Antarabangsa
Doktor pasukan hoki remaja berdepan 10 pertuduhan serangan seksual
Seorang doktor yang berpengalaman dua dekad memberikan bantuan perubatan kepada pasukan hoki remaja di Michigan dan Minnesota, Amerika Syarikat (AS) berdepan 10 lagi pertuduhan jenayah seksual.

- Pakar Urologi, Dr Zvi Levran yang berpengalaman dua dekad memberi bantuan perubatan kepada pasukan hoki remaja di Michigan dan Minnesota, Amerika Syarikat (AS) berdepan 10 lagi pertuduhan jenayah seksual.
- Ketua Jabatan Polis Farmington Hills, Jeff King berkata 33 tip tambahan mengenai Pakar Urologi, Dr Zvi Levran diterima susulan penahanan kali pertamanya pada Oktober lalu.
- Levran berada dalam tahanan sejak menyerah diri kepada polis pada 10 November lalu.
- Peguamnya, Joe Lavigne membuat pengakuan tidak bersalah bagi pihak anak guamnya.
MICHIGAN – Seorang doktor yang berpengalaman dua dekad memberikan bantuan perubatan kepada pasukan hoki remaja di Michigan dan Minnesota, Amerika Syarikat (AS) berdepan 10 lagi pertuduhan jenayah seksual.
Ketua Jabatan Polis Farmington Hills, Jeff King berkata 33 tip tambahan mengenai Pakar Urologi, Dr Zvi Levran diterima susulan penahanan kali pertamanya pada Oktober lalu.
Pejabat Pendakwa Daerah Oakland juga membenarkan 10 pertuduhan tambahan dalam kes itu.
Tip tambahan itu antara lain datang daripada komuniti tempatan, termasuk di Novi, Livonia, West Bloomfield dan Redford, kata King.
Peguam Levran, Joe Lavigne membuat pengakuan tidak bersalah bagi pihak anak guamnya.
“Kami tidak sabar untuk mempertahankan dakwaan itu,” katanya dipetik ABC News dalam laporannya.
Levran berada dalam tahanan sejak menyerah diri kepada polis pada 10 November lalu.
Sebelum ini, bekas doktor sukan Michigan State University, Larry Nassar dijatuhi hukuman penjara 40 hingga 175 tahun pada 2018 selepas mengaku mencabul beberapa gimnas terkemuka negara.
Nassar berselindung di sebalik rawatan perubatan selama bertahun-tahun dan didakwa melakukan serangan seksual terhadap ratusan wanita serta gadis.
Dalam kes lain, bekas atlet, pelajar dan lain-lain berkata mereka juga dicabul doktor sukan University of Michigan, Robert Anderson.
Anderson juga merupakan Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Kampus dan doktor untuk beberapa pasukan sukan, termasuk bola sepak.
Beliau bagaimanapun meninggal dunia pada 2008 selepas berkhidmat di universiti berkenaan selama hampir 40 tahun.
Sumber: ABC News
