Terkini
KKM digesa ambil kira aspek agama dan moral dalam pemberian PrEP
Pelaksanaan projek rintis penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) yang diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa berisiko menggalakkan perkembangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia.

- Gesa KKM teliti semula pendekatan pemberian PrEP secara permintaan yang tujuan kurangkan risiko penularan jangkitan HIV. – Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahya
- Tegasnya, KKM sepatutnya ambil kira aspek agama dan moral dan berunding dengan JAKIM dan Jabatan Mufti negeri, sebelum laksanakan pemberian ubat HIV kepada umum.
- “Kerajaan juga perlu gubal satu dasar bagi melakukan sekatan terhadap platform media sosial, sama ada berpangkalan dalam atau luar negara mengandungi unsur LGBT.”
- “Selain itu, kerajaan perlu memperkukuh dasar berkaitan institusi kekeluargaan bagi kurangkan pengaruh gelombang LGBT yang masuk ke dalam negara,” katanya.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek rintis penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) yang diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa berisiko menggalakkan perkembangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia.
Sehubungan itu, Dato’ Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) menggesa KKM meneliti semula pendekatan pemberian PrEP secara permintaan yang bertujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Tegasnya, KKM sepatutnya mengambil kira aspek agama dan moral dan berunding dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti negeri, sebelum melaksanakan pemberian ubat HIV itu kepada umum.
“Berkenaan langkah KKM memperkenalkan projek rintis pemberian PrEP secara permintaan, saya ingin menegaskan implikasi terhadap tindakan ini sangat besar, khususnya kepada perkembangan LGBT, atau spesifiknya golongan gay dalam negara.
“Saya harap KKM dapat meneliti semula projek rintis ini, bukan kerana kita menolak prinsip kementerian untuk menyelamatkan golongan yang berisiko menghidap HIV.
“Sebaliknya, kita perlu satu pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan golongan gay dan LGBT umumnya tidak terus berkembang dalam negara,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 12 Disember lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan KKM akan melakukan projek rintis penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Katanya, penggunaan ubat itu sudah dikaji dan telah dibincangkan dengan pakar agama, selain menegaskan ia bukan dikhususkan kepada golongan LGBT semata-mata, kerana ada golongan lain yang terdedah pada jangkitan HIV.
Ketika ini, pengamal perubatan dalam negara berbeza pandangan berhubung pemberian PrEP bagi mengekang jangkitan HIV, dengan ada berpandangan KKM perlu menggunakan pendekatan ‘abstinence’ kerana ia berisiko menggalakkan perbuatan LGBT.
Kumpulan lain pula berpandangan PrEP wajar diberikan atas matlamat melindungi nyawa mereka yang berisiko dijangkiti HIV, di samping memberi kaunseling kepada penerima PrEP supaya meninggalkan aktiviti tidak sihat.
Menyentuh langkah mengawal penularan LGBT, Ahmad meminta kerajaan mengemukakan statistik golongan LGBT di negara ini serta punca perbuatan songsang itu menular dalam negara.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menggesa kerajaan menggubal dasar bagi menolak prinsip dan tuntutan terhadap orientasi seksual dan identiti gender yang diperjuangkan golongan LGBT.
“Kerajaan juga perlu menggubal satu dasar bagi melakukan sekatan terhadap platform media sosial, sama ada berpangkalan dalam atau luar negara yang mengandungi unsur LGBT.
“Selain itu, kerajaan perlu memperkukuh dasar berkaitan institusi kekeluargaan bagi mengurangkan pengaruh gelombang LGBT yang masuk ke dalam negara,” katanya, mengingatkan perbuatan itu mengundang masalah sosial dan bala Allah SWT.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login