Terkini
Harga semua bahan mentah makanan meningkat pada Februari lalu
Harga bagi semua bahan mentah makanan meningkat pada Februari 2023 jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya.

- Harga bagi semua bahan mentah makanan meningkat pada Februari 2023 jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya.
- Penganalisis MIDF Research, Genevieve Ng Pei Fen, berkata gula mentah mendahului kenaikan dengan peningkatan sebanyak 9.8 peratus, disebabkan oleh jangkaan bekalan gula global lebih rendah pada 2023.
- “Dalam pada itu, impak harga gula mentah lebih tinggi dijangka mampu diuruskan oleh pengeluar makanan berikutan beberapa pelarasan harga yang dibuat pada tahun lalu, yang berkemungkinan lebih daripada dapat menampung peningkatan kos,” katanya.
KUALA LUMPUR: Harga bagi semua bahan mentah makanan meningkat pada Februari 2023 jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya.
Penganalisis MIDF Research, Genevieve Ng Pei Fen, berkata gula mentah mendahului kenaikan pada bulan lalu dengan peningkatan sebanyak 9.8 peratus, disebabkan oleh jangkaan bekalan gula global lebih rendah pada 2023.
Beliau berkata, ini disusuli oleh kenaikan kecil sebanyak 1.5 peratus harga gandum, yang sebahagiannya disebabkan oleh cuaca kering di beberapa wilayah Amerika Syarikat (AS) dan Argentina, menyebabkan output lebih rendah.
Sementara itu, katanya harga minyak sawit mentah (MSM) naik sedikit 0.9 peratus pada bulan Februari disebabkan penurunan output di Malaysia dan larangan eksport berterusan di Indonesia.
“Secara keseluruhan, harga purata gandum dan MSM bagaimanapun turun sejak 12 bulan lalu, memanfaatkan syarikat pengeluar makanan seperti Hup Seng Industries dan Nestle Malaysia.
“Dalam pada itu, impak harga gula mentah lebih tinggi dijangka mampu diuruskan oleh pengeluar makanan berikutan beberapa pelarasan harga yang dibuat pada tahun lalu, yang berkemungkinan lebih daripada dapat menampung peningkatan kos,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagi ternakan pula, Pei Fen berkata harga purata ayam pada Januari 2023 kekal tinggi pada RM10.30 sekilogram berbanding RM9.48 sekilogram pada bulan sama tahun lalu dan RM8.40 sekilogram pada Januari 2021.
Bagi telur ayam, beliau berkata harga telur Gred B mencatatkan kenaikan tahunan tertinggi iaitu 9.6 peratus diikuti oleh telur Gred C (8.2 peratus) dan telur Gred A (6.8 peratus).
“Secara keseluruhan, harga ayam dan telur Gred A, B dan C kekal tinggi berbanding dengan tahun sebelumnya, disebabkan oleh kos input lebih tinggi berpunca daripada kenaikan harga makanan haiwan serta kos buruh,” katanya.
Pei Fen menambah, kos makanan haiwan kekal tinggi pada 2023, disebabkan oleh harga jagung dan kacang soya yang lebih tinggi.
Sebagai perbandingan tahunan, beliau berkata bahawa kenaikan 2.5 peratus harga jagung adalah disebabkan oleh penurunan output global, termasuk pengeluaran lebih rendah dari AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Argentina.
Harga kacang soya pula, katanya meningkat 25.1 peratus berbanding setahun lalu disebbakan oleh kebimbangan penurunan bekalan kacang soya global, terutamanya kerana pengeluaran yang rugi dan hasil rendah bagi tanaman di Argentina.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan harga jagung dan kacang soya akan kekal tinggi dalam jangka terdekat ini.
“Digabungkan bersama kenaikan kos buruh dan harga siling runcit berterusan bagi ayam dan telur, margin pengeluar ayam akan kekal sempit,” katanya.
Di sebalik kenaikan harga Pei Fen berkata MIDF Research kekal yakin dengan sektor pengguna disebabkan oleh kestabilan pasaran pekerjaan yang menyokong perbelanjaan domestik, ketibaan pelancong lebih tinggi yang menyokong jualan runcit dan perbelanjaan luar rumah, selain margin lebih baik bagi pengeluar makanan dan minuman (F&B) disokong oleh harga komoditi serta ringgit lebih kukuh.
Sumber: Berita Harian
