Terkini
Feminis tolak ‘etika pemakaian’ jadi elemen pencegahan gangguan seksual
Kod etika pemakaian yang dimasukkan dalam draf Garis Panduan Anti Gangguan Seksual (GS) sebagai salah satu elemen pencegahan mendapat bantahan wakil feminis.

- “Di dalam draf Garis Panduan Anti GS, kod etika pakaian membentuk sebahagian daripada elemen pencegahan GS yang dirancang kerajaan untuk dikuatkuasakan apabila ia siap dimuktamadkan nanti.”
- “Nampak saja perkataan ‘Pakaian’, wakil feminis terus menggeleng kepala tanda tidak bersetuju lalu meminta agar dikeluarkan mana-mana peruntukan di dalam Garis Panduan tersebut yang menyentuh soal pakaian. “Omit Everything!”.
- Pakaian menjolok mata atau tidak sopan, ditujukan terus kepada seseorang adalah satu kesalahan jenayah, malah perkara ini boleh diajukan kepada tribunal di bawah Akta Anti GS 2022.
- “Saya kesal apabila ada para lelaki matang lagi arif tentang sifat kaum mereka sendiri, apatah lagi dari kaca mata seorang bapa, suami, dan pemimpin masyarakat, menyuarakan pandangan mengenai isu ini – akhirnya tidak dipedulikan malah disisihkan secara total.” – Setiausaha Agung Wafiq, Nur Farihah Meor Mazli.
KUALA LUMPUR – Kod etika pemakaian yang dimasukkan dalam draf Garis Panduan Anti Gangguan Seksual (GS) sebagai salah satu elemen pencegahan mendapat bantahan wakil feminis.
Kumpulan terbabit meminta agar dikeluarkan mana-mana peruntukan di dalam Garis Panduan itu yang menyentuh soal pakaian.
Setiausaha Agung Wafiq, Nur Farihah Meor Mazli berkata demikian selepas menghadiri Bengkel Libat Urus Penyelarasan Pembangunan Garis Panduan Pelaksanaan Advokasi Antigangguan Seksual bersama wakil-wakil daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), yang diadakan pada 23 Disember lalu.
“Di dalam draf Garis Panduan Anti GS, kod etika pakaian membentuk sebahagian daripada elemen pencegahan GS yang dirancang kerajaan untuk dikuatkuasakan apabila ia siap dimuktamadkan nanti. Saya setuju bahkan menyambut baik inisiatif ini.
“Adapun, wujudnya “kod etika” sedia ada di mana-mana institusi sudah memadai tetapi tidaklah semapan kod etika pakaian kerana tingkah laku di ruangan awam (“public space”) juga perlu dikawal selia.
“Namun seperti biasa, terdapat suara-suara bantahan. Nampak saja perkataan ‘Pakaian’, wakil feminis terus menggeleng kepala tanda tidak bersetuju lalu meminta agar dikeluarkan mana-mana peruntukan di dalam Garis Panduan tersebut yang menyentuh soal pakaian. “Omit Everything!”.
“Hujah mereka, kerana mangsa-mangsa akan dipersalahkan setiap kali kes GS berlaku. Sudah di agak, mereka petik kisah wanita bertelekung/berniqab yang jadi mangsa rogol, selain kanak-kanak, dan wanita warga emas. Ingat dahulu, Khairy Jamaluddin juga pernah sebut ‘jangan jadikan pakaian sebagai alasan’.
“Persoalannya, benarkah “women can wear anything they want”? Benarkah pakaian bukan faktor GS dan tidak berfungsi sebagai elemen pencegahan GS?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau yang juga merupakan seorang peguam menyatakan beberapa hujah dalam menangkis pandangan wakil Feminis tersebut.
Menurutnya, pakaian menjolok mata atau tidak sopan, ditujukan terus kepada seseorang adalah satu kesalahan jenayah, malah perkara ini boleh diajukan kepada tribunal di bawah Akta Anti GS 2022.
“Mantan YB pembentang, Rina Harun turut kemuka perkara sama di Parlimen. Tidak silap saya, bawah Akta 792 pun terpakai.
“Amalan sivil mahupun jenayah, undang-undang mengambil kira nilai moral dan budaya setempat sebagai asas penggubalan sesuatu peruntukan, jadi TIDAK BOLEH sewenang-wenangnya nak kata “Women can wear anything they want“.
“Bayangkan situasi lelaki memakai cawat sahaja di tempat awam, adakah kamu nak benarkan mereka laung kata-kata keramat “Men can wear anything or nothing as and when they want!” sebagai ayat pembelaan?” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata bahawa dalam dunia serba hiperseksual kini, lambakan imej-imej lucah dan akses tanpa had ke laman pornografi adalah punca mangsa wanita ataupun lelaki dilihat sebagai objek seksual.
Ini berikutan, terdapat konsep “supply and demand” yang tinggi.
