Connect with us

Komuniti

(VIDEO) Harga belian padi RM1,300: Petani kerja paling teruk, tapi dibayar secara hina! – ADUN Kota Siputeh

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Perdana Menteri dirayu supaya mendengar rintihan para pesawah berkenaan harga belian padi pada RM1,300 satu tan metrik tidak lagi relevan dan tidak boleh menampung kos operasi yang meningkat.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata keinginan mereka ketika ini adalah supaya kerajaan menetapkan dan menaikkan harga lantai belian padi yang baharu.

Foto: Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob

Abdul Rashid berkata jika harga belian padi diteruskan pada RM1,300 satu tan metrik, pesawah akan menanggung kerugian sekali gus motivasi mereka juga hilang untuk meneruskan aktiviti bertani yang bakal membantutkan usaha merealisasikan keterjaminan makanan.

“Jadi hari ini kami memohon sekali lagi kepada pihak kerajaan supaya dinaikkan ataupun diletakkan harga yang baru supaya dapat diimbangkan dengan kos yang kami tanggung sebanyak 50 peratus selepas pada penyasaran diesel pada 10 Jun yang lalu.

“… Rata-rata petani tak kira di mana jelapang kalau kita teruskan harga pembelian kepada RM1,300 kita akan berada dalam keadaan rugi ini akan menyebabkan motivasi kami akan turun dan… kita khuatiri aktiviti-aktiviti (pesawah) ini akan terbantut menyebabkan kita tak dapat teruskan untuk nak memberikan pengeluaran padi bagi merealisasikan keterjaminan makanan itu sendiri,” katanya di sidang media program Dialog Prihatin Rakyat: Nasib Pesawah Melayu di Hujung Tanduk?.

Ia merupakan program anjuran bersama di antara PeSAWAH, Gabungan Nasionalis dan Iman yang diadakan di Hotel Adamson, Chow Kit Road di sini hari ini.

Foto: Program Dialog Prihatin Rakyat: Nasib Pesawah Melayu di Hujung Tanduk?.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 13 Januari lalu dilaporkan berkata harga lantai belian padi sedang dikaji semua pihak di mana sekarang minimum harga jualan pada RM1,300 bagi setiap tan, tetapi di Kedah padi dibeli hingga RM 1,800 setiap tan.

Mohamad Sabu berkata permasalahan di sini adalah apabila padi dibeli dengan harga terlalu tinggi, bagaimana beras dapat dijual dengan harga murah.

Mengulas kenyataan itu, Abdul Rashid berkata jika kerajaan ingin mengekalkan harga beras tempatan pada RM2.60 per kilogram untuk menjaga kepentingan rakyat dan sebagainya, maka kerajaan perlu memperuntukkan pemberian subsidi RM500 kepada pesawah supaya mereka dapat menampung kembali harga belian padi terbabit.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim yang turut hadir dalam program  bagi menunjukkan solidariti buat kelompok pesawah menyifatkan harga belian padi pada RM1,300 satu tan sebagai sangat tidak adil buat kelompok petani.

Mohd Ashraf yang juga Ketua Bahagian Bersatu Jerlun ketika ditemui The Merdeka Times berkata pihaknya baru-baru ini telah mengutuskan surat permohonan supaya kerajaan menimbang harga belian padi terbabit dan menggesa ia dinaikkan kepada harta lantai minimum RM1,800.

Kenyataan Mohammad Sabu bagaimanapun dakwa beliau sebagai satu kenyataan dangkal dan tidak cerdik apabila menyatakan jika padi dibeli pada harga tertentu (harga tinggi) ia akan menyebabkan harga beras menjadi mahal.

“Saya telah respon kenyataan beliau itu, saya kata “Ni adalah satu jawapan yang dangkal, pemikiran yang cetek, yang tak peduli pun tentang rakyat dan tak peduli pun soal petani,” kalau hari ni, hangpa boleh tarik subsidi, macam-macam ambil untung, harga barangan lain boleh naik sebagainya, kenapa tak harga beras?

“Memang harga beras kena naik… orang politik pun kadang-kadang takut nak bercakap pasal benda ni sebab dia tak ‘populis’  sebab selalunya orang nak usaha lawan untuk turun harga ni orang lawan untuk naik harga mestilah orang tak suka… Rakyat pun mungkin tak suka dengan kenyataan saya tapi ni demi orang-orang petani dalam kawasan saya sendiri depa ni memang susah, habis tu siapa yang nak peduli kat depa? 

“… Akhirnya dekat sini kita cakap betul harga beras kena naik supaya harga belian padi itu boleh pada harga yang tinggi maka, kalau kerajaan risau untuk harga padi ni naikkan sebab harga beras tu naik dan sebagainya ada dua option, sama ada kerajaan dia subsidi harga beras itu sendiri, untuk pastikan belian beras itu, saksama untuk semua orang boleh dapat harga beras tempatan.

Ataupun kerajaan bagi royalty (RM 500 kepada petani semasa belian padi) untuk nak tanggung daripada jumlah maksudnya RM 0.50 kan? Daripada RM 0.30 pi jadi RM 1.80, 5 kupang dia pi tambah RM500 untuk 1 tan metrik jadi dia bagi dekat petani kerajaan yang tanggung!,” katanya kepada The Merdeka Times selepas sesi sidang media.

Tambahnya, perkara itu menjadi tanggungjawab sosial kerajaan untuk memastikan hak para petani terbela selepas mereka  bersabung nyawa dan bersusah payah memerah keringat berada dalam ‘tugasan’ paling susah dalam rantaian padi dan beras ini.

Responsibility sosial kerajaan untuk nak tanggung bagi memastikan hak-hak orang yang bersabung nyawa, bergadai tenaga, berkeringat, bersusah payah, tapi orang-orang yang berjuang bersabung semua benda ni yang paling susah dalam segenap rantaian ni.

“Depa yang buat segala kerja keringat yang paling teruk sekali, depa yang dibayar secara hina! Ini memang tak adil, ini memang tak guna punya! Dan ini bukan sahaja masalah kerajaan ni, ni saya cakap terus terang sebab kartel ni meliputi segenap peringkat,” kata Mohd Ashraf. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *