Terkini
Ramai tidak endah larangan merokok di premis makanan
Larangan merokok di kawasan awam membabitkan semua tempat makan di seluruh negara yang dilaksanakan sejak Januari 2019 kini dilihat semakin diabaikan oleh rakyat Malaysia.
- Larangan merokok di kawasan awam membabitkan semua tempat makan di seluruh negara dilaksanakan sejak Januari 2019 kini dilihat semakin diabaikan oleh rakyat Malaysia.
- Tinjauan di premis makanan seperti gerai makan dan restoran mamak sekitar ibu kota di Puchong, Setapak dan Cheras mendapati masih ramai lagi perokok tegar dengan selamba menghisap rokok dalam premis makanan.
- Notis larangan merokok dipasang di dinding premis makanan berkenaan seolah-olah hanya menjadi perhiasan dinding sahaja dan tidak dipedulikan perokok mahupun pemilik premis berkenaan.
- Perokok tetap mengingkari larangan berkenaan kurang daripada jarak yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu tiga meter daripada sebuah premis makanan beroperasi.
KUALA LUMPUR: Larangan merokok di kawasan awam membabitkan semua tempat makan di seluruh negara yang dilaksanakan sejak Januari 2019 kini dilihat semakin diabaikan oleh rakyat Malaysia.
Tinjauan di premis makanan seperti gerai makan dan restoran mamak sekitar ibu kota di Puchong, Setapak dan Cheras mendapati masih ramai lagi perokok tegar dengan selamba menghisap rokok dalam premis makanan.
Notis larangan merokok yang dipasang di dinding premis makanan berkenaan seolah-olah hanya menjadi perhiasan dinding sahaja dan tidak dipedulikan perokok mahupun pemilik premis berkenaan.
Perokok tetap mengingkari larangan berkenaan kurang daripada jarak yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu tiga meter daripada sebuah premis makanan beroperasi.
Pembantu kedai makan, Nur Wahidah Mohd Nooh, 28, berkata masih ramai yang datang ke gerainya yang dibuka seawal 7 pagi, merokok terutamanya selepas selesai sarapan dalam jarak larangan tidak dibenarkan merokok.
“Masa awal pelaksanaan larangan merokok di kawasan kedai makan tahun 2019 dulu ramai yang patuh tetapi selepas hampir empat tahun perkara itu semakin diabaikan.
“Kita nak nasihat pun tak sedap juga terutama pelanggan yang tidak kenal, tapi kalau pelanggan tetap memang pesanlah,” katanya kepada BH.
Pengurus restoran mamak yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 40, berkata pihaknya sentiasa mengingatkan pelanggan untuk mematuhi larangan merokok di premis makanan.
“Ada pelanggan yang mematuhinya ada juga yang tidak menghiraukan larangan terbabit. Tidak kurang juga ada yang memberi alasan tidak perlu risau kerana penguatkuasaan larangan merokok sudah tidak serius.
“Jika mahu dibandingkan pada awal pelaksanaan undang-undang larangan merokok berkenaan, kini perkara itu benar-benar dilihat seperti begitu diabaikan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman, berkata undang-undang larangan merokok yang dilaksanakan sejak 2019 itu kini dilihat gagal walaupun dasar itu adalah sesuatu perkara yang baik untuk Malaysia.
“Pada tempoh awal pelaksanaan dahulu kita sudah nampak ada penambahbaikan dan ada kesan positif atas pelaksanaannya, namun sekarang nampak semakin terhapus.
“Usaha baik berkenaan kerajaan perlu diteruskan tidak kira idea (dasar) itu daripada siapa pun dan kerajaan tidak perlu mencipta perkara baru, bahkan dasar yang sedia ada itu adalah yang terbaik, mungkin hanya perlu menambahbaik sahaja,” katanya.
Beliau berkata, tidak dinafikan penguatkuasaan larangan merokok berkenaan masih dilaksanakan oleh pihak penguat kuasa berkaitan, namun ia tetap dilihat seperti tiada apa yang berlaku.
“Jika tiada penguatkuasaan yang ketat dan berterusan yang berpanjangan, kita akan gagal. Dasar yang telah diluluskan Parlimen itu sudah bagus dilaksanakan, tapi daripada segi pelaksanaan penguatkuasaannya begitu lemah dan mendatangkan kegagalan.
“Mungkin pihak berkuasa boleh mengenakan saman kepada orang ramai yang ingkar terhadap larangan berkenaan dengan mengenakan saman yang berjumlah tidak mahal dan perlu membayarnya pada masa itu juga,” katanya.
Hukuman yang berat terhadap pesalah yang berulang perlu dilaksanakan supaya mereka itu serik dengan perbuatan mereka.
“Penguatkuasaan larangan berkenaan kita sudah gagal dan undang-undang yang sedia ada perlu diperbaiki. Kita perlu permudahkan undang-undang berkenaan tetapi pelaksanaan itu perlu ditegaskan.
“Tidak guna undang-undang tinggi melangit tetapi pelaksanaannya itu gagal dan kelaut,” katanya.
Sumber: Berita Harian