“Pelbagai industri melariskan produk dan perniagaan mereka menggunakan model cantik/visual yang mengghairahkan bagi menjana keuntungan. Tiada pula kecaman daripada puak liberal.
“Hatta, feminis sendiri menjadi pemangkin atau ‘enabler’ terhadap objektifikasi wanita, terutamanya dalam bidang peragaan. Faktor-faktor ini membentuk minda separa sedar pelaku yang sedia naik ghairah, untuk lantas cabul kehormatan mana-mana individu mudah dijadikan mangsa (at that point of time).
“Waktu ini, kisah apa mereka tentang pakaian. Dengan binatang pun jalan.
“Jangan disalahkan kenapa lelaki tertarik kepada visual. Ianya fitrah dan hukum alam. Mereka bertanggungjawab dengan ujian ini. Berbalik kepada hujah “supply and demand” pengguna,” katanya.
Beliau berkata usah sesekali menafikan paparan seksual (pakaian tidak senonoh/tidak menutup aurat) tiada langsung kaitan dengan nafsu dan tindakan si pemangsa.
Tegasnya, perkara ini amat berkait rapat, relevan dan jika perlu – dikaji selidik lebih lagi, libatkan pemegang taruh dan ambil nasihat pihak berkuasa (ikut dapatan PDRM) untuk diperhalusi pengguatkuasaannya dalam polisi kerajaan.
“Apabila individu menyasarkan diobjektifkan secara seksual, penilaian sasaran terutamanya didorong penampilan fizikal sasaran dengan serentak menafikan kapasiti sasaran untuk tindakan dan membuat keputusan”.
“Islam jelas melarang pengikutnya menayang aurat, bahkan sebagai langkah pencegahan lebih efisien – lelaki dan perempuan wajib menundukkan pandangan dari melihat perkara haram dan menjaga kemaluan (Surah An-Nur).
“Antropologi Kristian memahami bahawa selera makan, sekali terangsang dan dimanjakan, sukar dikawal, dan kita tidak boleh membahagikannya dengan begitu mudah.
“Kami menyedari bahawa terdapat percanggahan asas dalam menginginkan kehidupan awam yang santai mungkin tentang semua bentuk paparan seksual, dan di mana sifat kesatria diejek dan dipandang rendah, tetapi juga di mana lelaki diarahkan untuk berkelakuan terhadap wanita di khalayak ramai seolah-olah masih di tahun 1952,” katanya.
Hujah beliau yang ketiga adalah, beliau mengatakan bahawa sudah ada aduan di mana pramugari-pramugari syarikat penerbangan menggesa agar polisi pakaian uniform mereka ditambah baik kerana terlalu banyak gangguan seksual dilakukan para penumpang yang mengambil kesempatan.
Katanya, skirt pendek mendedahkan peha dan betis para gadis bukan sahaja bahaya di mata lelaki, bahkan wanita sendiri pun boleh tergoda dan berpinar mata menatapnya.
“Sejak tahun 2014, anak-anak kapal wanita Cathay Pacific menyuarakan permohonan pengubahsuaian uniform mereka. Ini kerana anak-anak kapal wanita merasakan diri mereka terdedah kepada gangguan seksual, dek kerana pemakaian skirt pendek”.
“Saya kesal kerana apabila ada para lelaki matang lagi arif tentang sifat kaum mereka sendiri, apatah lagi dari kaca mata seorang bapa, suami, dan pemimpin masyarakat, menyuarakan pandangan mengenai isu ini – akhirnya tidak dipedulikan malah disisihkan secara total.
“Inilah kesilapan besar para feminis, kerana mereka hipokrit dalam memperjuangkan hak kesamarataan jantina,” kata beliau yang turut menyifatkan kumpulan feminis tidak telus dan adil dalam menilai keluhan kaum lelaki atau anak kapal wanita sehingga menjadikan golongan itu jauh lebih eksklusif dan inklusif.
“Inklusiviti ke Laut China Selatan. Mereka seboleh mungkin nak hapuskan prinsip moraliti dalam kerangka perundangan, dalam masa sama menuntut wanita diberi kebebasan berpakaian dan bergaul secara mutlak.
“Ini kemudian akhirnya menyumbang kepada objektifikasi wanita semula. It’s the same pathetic cycle all over again.
“Hayati petikan ini, ‘Kebenaran masyarakat terdiri daripada mereka yang tidak akan mengawal tingkah laku moral mereka sendiri lambat laun akan menjadi kurang bebas, kerana kerajaan menggunakan lebih banyak paksaan dan peraturan untuk meminimumkan akibat daripada dosa manusia tidak terkawal’” katanya.
Pada 20 Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual diluluskan di Dewan Rakyat, di mana ia mengiktiraf gangguan seksual sebagai pencabulan maruah manusia, satu bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan jantina.
RUU itu juga mengadakan peruntukan bagi hak tebus rugi bagi mana-mana individu yang diganggu secara seksual melalui penubuhan tribunal bagi antigangguan seksual. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Nur Farihah Meor
