Kolumnis
Ada unsur khurafat dalam tarian singa

Beberapa hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina, satu perayaan besar-besaran yang amat popular dalam kalangan komuniti di Malaysia.
Kini, persediaan menyambut Tahun Baru Cina kian rancak berlaku di pusat membeli-belah, kawasan perumahan, tokong dan bangunan komuniti.
Ini adalah fenomena biasa bagi mana-mana komuniti yang ingin meraikan perayaan penting mereka.
Malah, kebebasan untuk mempraktikkan kepercayaan dan budaya masing-masing di bumi Malaysia ini boleh dianggap sebagai simbol toleransi yang patut dibanggakan.
Tidak dinafikan dalam Islam, nilai toleransi itu ada sempadannya. Ia dibenarkan selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak dan tidak tergelincir dari landasan akidah Islam.
Oleh itu, sebagai sebahagian daripada masyarakat majmuk, Muslim perlu mengetahui perayaan dan amalan agama lain.
Bukanlah hendak mencampuri urusan agama lain tetapi untuk menjaga batasan akidah kita sendiri.
Dalam konteks ini, ada satu elemen menarik dalam persiapan Tahun Baru Cina yang wajar dikupaskan iaitu ‘eye-dotting ritual’ – upacara “membuka mata” kostum tarian naga dan singa.

Foto: Tangkap layar berita persiapan Tahun Baru Cina 2025
Bagi masyarakat Cina, upacara ini dianggap satu langkah penting dan simbolik, seolah-olah tarian naga dan singa tidak lengkap tanpa melaluinya.
Pernahkah anda tertanya, mengapakah tarian naga dan singa tidak boleh dimulakan tanpa upacara sebegini?
Upacara ‘Eye-dotting’: ‘Menghidupkan’ singa yang tidak bernyawa
Di Malaysia, ramai kumpulan tarian singa mengamalkan tarian singa selatan yang berasal dari Guangdong, China.
Rekaan singa selatan ini dipercayai diinspirasikan daripada legenda Nian, raksasa bertanduk tunggal yang ditakuti kerana keganasannya.
Dalam kepercayaan tradisional masyarakat Cina, tarian naga dan singa bukan sekadar persembahan — ia dipercayai dapat menghalau roh jahat.
Inilah sebabnya mengapa Tahun Baru Cina sering dimeriahkan dengan bunyi mercun dan tarian singa.
Menurut kisah legenda, bunyi bising ini mampu menakutkan makhluk Nian dan membawa tuah untuk tahun baru.
Menurut ahli akademik budaya Cina, Jiaqi Wang, masyarakat Cina terdahulu mempercayai singa sebagai makhluk mitos yang memiliki kuasa luar biasa yang mampu menghubungkan hati manusia dengan alam.
“Oleh sebab itu, tarian singa dianggap lambang pemujaan, penghormatan, dan kepercayaan. Ini sebahagian daripada budaya kerohanian tradisional Cina yang berkait dengan unsur agama serta pemujaan totem,” katanya dalam artikel The Origin and Dissemination Value of Chinese Dragon and Lion Culture.
Namun, Wang menegaskan bahawa tarian singa kini lebih kepada seni pertahanan diri moden berbanding kepercayaan karut.
Walaupun begitu, elemen spiritual seperti upacara ‘eye dotting’ masih diteruskan untuk mengekalkan warisan tradisional Cina.
Setiap kostum naga dan singa baru yang bakal digunakan dalam tarian mesti menjalani upacara ‘eye dotting’.
Upacara ini diadakan untuk ‘menghidupkan’ singa yang sebelum itu hanyalah sehelai kostum yang tidak bernyawa.
Dengan menjalani upacara ini seolah-olah dipercayai akan memberi ‘nyawa’ ke dalam kostum tersebut.

Foto: Upacara ‘eye dotting’ atau menghidupkan singa yang berlaku baru-baru ini
Dalam tradisi ini, sami Tao atau Buddha, atau pemimpin masyarakat yang akan menitikkan dakwat merah pada bahagian-bahagian penting singa.
Mata singa dititik untuk ‘melihat’, hidung untuk ‘menghidu’, telinga untuk ‘mendengar’, dan mulut untuk ‘merasa’.
Dipercayai dakwat merah yang dititik dari bahagian atas kepala, tulang belakang hingga ke ekor singa bertujuan memperkasakan haiwan mistik itu bagi menjalankan tugasnya untuk membawa tuah, kesihatan, kemakmuran dan perlindungan.
Pengurus Persatuan Tarian Naga dan Singa Khuan Loke, Eric Fong menjelaskan bahawa upacara ‘eye dotting’ adalah langkah terakhir sebelum singa dianggap ‘hidup’.
“Ia seperti roh singa telah dimasukkan dan diberi kuasa untuk menjalankan tugasnya. Setiap tahun, upacara ini dilakukan pada kepala singa baru,” katanya.
Secara tradisinya, apabila singa telah ‘dihidupkan’ persembahan pertamanya adalah pada waktu malam yang diiringi mercun bagi menghalau roh jahat serta membawa tuah.
Menariknya, kostum singa yang tidak melalui upacara ini dipanggil ‘singa buta’ kerana ia tidak mempunyai aura keberkatan dan tidak akan dirahmati dewa.
Dalam tradisi Hakka pula, singa yang tidak dititik matanya dianggap sebagai singa liar yang tidak dibenarkan memasuki tokong sehingga upacara itu dilaksanakan.
Khurafatkah upacara ‘eye dotting’?
Melihat penjelasan ini, boleh disimpulkan bahawa upacara eye-dotting yang bertujuan ‘menghidupkan’ kostum singa atau naga mengandungi unsur khurafat yang jelas.
Ini kerana ia menyandarkan kepercayaan kepada upacara tertentu untuk memberikan kehidupan atau kuasa mistik kepada objek mati.
Menganggap bahawa dakwat yang dititikkan pada mata, telinga, hidung, dan mulut kostum singa dapat memberi kehidupan atau kuasa mistik kepada objek tersebut adalah bentuk kepercayaan khurafat yang menyalahi akidah Islam.
Firman Allah SWT mengingatkan kita kembali mengenai ketidakmampuan sembahan lain selain dalam memberi manfaat, tuah atau mudarat:
“Sesungguhnya sembahan-sembahan yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu. Maka mintalah rezeki kepada Allah, sembahlah Dia, dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.” (Surah Al-‘Ankabut, 29:17)
Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa kekuasaan yang mengatur alam semesta, memberi rezeki dan membawa manfaat atau mudarat hanya milik Allah SWT.
Mengaitkan kuasa mistik kepada objek atau upacara seperti ini hanya akan membawa kepada kepercayaan khurafat yang menyimpang daripada prinsip tauhid Islam.
Islam menghormati budaya dan amalan agama lain malah tiada halangan bagi mereka untuk mempraktikkan apa jua amalan mereka.
Namun, dalam meraikan kepelbagaian ini, kita sebagai umat Islam harus bijak mengenali sempadan dalam amalan budaya dan agama yang berpotensi membawa kepada khurafat atau amalan yang bertentangan dengan akidah Islam.
Walaupun isu ini mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, perlu diingat bahawa setiap bentuk penyembahan yang bertentangan dengan tauhid sering bermula daripada kepercayaan khurafat yang dianggap remeh dan tidak berbahaya. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
