Terkini
Para guru gesa Menteri Pendidikan lebih responsif, mula ‘bekerja’ kurangkan berpolitik
Para guru dan pengguna Facebook, menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, agar lebih responsif dan segera mengemukakan perancangan beliau dalam menyelesaikan permasalahan terkait pendidikan di Malaysia.
- Para guru dan pengguna Facebook, gesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, agar lebih responsif dan segera mengemukakan perancangan beliau dalam menyelesaikan permasalahan terkait pendidikan di Malaysia.
- Ia susulan, setakat hari ini tiada sebarang perancangan mahupun isu pendidikan disuarakan beliau sebaliknya hantaran di Facebooknya dipenuhi isu parti dan politik.
- Cikgu Mohd Fadli Salleh turut meninggalkan pesanan ‘ikhlas’ kepada Fadhlina dengan meminta beliau mengambil cakna akan isu redeployment.
KUALA LUMPUR – Para guru dan pengguna Facebook, menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, agar lebih responsif dan segera mengemukakan perancangan beliau dalam menyelesaikan permasalahan terkait pendidikan di Malaysia.
Gesaan itu dibuat susulan, setakat hari ini tiada sebarang perancangan mahupun isu pendidikan yang disuarakan oleh beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal dari Pakatan Harapan sebaliknya hantaran di Facebooknya dipenuhi dengan isu parti dan politik.
Perkara itu menyebabkan beliau diminta untuk lebih memberi fokus kepada isu pendidikan sekaligus memulakan tugas dengan segera sebagaimana Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang dilihat sudah mula turun padang apabila meninjau sendiri situasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, semalam.
Menjengah ke Facebooknya, dapat disaksikan pelbagai rungutan dibuat oleh guru dan pengguna Facebook di ruangan komen beliau yang memuat naik hantaran terkait intipati sidang media Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pada Isnin.
Seorang guru berpengaruh di media sosial yang terkenal bersuara lantang dalam menyuarakan keluhan guru dan ibu bapa mengenai isu pendidikan negara iaitu Cikgu Mohd Fadli Salleh turut meninggalkan pesanan ‘ikhlas’ kepada Fadhlina.
“YB fokus tulis sendiri isu pendidikan negara. Apa masalah. Apa yang YB rancang nak buat. Apa pelaksanaan. Respon pada isu dan masalah semasa dalam dunia pendidikan.
“100 hari pertama sangat penting untuk YB tonjolkan kredibiliti sebagai menteri. Bukan sekadar share posting dari Perdana Menteri or parti. YB adalah menteri. Perlu ada post sendiri. Unit media menteri, tolonglah.
“Benda ni basic dalam sosial media kot. La ni panas isu redeployment. YB perlu respon dalam media sosial, keluarkan kenyataan media KPM dan sebagainya. Bukan hanya share post DSAI sahaja.
“Rakyat sedang memerhati. Baca komen-komen rakyat ni. Jangan jadi macam menteri sebelum ni, tak pernah respon isu walau di tag, hanya respon bila tak ada jawatan,” tulis beliau di ruangan komen itu.
Kenyataan Cikgu Fadli itu seiring pengguna Facebook lain yang mahukan Fadhlina mendengar dan bertindak menyelesaikan isu majoriti guru hari ini yang merungut tentang permasalahan penempatan semula atau pertukaran guru ke sekolah lain di mana ia didakwa tiada ketelusan dan menyusahkan.
Pemilik akaun Mawar Pink memohon Fadhlina meneliti isu tersebut kerana dikhuatiri memberi kesan buruk apabila emosi dan mental pendidik sendiri tidak dijaga hingga boleh menyebabkan kualiti pengajaran berkurangan sekaligus memberi efek kepada murid-murid yang menimba ilmu.
“Banyak isu redeployment ni. Isu tak telus. Isu kroni dikekal atau ditempatkan berdekatan. Isu menyusahkan. Isu tak puas hati. Ramai guru-guru tak gembira dengan redeployment terkini.
“YB tolong teliti hal in. Guru tidak gembira bermaksud pengajaran akan kurang kualiti. Efek akan kena pada murid-murid bakal pemimpin kita juga. Baca luahan guru-guru kat page Kami Guru Malaysia (KGM) YB. Buka mata. Baca sendiri. Jangan harap sangat kat pegawai khas atau dapatan dari pegawai jabatan tu.
“Baca sendiri. Fahami sendiri. Jangan bergantung pada pegawai. Percayalah, cerita dari mulut pegawai banyak yang membodek sahaja,” tulis beliau yang turut menambah bahawa isu tersebut tidak lagi boleh ditangguh perlu penyelesaian segera.
Antara tangkapan layar komen di Facebook:
Sumber : Facebook Fadhlina Sidek Sidek