Connect with us

Ekonomi

Inflasi jejas kuasa beli pengguna, bukan kenaikan OPR – Penganalisis Ekonomi

Kenaikan luar jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak sepatutnya dijadikan ukuran kepada peningkatan kos beli atau sara hidup, sebaliknya perlu dilihat daripada sudut menangani inflasi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Inflasi jejas kuasa beli pengguna, bukan kenaikan OPR – Penganalisis Ekonomi
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kenaikan luar jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak sepatutnya dijadikan ukuran kepada peningkatan kos beli atau sara hidup, sebaliknya perlu dilihat daripada sudut menangani inflasi.
  • Penganalisis ekonomi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME), Dr Carmelo Ferlito, berkata inflasi adalah elemen yang sebenarnya banyak menjejaskan kuasa beli rakyat dan bukan OPR.
  • Beliau berkata, inflasi berpunca daripada dasar fiskal iaitu langkah kerajaan untuk menjana keupayaan rakyat supaya berbelanja dengan meluas bagi mengukuhkan ekonomi dan paras OPR yang rendah, sehingga menyebabkan berlaku kenaikan harga sekali gus menyukarkan kehidupan rakyat.
  • “Apa yang cuba dilakukan oleh BNM (Bank Negara Malaysia) ini adalah untuk menurunkan harga, supaya kos pinjaman yang meningkat harus dipenuhi dengan harga umum yang lebih rendah.”
  • “Inilah sebabnya alasan bahawa kesan domino (peningkatan harga makanan dan sewa premis) daripada kenaikan OPR sebenarnya tidak berasas,” katanya.

KUALA LUMPUR: Kenaikan luar jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak sepatutnya dijadikan ukuran kepada peningkatan kos beli atau sara hidup, sebaliknya perlu dilihat daripada sudut menangani inflasi.

Penganalisis ekonomi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME), Dr Carmelo Ferlito, berkata inflasi adalah elemen yang sebenarnya banyak menjejaskan kuasa beli rakyat dan bukan OPR.

Beliau berkata, inflasi berpunca daripada dasar fiskal iaitu langkah kerajaan untuk menjana keupayaan rakyat supaya berbelanja dengan meluas bagi mengukuhkan ekonomi dan paras OPR yang rendah, sehingga menyebabkan berlaku kenaikan harga sekali gus menyukarkan kehidupan rakyat.

Jelasnya, langkah menaikkan OPR sebenarnya adalah percubaan untuk meletakkan harga kembali terkawal dan oleh itu, ia bertujuan untuk melindungi kuasa beli rakyat.

“Apa yang cuba dilakukan oleh BNM (Bank Negara Malaysia) ini adalah untuk menurunkan harga, supaya kos pinjaman yang meningkat harus dipenuhi dengan harga umum yang lebih rendah.

“Inilah sebabnya alasan bahawa kesan domino (peningkatan harga makanan dan sewa premis) daripada kenaikan OPR sebenarnya tidak berasas.

“Dalam keadaan semasa, BNM melihat risiko inflasi masih tinggi dan memutuskan untuk menaikkan OPR. Ini adalah langkah yang perlu untuk mengeluarkan wang daripada sistem.

“Kadar faedah yang lebih tinggi bertujuan untuk menurunkan harga, bukan meningkatkan harga,” katanya.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan di luar jangkaan dengan menaikkan OPR 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Kenaikan OPR itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu telah dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.

Ferlito bagaimanapun berkata, OPR sendiri bukanlah satu-satunya elemen yang mampu mengawal harga tanpa ada langkah susulan seperti mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata, perkara ini adalah realiti ketika ini kerana skala sebenar inflasi masih tersembunyi oleh kawalan harga daripada subsidi.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling berkata menuju ke hadapan BNM dijangka mengekalkan OPR pada seluruh 2023.

Beliau berkata, dengan keputusan terkini yang diambil oleh bank pusat, ia mengisytiharkan telah ‘menamatkan rangsangan monetari yang bermatlamat untuk menangani krisis COVID-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi’.

Sungguhpun begitu, katanya BNM belum lagi menutup pintu untuk terus mengetatkan dasar apabila bank pusat memetik ada ‘keperluan untuk memastikan bahawa pendirian dasar monetari adalah sesuai untuk mengelak risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa akan datang’.

“Memandangkan BNM menilai bahawa pada paras semasa, pendirian dasar monetari adalah agak akomodatif dan kekal menyokong ekonomi, ia telah memberikan isyarat bahawa dasar monetari lebih longgar (penurunan OPR) tidak akan berlaku buat masa sekarang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *