Connect with us

Antarabangsa

Piala Dunia 2022: Qatar longgarkan sekatan perjalanan COVID-19

Pelancong yang melawat Qatar tidak lagi memerlukan keputusan PCR negatif atau ujian antigen pantas untuk memasuki negara itu. Kelonggaran terkini berkaitan COVID-19 itu berkuatkuasa hari ini (1 November 2022), hanya 19 hari menjelang Piala Dunia 2022.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Piala Dunia 2022: Qatar longgarkan sekatan perjalanan COVID-19
Foto: Sumber EuroNews.
  • Kelonggaran sekatan perjalanan ke Qatar berkaitan COVID-19 berkuatkuasa 1 November menjelang Piala Dunia 2022.
  • Kira-kira 2.9 juta pelawat akan memasuki negara itu sempena Piala Dunia hujung bulan ini.
  • Keputusan negatif PCR atau Ujian Antigen Pantas COVID-19 tidak lagi diperlukan.
  • Sijil vaksinasi COVID-19 juga tidak diperlukan.
  • Pengarah Perubatan Hospital Besar Hamad, Yousef al-Maslamani berkata kelonggaran perjalanan itu disebabkan penurunan kes COVID-19 dan kematian berkaitan.

Pelancong yang melawat Qatar tidak lagi memerlukan keputusan PCR negatif atau ujian antigen pantas untuk memasuki negara itu.

Kelonggaran terkini berkaitan COVID-19 itu berkuatkuasa hari ini (1 November 2022), hanya 19 hari menjelang Piala Dunia 2022.

Peminat, pemain, pegawai, kakitangan dan media yang bakal tiba adalah kemasukan pelawat terbesar di negara itu, dianggarkan sekitar 2.9 juta individu.

“Pelawat tidak lagi perlu mengemukakan keputusan negatif PCR atau Ujian Antigen Pantas COVID-19 sebelum melakukan perjalanan ke Qatar,” demikian kenyataan Kementerian Kesihatan Awam (MoPH) dipetik AlJazeera.

Rakyat dan penduduk Qatar juga tidak perlu lagi mengambil PCR atau Ujian Antigen Pantas dalam tempoh 24 jam selepas pulang dari luar negara, kata kenyataan itu.

Pelawat yang memasuki Qatar juga tidak perlu membuat prapendaftaran pada permohonan kesihatan Ehteraz kerajaan sebelum ketibaan mereka.

Sebelum ini, orang ramai perlu mendaftar dan menyerahkan dokumen diluluskan Ehteraz secara dalam talian untuk memasuki Qatar.

Status kesihatan hijau di Ehteraz kini hanya diperlukan untuk mengakses kemudahan kesihatan negara sahaja.

Sijil vaksinasi COVID-19 juga tidak lagi diperlukan.

Pengarah Perubatan Hospital Besar Hamad, Yousef al-Maslamani berkata, kelonggaran sekatan perjalanan itu disebabkan penurunan kes COVID-19 dan kematian berkaitan.

Sumber: Al Jazeera

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *