Connect with us

Terkini

Harga bahan binaan meningkat

Indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan kayu untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan pada Februari 2023 berbanding bulan sebelumnya.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Harga bahan binaan meningkat
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan kayu untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan pada Februari 2023 berbanding bulan sebelumnya.
  • Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan 1.5 peratus berbanding Januari 2023, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.
  • “Antara penyumbang utama kenaikan harga bagi pasaran simen adalah peningkatan kos pengeluaran seperti peningkatan harga bahan mentah iaitu batu kapur, arang batu dalam proses pembakaran, tenaga dan kos penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

PUTRAJAYA: Indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan kayu untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan pada Februari 2023 berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan 1.5 peratus berbanding Januari 2023, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.

Beliau berkata, harga bijih besi dijangka kekal tinggi didorong oleh keyakinan terhadap permintaan besi pada masa hadapan di China.

“Mining.com juga melaporkan bahawa peningkatan berterusan permintaan perindustrian di China, peningkatan permintaan daripada sektor penggunaan besi hiliran serta harga bahan mentah yang kukuh terutamanya bijih besi, juga telah menyokong permintaan besi di pasaran.

“Menurut Persatuan Keluli Dunia melalui Tinjauan Jangka Pendek (SRO) bagi 2022 and 2023, permintaan besi pada tahun 2023 dijangkakan dengan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus.

“Tambahan pula, ‘The Global Steel Outlook 2023’ diterbitkan oleh Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 dalam pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

DOSM mengeluarkan perangkaan Indeks Kos Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan & kawasan dan indeks harga seunit bahan binaan utama.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata simen yang menjadi elemen penting dalam industri pembinaan dihasilkan menggunakan campuran batu kapur dan tanah liat turut mencatatkan kenaikan harga.

Katanya, indeks harga seunit simen meningkat 1.9 peratus pada Februari 2023 berbanding Januari 2023.

“Antara penyumbang utama kenaikan harga bagi pasaran simen adalah peningkatan kos pengeluaran seperti peningkatan harga bahan mentah iaitu batu kapur, arang batu dalam proses pembakaran, tenaga dan kos penghantaran,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 ‘high tensile deformed bars’ adalah RM3,653.26 bagi setiap tan metrik, meningkat 1.5 peratus berbanding bulan sebelumnya iaitu RM3,599.37 per tan metrik.

Katanya, purata harga simen (Ordinary Portland) turut mencatatkan peningkatan 1.5 peratus iaitu RM21.99 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM21.66 bagi setiap 50 kilogram pada Januari 2023.

“Selain itu, Indeks Kos Binaan (tanpa bar keluli & termasuk bar keluli) bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan di antara 0.3 dan 4.1 peratus pada Februari 2023 berbanding pada bulan sebelumnya. Peningkatan indeks yang tertinggi adalah cerucuk kayu.

“Bagi Sabah pula, IKB tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli menunjukkan peningkatan bagi hampir keseluruhan kategori bangunan antara 0.8 dan lapan peratus pada Februari 2023 berbanding pada bulan sebelumnya. Peningkatan indeks yang tertinggi adalah bangunan (konkrit tetulang) satu tingkat di Sandakan.

“Manakala, IKB tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli di Sarawak menunjukkan peningkatan iaitu di antara 0.1 dan 1.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali di Miri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *