Connect with us

Terkini

Persatuan Peguam Muslim bidas SUHAKAM, Hukum sebat di “khalayak ramai” tidak langkau Akta Mahkamah Syariah

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
  • Tidak timbul isu hukuman sebat di luar penjara, yang sering dilaporkan media sebagai “hukuman sebat di khalayak ramai”, membabitkan  seorang tukang rumah di Terengganu melangkaui Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 kerana akta itu hanya mengehadkan takat hukuman sahaja.
  • Malah Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata cara pelaksanaan sebatan di luar penjara turut diperincikan melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan Di Luar Penjara (bagi pesalah syariah) disediakan Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan.
  • Beliau berkata adalah salah apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengatakan sebatan yang akan dilaksanakan itu adalah sebatan di khalayak ramai, sebaliknya ia sebatan di luar penjara (disaksikan orang awam tertentu, bilangan boleh dihadkan).

KUALA LUMPUR — Tidak timbul isu hukuman sebat di luar penjara, yang sering dilaporkan media sebagai “hukuman sebat di khalayak ramai”, membabitkan  seorang tukang rumah di Terengganu melangkaui Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 kerana akta itu hanya mengehadkan takat hukuman sahaja.

Malah Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata cara pelaksanaan sebatan di luar penjara turut diperincikan melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan Di Luar Penjara (bagi pesalah syariah) disediakan Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata adalah salah apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengatakan sebatan yang akan dilaksanakan itu adalah sebatan di khalayak ramai, sebaliknya ia sebatan di luar penjara (disaksikan orang awam tertentu, bilangan boleh dihadkan).

“Tidak timbul isu hukuman sebat di luar penjara ini melangkaui Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 kerana akta tersebut hanya mengehadkan takat hukuman sahaja. 

“Adapun cara hukuman dilaksanakan terjumlah (adalah) dalam bidang kuasa negeri mengikut Jadual Kesembilan Senarai Kedua butiran 1 iaitu antara lain berkaitan … keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah syariah.

“Berdasarkan peruntukan tersebut Dun (Dewan Undangan Negeri) Terengganu telah menggubal Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Terengganu 2001 di mana Seksyen 125 Enakmen tersebut menjelaskan pelaksanaan hukuman sebatan. 

“Ia diperincikan lagi oleh SOP yang diwujudkan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada hukuman sebatan di tempat awam yang dikenakan terhadap seorang tukang rumah di Terengganu melampaui bidang kuasa undang-undang persekutuan, khususnya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

SUHAKAM dipetik Malaysiakini sebagai berkata undang-undang itu hanya membenarkan hukuman sebat, bukan sebat di tempat awam.

Menurut SUHAKAM, Perkara 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001, yang membenarkan Mahkamah Syariah menentukan tempat pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak, tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah.

Justeru, pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak melampaui atau ultra vires terhadap Akta Mahkamah Syariah dan melanggar had bidang kuasa dalam Perkara 1 Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Zainul Rijal berkata sebatan dilaksanakan mengikut seksyen 125 itu amat berbeza daripada apa yang dilaksanakan menurut perintah mahkamah sivil yang menyiksa dan mencederakan.

Beliau berkata perincian sebatan syariah ada dijelaskan dalam seksyen tersebut.

“Menurut hukum syarak dalam Surah An-Nur ayat 2 bermaksud…Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman,” katanya. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *