Antarabangsa
Tunduk dengan LGBTQ, Singapura ‘menyahjenayahkan’ hubungan seks songsang
Singapura akan ‘menyahjenayahkan’ seks sesama lelaki tetapi tidak mempunyai perancangan mengubah takrifan undang-undang bahawa perkahwinan adalah antara lelaki dan wanita, kata Perdana Menterinya, Lee Hsein Loong semalam.
- Di bawah undang-undang sedia ada lelaki boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan seks gay.
- Seksyen 377A Kanun Keseksaan Singapura itu bagaimanapun tidak dikuatkuasakan secara aktif.
- Perdana Menteri Lee Hsein Loong berkata masyarakat Singapura, terutama golongan muda, semakin menerima golongan gay di negara itu.
- Singapura bagaimanapun tidak mempunyai perancangan mengubah takrifan undang-undang republik itu bahawa definisi perkahwinan adalah antara lelaki dan wanita.
SINGAPURA – Singapura akan ‘menyahjenayahkan’ seks sesama lelaki tetapi tidak mempunyai perancangan mengubah takrifan undang-undang bahawa perkahwinan adalah antara lelaki dan wanita, kata Perdana Menterinya, Lee Hsein Loong semalam.
Dalam ucapan perhimpunan hari kebangsaan tahunan, Lee berkata masyarakat Singapura terutama golongan muda semakin menerima golongan gay di negara itu.
“Saya percaya ini tindakan wajar dan sesuatu yang akan diterima rakyat Singapura,” kata Lee dipetik agensi berita Reuters.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Seksyen 377A, undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki itu, akan dimansuhkan ataupun sebaliknya.
Singapura kini menjadi antara negara Asia yang menuju ke arah penamatan diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ.
Mahkamah tertinggi India membatalkan larangan terhadap seks songsang pada 2018, manakala Thailand pula semakin hampir untuk membenarkan hubungan sesama jenis.
Di bawah Seksyen 377A Singapura, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun, tetapi undang-undang itu tidak dikuatkuasakan secara aktif.
Tiada sabitan bagi kes seks antara lelaki dewasa (dengan persetujuan) selama beberapa dekad dan undang-undang itu juga tidak memasukkan seks sesama wanita atau jantina lain.
Komuniti LGBTQ sebelum ini mencabar undang-undang itu supaya dibatalkan, tetapi gagal.
Komuniti LGBTQ di Singapura juga dilaporkan menyambut baik keputusan Lee untuk menyahjenayahkan seks sesama lelaki, namun tetap menzahirkan kebimbangan bahawa penolakan pengiktirafan perkahwinan sejenis akan mengekalkan diskriminasi.
Sumber: Reuters