Terkini
Peguam Diraja UK fail rayuan kes SRC Najib
Jonathan James Laidlaw, seorang peguam Diraja dari United Kingdom (UK) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan terakhir beliau membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
- Peguam Diraja dari United Kingdom (UK) Jonathan James Laidlaw telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
- Ia berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd
- Rayuan dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 19 Akta Profesion Undang-undang 1976.
KUALA LUMPUR – Jonathan James Laidlaw, seorang peguam Diraja dari United Kingdom (UK) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan terakhir beliau membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Laidlaw merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 21 Julai lepas yang menolak permohonannya tanpa kos. Notis rayuan tersebut telah difailkan di Mahkamah Persekutuan pada 22 Ogos lepas menerusi Tetuan Shafee & Co yang mewakili Laidlaw selaku perayu. Perkara ini disahkan oleh Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Pada 21 Julai lepas, Ahmad Kamal menolak permohonan itu atas alasan Laidlaw gagal membuktikan beliau memiliki kelayakan khas dan pengalaman untuk mengendali rayuan atau pertuduhan terhadap Najib yang membabitkan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Najib pada 31 Mei lepas telah memfailkan permohonan supaya Laidlaw mewakilinya dalam rayuan kes SRC atas beberapa alasan antaranya beliau memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam Malaysia.
Melalui notis usul itu, Laidlaw memohon supaya diterima masuk dan didaftarkan bagi menjalankan amalan di Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia untuk bertindak sebagai peguam utama Najib dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan serta semua sebab atau perkara lain yang berkaitan dengannya.
Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Sumber : BERNAMA