Kolumnis
Menamatkan genosid bukan isu feminis?
MELIHAT beberapa pejuang feminis di Malaysia bersikap endah tak endah untuk bersuara terhadap tindakan rejim Israel melakukan genosid di Gaza dengan mengatakan ia adalah isu konflik antara dua agama semata-mata, menimbulkan persoalan adakah menamatkan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di wilayah konflik itu bukan isu feminis?
MELIHAT beberapa pejuang feminis di Malaysia bersikap endah tak endah untuk bersuara terhadap tindakan rejim Israel melakukan genosid di Gaza dengan mengatakan ia adalah isu konflik antara dua agama semata-mata, menimbulkan persoalan adakah menamatkan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di wilayah konflik itu bukan isu feminis?
Berbeza bagi feminis di luar negara, mereka lebih faham dan maklum pembantaian di Gaza adalah sebahagian isu feminis kerana mangsanya adalah wanita.
Wanita adalah wanita, tidak kira di mana mereka berada, termasuk di Gaza, adalah isu wanita yang wajar diperjuangkan.
Sebab itu mereka lebih agresif membuat beberapa siri kempen kesedaran dan protes sebagai usaha mengecam dan menuntut gencatan senjata, menarik balik kepungan dan membenarkan bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa halangan.
Namun, pejuang feminis di Malaysia – penulis, wartawan, peguam, profesor – pula terlalu fokus melaburkan masa dan tenaga mereka untuk bersuara pada semua hak wanita, termasuk hak ‘mak nyah’, tetapi tidak pada hak wanita Palestin.
Umum mengetahui Feminisme adalah, gerakan menentang penindasan, diskriminasi, penjajahan dan ketenteraan khusus terhadap wanita.
Menggunakan semangat perjuangan yang sama, pejuang feminis khususnya di Malaysia sepatutnya lebih lantang bersuara dan mengecam tindakan negara haram Israel yang membuat beberapa siri serangan tidak masuk akal ke atas rakyat Palestin di Gaza juga terdiri dalam kalangan wanita.
Patutkah wanita bercakap sebagai wanita menentang peperangan ini? Ini perkara yang tidak boleh dipertikaikan, feminis harus dan mesti bercakap sebagai feminis menentang perang ini, menentang pembunuhan dan pembersihan etnik serta kemusnahan Gaza sekarang.
Adalah menjadi perjuangan feminis untuk menuntut dihentikan aparteid Israel dan pendudukan tanah Palestin kerana Feminisme adalah gerakan menentang penjajahan.
Adalah menjadi perjuangan feminis untuk mengecam kebiadaban, tidak kira betapa besarnya jenayah mendorongnya kerana Feminisme adalah gerakan menentang keganasan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah rakyat Palestin yang dibunuh sejak 7 Oktober lalu melebihi 19,000 warga Palestin di Gaza dengan majoritinya adalah kanak-kanak dan wanita.
Israel sedang melaksanakan apa yang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 880 cendekiawan antarabangsa, termasuk pakar genosid, bekas pegawai kanan PBB, dan semakin banyak negara menggambarkan ia sebagai tindakan genosid terhadap 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza.
Gaza yang dijadikan sebagai penjara terbuka selama lebih 16 tahun, dibom dengan sewenang-wenangnya rejim Israel di seluruh kawasan kejiranan awam, hospital, sekolah, gereja dan masjid selain memotong bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan.
Mengubah Gaza menjadi “kem kematian terbuka terbesar di dunia.”
Menurut laporan Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB yang berlangsung pada 22 November lalu, PBB melaporkan dua per tiga dari mangsa kematian hasil peperangan Palestin dan Israel di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak.
Sima Sami Bahous, Pengarah Eksekutif Entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita (PBB-Wanita), mengingatkan dalam mesyuarat itu bahawa wanita dan gadis terkena kesan yang tertinggi apabila konflik bersenjata meletus.
Katanya, setiap hari, 180 orang wanita bersalin tanpa air, ubat tahan sakit, bius untuk pembedahan Caesarean, elektrik untuk inkubator atau bekalan perubatan.
Malah, mereka terpaksa mencampurkan susu formula bayi dengan air tercemar (apabila mereka menemuinya) dan teruskan hidup tanpa makanan supaya anak-anak mereka boleh teruskan hidup.
“Women in Gaza have told us that they pray for peace, but that if peace does not come, they pray for a quick death, in their sleep, with their children in their arms. It should shame us all that any mother, anywhere, has such a prayer,” katanya.
Menurut kenyataan seorang penyelia gereja Katolik di Baitulmaqdis, seorang penembak tepat Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menembak dan membunuh dua wanita beragama Kristian di sebuah gereja di Gaza pada Sabtu lalu.
Penyelia gereja juga berkata, kereta kebal IDF telah menyasarkan pekarangan gereja Sisters of Mother Teresa yang ketika itu menempatkan 54 orang kurang upaya.
Walaupun konflik sedang berlaku, Women Wage Peace (WWP) sebuah organisasi feminis Israel bersama dengan Women of the Sun gerakan feminis Palestin, melakukan beberapa siri kempen “We want Peace with the Palestinians” di Palestin, menuntut dihentikan konflik dan keganasan.
Perjuangan feminis di Palestin disambut baik beberapa gerakan feminis di negara barat seperti Black Women Radicals (BWR) sebuah organisasi advokasi didedikasikan untuk menaikkan kepimpinan feminis kulit hitam.
Baru-baru ini, BWR mengadakan webinar bertajuk “Black Feminist Writers & Palestine” bersama dengan sekumpulan feminis kulit hitam terkemuka seperti penulis Clarissa Brooks, sarjana Beverly Guy-Sheftall, aktivis/pengarang Angela Davis, wartawan Breya Johnson dan akademik Briona Simone Jones, membentangkan kepada orang awam tentang sejarah wanita Kulit Hitam yang progresif terhadap anti-Zionisme dan sokongan mereka terhadap Palestin.
Penyair Aja Monet, penyanyi Kehlani dan Amerie, dan aktivis Tamika Mallory antara sebahagian daripada wanita kulit hitam terkemuka yang telah meminjamkan bakat dan platform mereka bagi meratapi lebih 8,000 rakyat Palestin yang telah terbunuh dalam beberapa minggu lalu dan meminta supaya gencatan senjata segera dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak kematian di Gaza, dan juga Israel.
CodePink, sebuah gerakan feminis di Amerika telah melakukan kempen “Justice For Palestine” serta beberapa siri protes pada perbicaraan Senat di mana Setiausaha Negara Antony Blinken cuba mewajarkan sokongan terhadap Israel.
Dengan tangan mereka dicat merah seperti darah penduduk Gaza, mereka menjerit “Hentikan senjata sekarang!” dan “Selamatkan anak-anak Gaza”
Banyak lagi gerakan feminis di barat Women for Transparency in Arms Trade, Mira: Feminisms and Democracies, dan lain-lain yang bergerak secara agresif sebagai respon pada konflik yang berlaku ini.
Melihat pada tindakan Israel yang membuat beberapa siri serangan tidak masuk akal ke atas wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah tanpa mengira agama, maka jelas setiap pejuang feminis, khususnya di Malaysia sepatutnya melakukan perkara yang sama seperti pejuang feminis di luar.
Keghairahan mereka menyokong serta segera bertindak melakukan sesuatu bagi membantu rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Israel.
Jika tidak, adakah layak gerakan-gerakan feminis di Malaysia ini menggelar diri mereka sebagai gerakan memperjuangkan hak wanita? – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
Kolumnis
Penyelewengan akidah dan agama: Tindakan siapa?
Penyelewengan agama atau akidah di mana-mana negeri di Malaysia boleh diambil tindakan oleh pihak pegawai penguatkuasa agama (PPA) di bawah Jabatan Agama Negeri dan pihak polis.
