Antarabangsa
Pemerhati rejim Israel ‘dihalau keluar’ dari Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika
Delegasi pemerhati apartheid rejim Israel ‘dihalau keluar’ dari Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika (AU) di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa pada Sabtu lalu, lapor Middle East Eye.
- Delegasi pemerhati rejim apartheid Israel ‘dihalau keluar’ dari Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika (AU) di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa pada Sabtu lalu.
- Seorang pegawai AU memberitahu AFP individu terbabit “diminta keluar” berikutan tidak dijemput menghadiri mesyuarat itu, selain jemputan juga tidak boleh dipindah milik di mana ia hanya dikeluarkan kepada Aleli Admasu, Duta Israel ke AU.
- Kementerian Luar Israel mendakwa insiden itu didorong “negara ekstrem” Algeria dan Afrika Selatan yang menjadikan AU sebagai “tawanan” dan “dikuasai Iran”.
- Mengulas dakwaan Israel, Jurucakap Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Vincent Magwenya memberitahu AFP bahawa, “Mereka (rejim Israel) mesti mengesahkan dakwaan itu.”
Delegasi pemerhati apartheid rejim Israel ‘dihalau keluar’ dari Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika (AU) di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa pada Sabtu lalu, lapor Middle East Eye.
Sebuah video dikongsi dalam talian menunjukkan Timbalan Pengarah Bahagian Afrika di Kementerian Luar Israel, Sharon Bar-Li diiringi keluar pada majlis perasmian konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu.
Seorang pegawai AU memberitahu AFP individu terbabit “diminta keluar” berikutan tidak dijemput menghadiri mesyuarat itu, selain jemputan juga tidak boleh dipindah milik di mana ia hanya dikeluarkan kepada Aleli Admasu, Duta Israel ke AU.
Bagaimanapun, akhbar Israel Haaretz, yang memetik pegawai diplomatik tidak dinamakan mengatakan Bar-Li mempunyai kebenaran sewajarnya untuk menghadiri sidang kemuncak itu dan perbincangan sedang diadakan bagi membolehkannya kembali.
Kementerian Luar Israel mendakwa insiden itu didorong “negara ekstrem” Algeria dan Afrika Selatan yang menjadikan AU sebagai “tawanan” dan “dikuasai Iran”.
“Kami menyeru negara-negara Afrika untuk menentang tindakan ini yang membahayakan Kesatuan Afrika sebagai sebuah organisasi dan benua secara keseluruhan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Mengulas dakwaan Israel, Jurucakap Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Vincent Magwenya memberitahu AFP bahawa, “Mereka (rejim Israel) mesti mengesahkan dakwaan itu.”
Algeria dan Kesatuan Afrika bagaimanapun tidak segera mengulas mengenai kejadian itu.
Israel memperoleh status pemerhati AU pada 2021 selepas 20 tahun usaha diplomatik, dalam keputusan yang mewujudkan keretakan dalam blok 55 anggota itu.
Sebelum ini, Israel memegang peranan dalam Pertubuhan Perpaduan Afrika (OAU) tetapi sering digagalkan dalam percubaan untuk mendapatkan semula kedudukan itu selepas OAU dibubarkan pada 2002 dan digantikan AU.
Sumber : Middle East Eye