Terkini
[VIDEO] Sempena Deepavali, Syed Saddiq nyanyi rap bawa mesej ‘politik lama’
Lengkap dengan pakaian tradisional India seperti `kurta’ dan selendang `tupattha’, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil kesempatan sempena perayaan Deepavali dengan menyanyi lagu rap bersama tiga penyanyi India bagi menyampaikan mesej pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
![[VIDEO] Sempena Deepavali, Syed Saddiq nyanyi rap bawa mesej ‘politik lama’](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2022/10/video-sempena-deepavali-syed-saddiq-nyanyi-rap-bawa-mesej-politik-lama.jpg)
PETALING JAYA – Lengkap dengan pakaian tradisional India seperti `kurta’ dan selendang `tupattha’, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil kesempatan sempena perayaan Deepavali dengan menyanyi lagu rap bersama tiga penyanyi India bagi menyampaikan mesej pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Dalam video dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil itu, bekas menteri belia dan sukan itu menyanyi rap bagi menjawab isu yang dihadapi kaum India yang dibangkitkan V Vikneswaran, S Jiven dan P Vishnu.
Antara soalan yang ditanya kepada Vikneswaran kepada Syed Saddiq termasuklah, mengapa orang India yang bekerja keras sukar mendapat tempat di universiti awam dan pekerjaan, dan adakah ia mempunyai kaitan dengan warna kulit.
Dalam jawapannya Syed Saddiq berkata, ini semua adalah “politik lama” yang kini menyamar sebagai “Keluarga Malaysia” dan mendakwa semua orang sama.
“Politik lama kita boleh lawan bersama-sama. Mari bersatu jadikan Malaysia lebih kuat. Ketepikan politik berasaskan bangsa, kita patut pandang politik berasaskan keperluan. Diskriminasi, sifat perkauman kita bangkang. Tiada kaum kita letak belakang,” jawab Syed Saddiq dalam lagu itu.
Jiven kemudiannya meminta “Budak Muar” kembali kepada realiti kerana dia sendiri datang daripada keluarga yang kaya. Tambahnya, untuk merdeka rakyat Malaysia berjuang bersama-sama tetapi selepas itu orang India berdepan dengan banyak masalah.
Syed Saddiq menjawab beliau datang datang keluarga kelas pertengahan tetapi mengakui ia mendapat keistimewaan untuk masuk ke universiti.
“Kita kini berusaha untuk mendapatkan peluang yang sama dan impian saya untuk Malaysia adalah bersaing di global. Yang susah kita bantu, yang berkuasa sila bantu!,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today