Penyelewengan agama atau akidah di mana-mana negeri di Malaysia boleh diambil tindakan oleh pihak pegawai penguatkuasa agama (PPA) di bawah Jabatan Agama Negeri dan pihak polis.
Punca kuasa berkenaan adalah kuasa-kuasa negeri di bawah Perkara 74 (2) Perlembagaan, Jadual Kesembilan, Senarai Kedua yang juga termasuk kuasa Wilayah-Wilayah Persekutuan di bawah Perkara 3 (5) Perlembagaan mengenai Agama bagi Persekutuan.
Kuasa tersebut diperturunkan pula ke dalam Enakmen Pentadbiran Islam dan lain-lain di negeri-negeri, khususnya Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri yang berkaitan dengan KESALAHAN BERHUBUNGAN DENGAN AQIDAH mengenai: Pemujaan Salah, Ajaran atau amalan salah, Dakyah agama, dil, Dakwaan Palsu, Mendakwa bukan Islam, Takfir, Doktrin Palsu dan sebagainya.
Namun kesalahan ini boleh didakwa terhadap pelaku orang Islam sahaja dalam negeri masing-masing.
Tindakan penguatkuasaan dalam kes ini boleh dilaksanakan penguatkuasa agama (PPA) dan polis. Namun pihak polis banyak menyerahkannya kepada PPA kerana ia berkaitan dengan agama.
Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja memberi kuasa untuk menjaga agama Islam bagi menguat kuasakannya terhadap orang Islam yang melakukan penyelewengan atau penghinaan tetapi juga terhadap orang yang bukan Islam yang melakukan di’ayah, penyelewengan dan propaganda kepada orang yang menganut agama Islam.
Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa: “Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama selain daripada agama Islam kepada orang Islam adalah dilarang sama sekali, terutamanya dari segi penyebaran di’ayah. Selain itu, peruntukan ini juga secara tidak langsung memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan untuk mengubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran serta kepercayaan mereka kepada orang Islam.
Berdasarkan kuasa tersebut, maka kerajaan-kerajaan negeri boleh meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam. Hampir kesemua negeri di Malaysia mempunyai Enakmen khas yang mengawal penyebaran di’ayah kepada orang Islam, kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang.
Antara Enakmen digubal kerajaan negeri ialah Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, 1980 (Enakmen No 1/1980); Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No 1/1998); dan Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Johor, 1991 (Enakmen No 2 /1991).
Perkataan ‘Agama bukan Islam’ yang digunakan di dalam enakmen ini ditafsirkan sebagai meliputi agama-agama seperti Kristian, Hindu, Buddha, Sikh atau apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana agama tersebut.
Undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada Mahkamah Majistret atau Mahkamah Sivil untuk mendengar kes tersebut dan penguatkuasaannya dilaksanakan oleh pihak polis atau mana-mana pegawai awam yang diberi tauliah secara bertulis oleh Raja supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah dalam Enakmen tersebut. Ini disebabkan kes berkenaan melibatkan orang yang bukan Islam. Istimewanya undang-undang ini ia berbentuk awam walaupun demikian ia bersifat undang-undang negeri kerana berkaitan dengan agama.
Kuasa pentadbiran dan penguatkuasaan
DYMM Sultan dan Raja adalah ketua bagi negeri beraja dan sebagai ketua agama. Manakala Menteri Besar merupakan gelaran bagi Ketua Eksekutif kerajaan negeri di Malaysia yang mempunyai Raja atau Sultan. Sebagai pemerintah mereka mempunyai kuasa kuasa eksekutif sesuatu Negeri meliputi pentadbiran mana-mana peruntukan tertentu dalam undang-undang dan boleh bagi maksud itu memberikan kuasa kepada dan mengenakan kewajipan pada mana-mana pihak berkuasa Negeri itu.
