Terkini
(VIDEO) Perbandingan agama tidak boleh sembarangan – Pakar Rujuk Akidah
Perbandingan agama dibolehkan tapi bukan dilaksanakan secara sembarangan kerana ia perlu disertakan dengan disiplin ilmu, demikian kata Pakar Rujuk Akidah, Dr Aizam Mas’ud di Facebook pada Khamis.

- Pakar Rujuk Akidah, Dr Aizam Mas’ud di Facebook pada Khamis berkata jika perbuatan itu dilakukan tanpa disiplin ilmu maka ia bukanlah perbandingan agama sebaliknya membanding-bandingkan agama tanpa ilmu.
- Bukan semua Muslim dituntut mendalami perbandingan agama hanya mereka berkeahlian boleh terlibat dalam bidang itu.
- Orang awam yang hidup dalam sebuah negara majmuk, memadai bagi mereka dididik dengan fiqh al-ta’ayush atau fiqh berinteraksi dengan agama lain.
- Di Malaysia toleransi masyarakat Islam terhadap penganut agama lain boleh dikatakan membanggakan.
- “Selagi mana agama Islam dan institusinya dihormati, kes-kes ketidakharmonian terhadap agama lain hanyalah kes-kes terpencil yang tidak mewakili majoriti umat Islam di Malaysia.
- “Jadi tidak perlulah pihak tertentu cuba “mengajar” umat Islam agar menjadi “lebih toleran” mengikut versi mereka seperti yang cuba dilakukan “Mentega Terbang”, sambutan Hari Agama Sedunia dan “projek-projek” tertentu atas nama Perkara 11.”
KUALA LUMPUR – Perbandingan agama dibolehkan tapi bukan dilaksanakan secara sembarangan kerana ia perlu disertakan dengan disiplin ilmu, demikian kata Pakar Rujuk Akidah, Dr Aizam Mas’ud di Facebook pada Khamis.
Katanya, jika perbuatan itu dilakukan tanpa disiplin ilmu maka ia bukanlah perbandingan agama sebaliknya ia tindakan membanding-bandingkan agama tanpa ilmu.
Beliau menjelaskan perbandingan agama merupakan salah satu dari disiplin dalam ilmu usuluddin di mana seorang Muslim yang ingin mendalami perbandingan agama, perlu faham asas-asas aqidah Islam merangkumi ketuhanan (ilahiyyat), kenabian (nubuwwat) dan perkara ghaib (alam akhirat/ghaibiyyat).
View this post on Instagram
“Kemudian perlu belajar ilmu perbandingan antara kumpulan teologi Islam (al-mazahib wal firaq) supaya dia mampu mengenal antara ajaran Islam yang sahih daripada yang sesat.
“Jika ajaran Islam yang dipegang sendiri tidak betul, bagaimana mungkin membandingkannya dengan agama lain?” katanya.
Terdahulu, filem indie Mentega Terbang yang disiarkan di platform Viu bermula Januari lalu telah dialih keluar susulan dikritik hebat kerana kandungannya yang didakwa mempersendakan agama dan bertentangan akidah.
Filem itu mengisahkan Aisyah, 16, yang mengkaji kitab suci pelbagai agama untuk mencari jawapan tentang kehidupan selepas mati dan tertarik pada kepercayaan kelahiran semula.
Dr Aizam berkata, bukan semua Muslim dituntut mendalami perbandingan agama kerana hanya mereka yang berkeahlian sahaja boleh terlibat dalam bidang itu.
Katanya, bagi orang awam yang hidup dalam sebuah negara majmuk, memadai bagi mereka dididik dengan fiqh al-ta’ayush atau fiqh berinteraksi dengan agama lain.
Justeru, beliau melihat naratif yang cuba dibawa sesetengah pihak seolah-olah umat Islam tidak toleran kerana gagal memahami doktrin agama lain adalah tidak tepat.
“Dalam Islam, bagaimana toleran sekalipun kita dengan agama lain, ia tidak akan mengubah aqidah kita meletakkan Islam sebagai satu-satunya agama yang haq, manakala agama lain itu batil.
“Namun, iktikad kita yang menyakini kebatilan agama lain itu tidaklah menghalang kita untuk bersikap toleran, adil dan menghormati kepercayaan mereka,” katanya.
Beliau berkata di Malaysia toleransi masyarakat Islam terhadap penganut agama lain boleh dikatakan ia membanggakan.
Ini berikutan, masyarakat Islam di sini dilihat beliau tidak pernah menentang hak penganut agama lain membina tempat ibadat, melakukan ritual mahupun merayakan perayaan mereka sebagaimana termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Ini adalah sikap toleransi yang tinggi ditunjukkan Muslim sejak sekian lama, sekalipun mereka tidak didedahkan dengan ilmu perbandingan agama.
“Selagi mana agama Islam dan institusinya dihormati, kes-kes ketidakharmonian terhadap agama lain hanyalah kes-kes terpencil yang tidak mewakili majoriti umat Islam di Malaysia.
“Jadi tidak perlulah pihak tertentu cuba “mengajar” umat Islam agar menjadi “lebih toleran” mengikut versi mereka seperti yang cuba dilakukan dalam “Mentega Terbang”, sambutan Hari Agama Sedunia dan “projek-projek” tertentu atas nama Perkara 11,” katanya yang juga merupakan seorang penulis.
Terbaharu, media melaporkan keterangan penerbit, enam pelakon dan pengarah filem Mentega Terbang telah dirakam di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Kes tersebut disiasat oleh USJT, D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Aizam Mas’ud

You must be logged in to post a comment Login