Connect with us

Terkini

Puteri Balqis lapor polis dakwa ayah kandung dera, buat gangguan seksual

Pelakon remaja, Puteri Balqis bersama ibunya telah membuat laporan polis susulan dakwaan remaja itu dipukul dan menerima gangguan seksual seperti didedahkan melalui media sosial, baru-baru ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Puteri Balqis lapor polis dakwa ayah kandung dera, buat gangguan seksual
Foto: Puteri Balqis.
  • Timbalan KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengesahkan pihaknya sudah terima maklumat daripada polis yang bertanggungjawab ke atas kes berkenaan.
  • Individu yang bersikap ‘berpeluk tubuh’ daripada melaporkan kes penderaan kanak-kanak turut diberikan amaran bakal berdepan hukuman.
  • Tiga pihak iaitu pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh seperti terkandung dalam Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, wajib melaporkan jika kes sebegitu berlaku.
  • Dari Januari sehingga Jun tahun ini, sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual kanak-kanak direkodkan termasuk kes rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul menurut statistik PDRM.

KUALA LUMPUR – Pelakon remaja, Puteri Balqis bersama ibunya telah membuat laporan polis susulan dakwaan remaja itu dipukul dan menerima gangguan seksual seperti didedahkan melalui media sosial, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya sudah menerima maklumat daripada polis yang bertanggungjawab membantu menyelesaikan kes berkenaan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.

Tegasnya, “Individu yang mengambil sikap ‘berpeluk tubuh’ daripada melaporkan kes penderaan kanak-kanak, sedangkan mengetahui apa yang berlaku, bakal berdepan hukuman dan kewajipan terbabit selaras dengan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001, yang diluluskan pada 2016.” 

Beliau turut mengingatkan, bagi sebarang kes penderaan, tiga pihak iaitu pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh sebagaimana yang terkandung dalam Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, wajib melaporkan jika mengetahui ada kes sebegitu berlaku.

Terdahulu, pelakon berusia 15 tahun itu menerusi satu temubual di YouTube ‘Bros Gang TV’ membuat pendedahan mengejutkan mengenai sikap sebenar bapa kandungnya yang didakwa suka menonton filem lucah dan melakukan gangguan seksual terhadapnya ketika dia berumur lima tahun. 

Sementara itu, Datuk Siti Zailah turut melaporkan bahawa sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

Katanya, sebanyak 578 kes membabitkan penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes adalah penderaan emosi.

Daripada jumlah berkenaan 706 kes adalah membabitkan kanak-kanak perempuan dan 349 kes kanak-kanak lelaki.

“Mengikut statistik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual kanak-kanak direkodkan dalam tempoh yang sama, termasuk kes rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul.

“Selain itu, eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak dilihat semakin meningkat terutamanya kesalahan pornografi yang membabitkan perkongsian dan capaian kepada bahan pornografi golongan berkenaan.

Menurutnya, trend ini menunjukkan perkembangan yang tidak sihat memandangkan pendedahan kepada bahan pornografi kanak-kanak mendorong kepada ketagihan seks dan akhirnya boleh membawa kepada perlakuan seksual.

Author