Dalam hal pentadbiran dan penguatkuasaan agama Pemerintah telah memberikan kuasa kepada Jabatan Hal Ehwal Agama melalui PPA untuk menguatkuasakan undang-undang. Kepada Jabatan Pendakwaan Syarie melalui Pendakwa Syarie untuk membawa kes-kes berkaitan ke Mahkamah Syariah dan memberi kuasa kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri melalui Hakim-Hakim Syarie untuk menjalan keadilan atau kehakiman serta perlaksanaan perintah atau hukuman. Juga kepada Jabatan Mufti untuk menentukan sesuatu yang berkaitan hukum syarak melalui fatwa.
Disebabkan setiap negeri mempunyai kuasa membuat undang-undang yang berkaitan agama, maka bagi mengelakkan percanggahan dan perbezaan ia memerlukan penyelarasan dari segi penguatkuasaan, pendakwaan dan perundangan di peringkat Persekutuan. Inilah fungsi JAKIM bersama Jabatan Peguam Negara (AGC), MAIN negeri, Penasihat Undang-Undang negeri dan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan.
JAKIM agensi persekutuan
Di Peringkat Persekutuan untuk menyelaraskan pentadbiran dan pengurusan Islam, perundangan, kehakiman dan fatwa dan sebagainya Majlis Raja-Raja Melayu (MRR) melalui Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), maka (JAKIM) ditubuhkan ia merupakan agensi kerajaan Persekutuan di Malaysia yang mentadbir hal ehwal agama Islam di Malaysia. Pentadbirannya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Kewujudannya adalah melalui kuasa eksekutif Kerajaan Malaysia.
JAKIM berperanan sebagai sebuah badan penyelaras pembangunan agama dan kemajuan ummah di Malaysia. Ia juga berperanan menjalankan penyelarasan hal ehwal agama dalam lingkungan sempadan pentadbiran yang dipertanggungjawabkan dan berwaspada supaya tidak melanggar garis tanggungjawab yang menjadi hak pentadbiran pada peringkat negeri.
JAKIM juga memainkan peranan sebagai urus setia bagi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). JAKIM turut mengendalikan tiga masjid utama @di Malaysia iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
JAKIM turut bertanggungjawab terhadap penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak di Malaysia.
Ia turut berperanan dalam menyelaras dan membangunkan pendidikan Islam. JAKIM mengendalikan pusat pendidikan dan latihan seperti Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) dan Darul Quran. Selain itu, JAKIM juga mengendalikan modul Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang dilaksanakan di premis yang berdaftar dengan agensi agama Islam negeri-negeri.
Penyelewengan akidah di Malaysia
Mengikut Bahagian Penyelidikan JAKIM, sebanyak 155 ajaran difatwakan sebagai sesat di negara ini sejak 1950 sehingga kini. Daripada jumlah itu, terdapat beberapa lagi ajaran sesat yang masih aktif, manakala selebihnya telah berjaya dibendung sepenuhnya.
Antaranya, ada yang menjadi ancaman yang besar kepada kesucian akidah di negara kita. Daripada jumlah itu, 53 daripadanya telah dibuktikan sebagai ‘sesat’ serta dinasihatkan kembali kepada kebenaran. 43 daripadanya telah memberhentikan gerakan mereka. Di antara kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang disenaraikan ialah:
1. Perguruan Persaudaraan Imu Dalam Al-Ma’unah Malaysia (Al-Ma’ unah).
2. Aurad Muhammadiah (Darul Arqam)
3. Ilmu Tajalli atau Hakikat Insan
4. Tarikat Ayah Pin’
5. Ajaran Taslim.
6. Ajaran Hakikat Haji Ghazali Othman.
7. Qadyani Ahmadiah.
8. Tariqat Naqsyabandiah.
9. Ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin.
10. Tariqat Mufarridiah.
11. Ajaran Al-Baha’iyyah.
12. Ajaran Batiniyah.
13. Tariqat Samaniah Ibrahim Bonjo.
Kita bersyukur walaupun ajaran sesat tersebut mempunyai bilangan yang agak besar tapi kegiatan mereka dapat dibendung dan diambil tindakan. Kegiatan mereka tidak sampai mengganggu aktiviti ibadah kita, namun dengan kerjasama semua pihak ia dapat dibendung walaupun kewujudannya masih silih berganti.
Peranan fatwa berkaitan aktiviti penyelewengan agama
Jabatan Mufti berperanan untuk mengeluarkan fatwa terhadap sesuatu amalan, ajaran atau doktrin yang dikaitkan dengan agama sama ada ia sah atau menyeleweng.
Fatwa diwartakan adalah penting agar tindakan undang-undang dapat diambil bagi membanteras fahaman dan pemikiran menyeleweng yang dikaitkan dengan Islam, sekali gus menjaga dan memelihara kesucian agama Islam dan seterusnya menghindarkan orang ramai daripada terikut-ikut dengan sangkaan ia adalah benar.
Fatwa-fatwa dikeluarkan ini adalah selepas melalui proses kajian dan penyelidikan yang dijalankan dengan begitu teliti dan mengambilkira pandangan pakar yang berkaitan dengan bidang berkenaan.
Manakala penguatkuasaan undang-adalah dilakukan pihak Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri atau pihak polis. Penguatkuasaan bermaksud penyiasatan, tangkapan dan pemeriksaan. Apabila semuanya telah lengkap, barulah diserahkan hasil berkenaan kepada pihak pendakwaan untuk didakwa YDT di Mahkamah. Manakala pihak Hakim setelah mendengar kes tersebut akan membuat sabitan, keputusan dan hukuman.
Inilah yang disebut “pengasingan kuasa” untuk menentukan keadilan dapat dilaksanakan melalui peranan setiap pihak melaksanakan peranan atau tugas masing-masing tanpa menceroboh bidang kuasa pihak lain. Seperti Jabatan Mufti dan Mufti bertanggungjawab mengenai fatwa dikeluarkan, manakala penguatkuasaan dibuat oleh penguatkuasa agama atau pihak polis.
Inilah yang dimaksudkan dengan “ultra virés” iaitu melampaui atau di luar kuasa atau autoriti yang sah seseorang, sesebuah badan, jabatan dan sebagainya. Sebaliknya, jika pihak berkuasa bertindak secara melangkaui kekuasaan atau pihak terjejas boleh mendapat penghakiman yang sewajarnya bahawa tindakan yang dibuat tidak sah.
Apa yang dapat disimpulkan ialah usaha yang perlu dibuat bukan sedikit untuk menangani ajaran sesat di negara ini kerana ia bersifat putus bersambung dari masa ke masa. Apa yang mesti dilakukan adalah ia dibendung di setiap masa agar tidak menjadi barah di negara kita.
Dalam hal ini kerjasama amat diperlukan dari semua pihak termasuk orang awam, pihak berkuasa agama dan juga agensi persekutuan, kerajaan negeri dan ahli politik agar dapat sama-sama meletakkan agenda pembasmian ajaran sesat dalam masyarakat kita sebagai keutamaan pada masa kini.
Ini kerana dalam agama Islam, konsep amar ma’ruf nahi munkar menuntut sumbangan dari semua pihak dan perlu dilihat secara menyeluruh. la bukan tugas pihak berkuasa semata-mata, malah itulah peranan setiap individu Muslim dalam melaksanakan tanggungjawab agama dan hidup bermasyarakat. – The Merdeka Times
Penulis adalah bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM.
-
Terkini20 hours ago
(VIDEO) Serbuan, rampasan jam tangan LGBT “keterlaluan” – Anwar
-
Terkini2 days ago
Suami wajib beri nafkah ikut kemampuan
-
Terkini23 hours ago
Anwar kata serbuan jam tangan berunsur LGBT keterlaluan, Fadhli sedia tarik balik pujian
-
Antarabangsa2 days ago
Himpunan pro-Palestin seluruh dunia, setahun genosid Israel di Gaza