tertuduh sihat selepas tarikh itu, sehingga dia ditahan pihak polis pada 24 Mac tahun lalu.
Dr Ian: Tidak setuju.
Raja Zaizul Faridah: Disebabkan dia berada pada tahap normal, dia tidak pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dr Ian: Tidak setuju.
Saksi pembelaan itu juga menafikan laporan yang dikeluarkannya bersifat berat sebelah dan tidak menyeluruh.
Raja Zaizul: Saya cadangkan laporan doktor (saksi) adalah berat sebelah kerana hanya bergantung kepada ahli keluarga saja?
Dr Ian: Tidak setuju.
Raja Zaizul: Saya juga cadangkan laporan Yasin tidak menyeluruh kerana hanya memihak kepada tertuduh saja?
Dr Ian: Tidak setuju
Pakar psikiatri itu turut menafikan laporan pemeriksaannya bercanggah dengan laporan yang dikeluarkan oleh hospital lain yang pernah menjalankan pemeriksaan terhadap tertuduh.
Ketika sesi pemeriksaan utama oleh peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh, Dr Ian turut mencadangkan kepada mahkamah Yasin perlu menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar yang dialaminya.
Dr Ian berkata, tertuduh mengalami gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu.
Sehubungan itu, pakar psikiatri berkenaan membuat kesimpulan bahawa tertuduh tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami kecelaruan bipolar dan ‘hyperthyroidism’.
Menurut saksi pembelaan itu, hasil pemerhatian terhadap Yasin menunjukkan, pesakitnya berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian seperti yang didakwa dalam pertuduhan.
Dr Ian turut berpendapat, Yasin tidak waras dari segi perubatan sehingga kepada tahap dia tidak mampu untuk mengetahui tindakannya salah dan melanggar undang-undang.
“Kesimpulan ini terpakai bagi ketiga-tiga kejadian yang dinyatakan dalam pertuduhan,” katanya.
Sewaktu ditanya oleh Ariff Azami sama ada kecelaruan bipolar adalah penyakit keturunan, Dr Ian berkata, beberapa ahli keluarga rapat turut mengalami penyakit yang sama dengan Yasin.
Sementara itu, Yasin ketika ditemui di luar mahkamah mengesahkan, sepanjang berada di penjara beliau berjaya menyiapkan 13 lagu pelbagai genre sejak Mac tahun lalu.
“Keluar (bebas) nanti, saya akan rakam dan kongsikan dengan semua, malah ada terfikir juga mahu berkolaborasi dengan beberapa artis lain.
“Konsep lagu itu pula, masih terbuka dan akan ditentukan selepas dibebaskan kelak,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin bersambung pada 23 Oktober ini.
Sumber: Harian Metro