Komuniti
EKSKLUSIF: Isu bantahan pembinaan kuil di Damansara Damai: Surau Al-Huda pernah dibaling bom petrol
Satu kejadian khianat pernah berlaku di Surau Al-Huda Apartment Impian, Damansara Damai di sini pada November 2017, di mana dua orang lelaki membaling bom petrol ke dalam surau itu ketika solat Subuh.
- Kejadian khianat pernah berlaku di Surau Al-Huda Apartment Impian, Damansara Damai pada November 2017.
- Dua lelaki membaling bom petrol ke dalam surau terbabit dipercayai kes khianat.
- Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Sri Damansara.
- Kes ini dipercayai berlaku susulan dari bantahan pembinaan sebuah kuil yang dibuat penduduk-penduduk pangsapuri itu.
KUALA LUMPUR – Satu kejadian khianat pernah berlaku di Surau Al-Huda Apartment Impian, Damansara Damai di sini pada November 2017, di mana dua orang lelaki membaling bom petrol ke dalam surau itu ketika solat Subuh.
Laporan media menyatakan kedua-dua suspek dipercayai penduduk kawasan berhampiran. Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Sri Damansara.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din dipetik media tempatan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi sewaktu lebih 20 orang penduduk sedang menunaikan solat Subuh.
Kebakaran berjaya dipadamkan sebelum ia menjadi marak. Hanya kawasan pintu surau sahaja sempat dijilat api.
Bagaimanapun, penduduk tidak pasti sama ada kejadian itu adalah susulan dari bantahan pembinaan kuil dibuat penduduk apartment itu yang majoritinya beragama Islam.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.
The Merdeka Times semalam mendedahkan mengenai bantahan 5,000 penduduk Damansara Damai terhadap pembinaan kuil itu.
Ini merupakan kali ketiga bantahan dibuat penduduk sejak 2017 dan bantahan kedua pada 2019 menyebabkan pembinaan kuil itu ditangguhkan.
Pembinaan kuil itu dibantah penduduk setempat atas tiga alasan iaitu jalan keluar masuk sempit; majoriti penduduk Apartmen Impian adalah Melayu/Islam dan ketiga; kebimbangan pengunjung luar tidak sensitif bila mengunjungi kuil itu (jika dibina) sekaligus ancaman risiko ketenteraman penduduk setempat.
Sebelum ini, kain rentang bantahan kali ketiga dinaikkan penduduk diturunkan pihak MBPJ dengan kehadiran polis pada 2 Ogos lalu.
Persoalan timbul kenapa ada kelibat 10 individu berbangsa India berada di kawasan itu ketika pihak berwajib menurunkan kain rentang itu.
Wakil penduduk ditemubual enggan mendedahkan identiti atas faktor keselamatan kerana dikhuatiri isu kuil itu membabitkan kumpulan gangster di kawasan terbabit. – The Merdeka Times