Connect with us

Terkini

Sudah tiada ada apa milik Melayu barulah tidak angkuh? – Tun M soal Anwar

“Kerakyatan diberi kepada 1 juta pendatang tanpa memenuhi syarat dan mereka dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.”

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Sudah tiada ada apa milik Melayu barulah tidak angkuh? - Tun M soal Anwar
Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan).
  • Kenyataan Anwar Ibrahim disifatkan pelik serta ganjil kerana menghina golongan Melayu sebagai angkuh dan tidak bersikap seperti majoriti orang beragama Buddha di Kemboja yang meraikan minoriti Islam.
  • Orang Melayu sejak sebelum dan selepas Merdeka telah pun meraikan ramai kaum-kaum lain.
  • Kerakyatan diberi kepada satu juta pendatang tanpa memenuhi sebarang syarat dan mereka dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.
  • “Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu barulah tidak angkuh?” kata Dr Mahathir.
  • Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar kenyataan itu susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengingatkan masyarakat Melayu Islam di Malaysia agar tidak terlalu selesa dan angkuh menganggap kelompok minoriti lain tidak boleh diraikan untuk hidup bersama dalam sebuah negara.

KUALA LUMPUR — “Kerakyatan diberi kepada 1 juta pendatang tanpa memenuhi syarat dan mereka dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.”

Demikian kenyataan balas Tun Dr Mahathir Mohamad susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengingatkan masyarakat Melayu Islam di Malaysia agar tidak terlalu selesa dan angkuh menganggap kelompok minoriti lain tidak boleh diraikan untuk hidup bersama dalam sebuah negara.

Bekas Perdana Menteri itu, menyifatkan kenyataan Anwar sebagai pelik serta ganjil kerana menghina golongan Melayu sebagai angkuh dan tidak bersikap seperti majoriti orang beragama Buddha di Kemboja yang meraikan minoriti Islam.

Ini berikutan, pertamanya orang Melayu sejak sebelum dan selepas Merdeka telah pun meraikan ramai kaum-kaum lain.

Bahkan, kerakyatan diberi kepada satu juta pendatang tanpa memenuhi sebarang syarat dan mereka dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, golongan itu turut diberi hak mengundi dan wakil-wakil mereka dilantik menjadi menteri dan jawatan tertinggi lain di dalam kerajaan.

“Bukan seorang tetapi jika dikira dari sejak merdeka sehingga ke hari ini, sudah ratusan jika tidak ribuan jika dicampur semua jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen serta lain-lain jawatan penting,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Rabu.

Ekonomi negara juga jelas di dalam pegangan bukan Melayu dan yang menjadi bilionair lebih 90 peratus adalah bukan Melayu, katanya.

Malah, tokong-tokong besar dibina di pelbagai tempat sekitar Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah merasa terancam begitu juga dengan patung-patung keagamaan terbesar yang dapat didirikan di serata pelusuk Tanah Melayu.

Patung keagamaan yang diantara terbesar di dunia turut berada di Kelantan, di mana penduduk Melayunya melebihi 95 peratus.

Dr Mahathir, berkata bagaimanapun kerajaan pimpinan Perdana Menteri Melayu tidak membenarkan isu berkaitan dengan Melayu disiar kerana dianggap ia satu bentuk perkauman.

“Dahulu apabila saya kata Melayu malas ramai orang Melayu marah sedangkan tujuan saya untuk ingatkan bahawa kaum-kaum lain sudah menguasai hampir ke semua sektor ekonomi negara dan jika kita tidak rajin dan bangkit, kita akan hilang segala-galanya.

“Tetapi hari ini Datuk Seri Anwar kata Melayu angkuh dan tidak mahu raikan kaum lain sedangkan orang Melayu sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk kaum-kaum lain sehingga bahagian untuk orang Melayu sudah hampir lupus.

“Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu barulah tidak angkuh?” kata Dr Mahathir. — The Merdeka Times

Sumber: Facebook Dr. Mahathir bin Mohamad

Author