Connect with us

Terkini

BSD, Mahkamah syariah tidak mahu ada campur tangan pemikiran hakim mahkamah sivil – Menteri Agama

Mahkamah syariah tidak mahu ada campur tangan pemikiran hakim mahkamah sivil, demikian jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika ditanya berhubung isu  Basic Structure Doctrine (BSD) atau Doktrin Struktur Asas yang diguna pakai oleh hakim mahkamah sivil sebagai justifikasi dalam penghakiman kes mereka yang disifatkan melemahkan peranan mahkamah syariah sekali gus menggugurkan satu per satu jenayah syariah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

BSD, Mahkamah syariah tidak mahu ada campur tangan pemikiran hakim mahkamah sivil - Menteri Agama
Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata Basic Structure Doctrine (BSD) adalah satu teori dan prinsip yang dibangunkan serta digunakan di mahkamah sivil. 
  • “..Kita mengharap tidak mahu ada sebarang unsur campur tangan kepada cara pemikiran yang dibangunkan oleh hakim-hakim mahkamah syariah oleh mahkamah sivil,” katanya.
  • “Dan kita dalam proses mengadakan roundtable discussion, seminar macam yang saya sebutkan tadi,” katanya.

 

PUTRAJAYA – Mahkamah syariah tidak mahu ada campur tangan pemikiran hakim mahkamah sivil, demikian jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika ditanya berhubung isu  Basic Structure Doctrine (BSD) atau Doktrin Struktur Asas yang diguna pakai oleh hakim mahkamah sivil sebagai justifikasi dalam penghakiman kes mereka yang disifatkan melemahkan peranan mahkamah syariah sekali gus menggugurkan satu per satu jenayah syariah.

Menurutnya, BSD adalah satu teori dan prinsip yang dibangunkan serta digunakan di mahkamah sivil. 

“Setakat pada hari ini, ia merupakan tafsiran yang digunakan oleh oleh hakim-hakim di sana. 

“Saya rasa dalam konteks pengasingan kuasa dan sebagainya kita menghormati sebab ini tafsiran yang digunakan oleh hakim. 

“Begitu juga bila saya sebut pasal saya menjadi hakim di mahkamah syariah, kita mengharap tidak mahu ada sebarang unsur campur tangan kepada cara pemikiran yang dibangunkan oleh hakim-hakim mahkamah syariah oleh mahkamah sivil,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Perhimpunan Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Menterinya di sini hari ini.

“Tidak salah untuk kita mengkaji dan meneliti kesan-kesan daripada basic structure tadi itu dan insya-Allah bila kita dah adakan satu ini dan mungkin kita akan ambil tindakan sesuatu lah.

“Dan kita dalam proses mengadakan roundtable discussion, seminar macam yang saya sebutkan tadi itu dikembangkan demi memastikan perpaduan ummah dalam kalangan masyarakat Islam akan dapat kita perkukuhkan,” katanya.

Foto: Menteri Agama, Datuk Mohd Nai’m Mokhtar menyampaikan amanat pertama beliau di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Mohd Na’im turut menyeru institusi kehakiman di Malaysia agar mengamalkan sikap saling hormat-menghormati.

“Bagaimana cara kita hendak pastikan supaya apa yang dikhuatirkan tadi itu tidak menular dan tidak memberikan kesan yang begitu besar kepada perkembangan syariah Islam. 

“Jadi saya ingat itu sebahagian daripada cabaran dan juga perjuangan yang memerlukan penyelesaian tuntas dalam usaha kita membangun Malaysia Madani,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Daulat, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berpendapat, kerajaan perlu campur tangan bagi menghentikan penggunaan Doktrin Struktur Asas (BSD) oleh mahkamah sivil yang disifatkan mengganggu hal ehwal Islam di negara ini.

Ini kerana keputusan penghakiman berasaskan BSD bagi kes-kes hukuman mahkamah syariah yang dicabar di mahkamah sivil bertentangan dengan prinsip menjunjung Islam sebagai agama persekutuan negara ini.

September lalu juga lima peguam melancarkan petisyen bantahan ke atas penggunaan BSD yang digunakan Mahkamah Persekutuan kebelakangan ini.

Petisyen  dilancarkan peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Lukman Sheriff Alias, Yusfarizal Yusoff, Aidil Khalid dan Badruzzaman Ishak .- The Merdeka Times

Author