Terkini
“Tabiat merokok perlu dihentikan kepada semua bukan hanya GEG, “ – Tun Mahathir
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tabiat merokok bukan hanya perlu dihentikan kepada Generational End Game (GEG) sahaja tetapi juga kepada semua pihak walaupun ia satu kerja yang sukar.

- Tabiat merokok bukan hanya dihentikan kepada Generational End Game (GEG) sahaja tetapi juga kepada semua pihak walaupun ia satu kerja yang sukar.
- Apa jua jenis undang-undang diperkenalkan perlu dibuat langkah demi langkah sehingga tabiat itu dapat dihapuskan.
- Jika ianya tidak mampu direalisasikan setidaknya semua pihak janganlah terus menerima sahaja tabiat itu kerana tindakan sedemikian menyebabkan lebih ramai golongan akan menghidap penyakit kanser dan meninggal dunia.
- Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tabiat merokok bukan hanya perlu dihentikan kepada Generational End Game (GEG) sahaja tetapi juga kepada semua pihak walaupun ia satu kerja yang sukar.
Menurut beliau, apa jua jenis undang-undang yang diperkenalkan perlu dibuat langkah demi langkah sehingga tabiat itu dapat dihapuskan.
“Kalau boleh kita hentikan merokok kepada semua orang bukan hanya kepada mereka yang lahir pada 2007 sahaja.
Tetapi itu adalah satu kerja yang amat besar dan amat berat yang mungkin kita tak dapat lakukan dengan cara berkesan.
Sebab itu dalam apa jua jenis undang-undang yang kita perkenalkan adakalanya kita perlu membuat satu langkah demi satu langkah bermula dengan yang tidak begitu besar sehingga kita dapat sampai kepada tahap yang mana kita akan hapuskan sama sekali jenayah itu,” katanya pada Selasa.
Tambah beliau, sekalipun cadangan tersebut tidak mampu direalisasikan setidaknya semua pihak janganlah menerima sahaja tabiat merokok yang sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat Malaysia.
Katanya, jika kita bertindak sedemikian makanya lebih ramai golongan yang akan menghidap penyakit kanser dan meninggal dunia.
Beliau turut berkongsi, terdapat ahli keluarga beliau meninggal dunia gara-gara menghidap penyakit akibat menghisap rokok satu tin dalam satu hari yang berjumlah 50 batang.
“Masa saya kecil dulu ahli keluarga saya hisap satu tin rokok satu hari 50 batang akhirnya dia meninggal kerana kanser di kerongkoknya, itu yang berlaku sebab itu saya tak ingin melihat orang lain juga mendapat penyakit begitu yang membawa kepada kematian,” tegas beliau.
Sumber : Sinar Harian
