Connect with us

Terkini

F Team, wira negara yang dilupakan?

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan kumpulan elit yang beroperasi secara sulit dalam Cawangan Khas Bukit Aman, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Ikaz

Published

on

F Team, wira negara yang dilupakan?

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan kumpulan elit yang beroperasi secara sulit dalam Cawangan Khas Bukit Aman, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).  F TEAM adalah antara pasukan elit Cawangan Khas yang bertanggungjawab mengakhiri era keganasan komunis di Malaysia. F TEAM hanyalah sebuah pasukan kecil di mana bilangan keanggotaannya tidak melebihi 50 orang dalam satu-satu masa beroperasi.

Dengan cogan kata, “Hanya yang berani”, keanggotaan F TEAM terdiri dari pelbagai kaum, yang terdiri dari mereka yang diserap masuk dari Pasukan Polis Hutan (PPH), bekas anggota komunis yang berkhidmat secara kontrak dengan Cawangan Khas dan juga beberapa bekas anggota tentera yang berhenti dan diambil berkhidmat secara kontrak kerana memiliki kepakaran dalam bidang persenjataan, alat perhubungan dan kenderaan.

Pada awal penubuhannya iaitu tahun 1971 hanya 15 orang yang menjadi anggota dan pegawai F TEAM. Hingga akhir pembubarannya pada 1 Mei 1995, hanya lebih kurang 165 orang dalam senarai nama F TEAM. Namun bilangan tersebut semakin mengecil menjadi lebih kurang 115 orang ahli F TEAM yang masih hidup pada masa kini.

Wakil The Merdeka Times, Mohd Zaki bin Ab Latif telah menemu bual tiga orang ahli F TEAM. Pertemuan telah diadakan di sebuah restoran di Taman Permata Hulu Klang pada malam 28 Ogos 2022.

Menceritakan pengalaman mereka, anggota tersebut merupakan pesara Polis, Sarjan Mejar Detektif Mohd Yusof bin Omar (Callsign : Camel); Sub Inspektor Detektif Hussein bin Saion (Callsign : Rolling) dan Konstabel Detektif Idrus bin Said (Callsign : Taiko).

Sejarah F TEAM

TMT : Bolehkah Encik Camel ceritakan sejarah penubuhan F Team ini?

Camel : F TEAM merupakan satu kumpulan elit di dalam Cawangan Khas. Ia diasaskan dan diketuai oleh Superintenden Leong Chee Woh pada 1 Mac 1971. Mendiang Datuk Dr Leong Chee Woh diakhir perkhidmatannya merupakan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (Bahagian Operasi) dan menyandang jawatan Senior Assistant Commissioner of Police (SAC). Beliau bersara pada 10 November 1984.

Sejak ditubuhkan pada 1971 sehingga dibubarkan pada 1 Mei 1995, F TEAM memang tidak pernah diketahui umum kerana faktor kerahsiaan. Namun setelah semua fail-fail Rahsia Besar tersebut diluluskan oleh kerajaan untuk didedahkan (disclasified) pada 2016, barulah kisah F TEAM dipaparkan kepada umum. Sebelum ini tiada siapa yang mengenali F TEAM.

Allahyarham Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin, bekas Timbalan Pengarah E1(M), Cawangan Khas yang berusaha supaya segala hal F TEAM ini didedahkan kepada umum. Dengan kelulusan pucuk pimpinan PDRM ketika itu (2016) barulah F TEAM dikenali rakyat Malaysia.

TMT : Saya memetik kata-kata bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar dalam buku ‘Misi Rahsia Pasukan F’, “Sudah tiba masanya kisah Pasukan F didedahkan kepada umum supaya anggota-anggota yang berani dan cekal ini dapat keluar dari belakang tabir kerahsiaan sekali gus memberi kesedaran kepada generasi muda yang keamanan serta keselamatan negara tidak datang bergolek”.

Apakah komen Encik Taiko berkenaan kenyataan tersebut?

Taiko : Betullah apa yang dikatakan. Jika Encik Zaki lihat keadaan Malaysia sekarang. Tengok ekonomi Malaysia macam mana? Ramai orang meniaga sana sini. Budak-budak muda main gitar main muzik ‘busking’ menyanyi merata-rata. Bisnes maju. Seluruh bangsa di Malaysia dapat manfaat kerana boleh meniaga. Disebabkan apa? Sebab Malaysia aman damai. Sebab apa aman damai? Sebab kami dan lain-lain pasukan termasuk Angkatan Tentera dan seluruh pasukan keselamatan termasuklah Cawangan Khas dan F TEAM ini yang berkorban nyawa demi menamatkan pemberontakan komunis dahulu.

Walaupun Malaysia telah merdeka sejak 1957, namun Malaysia masih menghadapi gelombang kedua pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) sekitar tahun 1960-an dan 1970-an dahulu. Sehingga Malaysia mengisytiharkan darurat kali kedua pada tahun 1968.

Antara serangan yang dilakukan oleh komunis adalah membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974, meletupkan Tugu Negara pada 27 Ogos 1975 dan menyerang markas Briged Tengah PPH di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada 3 September 1975. Menyebabkan dua anggota polis terbunuh dan 80 orang cedera. Mereka turut membunuh Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh, Perak pada 13 November 1975.

Kejadian-kejadian sebegini yang membuatkan F TEAM diarahkan untuk memburu anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga ke akar umbi.

Operasi F TEAM

TMT : Antara operasi-operasi yang telah dijalankan oleh F TEAM, apakah operasi yang boleh Encik Rolling ceritakan ?

Rolling : Banyak operasi yang dilaksanakan oleh F TEAM bagi menangkap anggota PKM, Pasukan Kerja Bersenjata (Armed Work Force – AWF), Kumpulan Bawah Tanah komunis dan lain-lain hal membanteras pengganas komunis. Antara operasi yang melibatkan saya ialah Operasi Kelah di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang pada tahun 1981 bagi menangkap dua pengganas komunis.

Juga Operasi Kelisa di estet kelapa sawit Kepong Meh, Mentakab, Pahang. Saya terpaksa menembak mati dua pengganas komunis kerana ketika itu mereka telah mengambil senjata untuk menyerang balas. Dua lagi pengganas komunis termasuk pemimpin kanan Pasukan Kerja Bersenjata (AWF) ke-15, pangkat District Committee Member, Wong Chew Nam atau Aw Au Suk ditembak mati oleh Camel dan anggota TEAM F lain yang terlibat dalam operasi tersebut.

Camel : Biar saya menambah. Objektif utama F TEAM adalah menangkap hidup-hidup pengganas komunis. Jika kita nak bunuh mati komunis. Senang saja. Tapi kita diarahkan untuk menangkap hidup-hidup anggota komunis sebab kita nak maklumat yang mereka ada. Kita gunakan sebagai sumber risikan bagi mengalahkan mereka semula.

Umpama seekor ular yang berbisa. Ular yang mematuk dan mengeluarkan bisa itu, ular itu jugalah yang ada penawarnya. Begitu juga tugasan F TEAM. Bila kita menangkap komunis. Kita gunakan anggota komunis yang kita tangkap itu supaya membantu kita semula.

Anggota komunis yang berpaling tadah daripada PKM kita lantik sebagai ejen kontrak dengan F TEAM dan mereka setia kepada Malaysia. Mereka inilah yang membantu kita semula bagi menggempur komunis dan mengalahkan pengganas komunis ini.

Bagi kami F TEAM, kita banteras pengganas komunis sampai habis. Umpama sebatang pokok, kalau kita cantas dahan atau rantingnya, mungkin ranting dan ranting pokok itu akan tumbuh semula. Tapi kalau kita cabut akar pokok itu sehingga habis, pokok itu pasti mati dan tidak tumbuh lagi.

Itulah yang kami lakukan. Kami cari pengganas komunis sehingga ke akar umbi. Sehingga mereka tiada lagi keturunan yang boleh menjadi pelapis. Sehinggalah tamatnya perjuangan komunis. Termeterainya Perjanjian Hatyai pada 2 Disember 1989 menandakan bahawa perjuangan senjata komunis telah tamat.

Selepas terbubarnya F TEAM

TMT : Selepas terbubarnya F TEAM, apa yang Encik Camel boleh ulas ?

Camel : Selepas Perjanjian Hatyai 1989, PKM telah meletak senjata. Pada 1 Mei 1995, F TEAM dibubarkan. Ia mungkin berkaitan pertindihan tugas dengan cawangan-cawangan lain dalam PDRM. Ramai bekas F TEAM yang masih berkhidmat ditukarkan ke bahagian lain di dalam Cawangan Khas termasuk di negeri dan daerah selain dari Bukit Aman.

Pada ketika itu, ramai juga anggota dan pegawai F TEAM yang meletak jawatan tanpa menunggu tempoh bersara wajib. Mereka ini yang tidak mendapat pencen kerajaan.

Daripada sejumlah 165 orang anggota dan pegawai F TEAM termasuk kakitangan kontrak F TEAM, kini yang masih tinggal lebih kurang 115 orang sahaja.

TMT : Bagaimana kebajikan anggota dan pegawai F TEAM kini?

Camel : Ini yang saya kesalkan dan terkilan. Kebajikan kami seolah-olah tidak terjaga. Tiada pihak yang bersungguh-sungguh menjaga kebajikan kami. Bilangan kami kini lebih kurang 115 orang. Purata umur lebih kurang 60 tahun ke atas. Ramai yang memerlukan rawatan kesihatan di hospital pakar atau hospital kerajaan.

Daripada 115 orang tersebut, lebih kurang 30 orang anggota F TEAM yang tidak mendapat rawatan kesihatan hospital kerajaan percuma. Hanya kerana mereka berhenti sebelum cukup umur persaraan. Mereka tidak mendapat pencen. Tiada ‘Guarantee Letter’ (GL) atau Surat Jaminan Kerajaan bagi mendapatkan rawatan hospital kerajaan secara percuma.

Pendapat saya, apalah salah kiranya, jika kami anggota dan pegawai F TEAM termasuk kakitangan kontrak yang lebih kurang 115 orang kini, diberikan rawatan percuma? Sakit jantung memerlukan kos rawatan yang mahal. Rawatan terbaik contohnya di Institut Jantung Negara (IJN). Tetapi mereka yang tiada GL tidak boleh menerima rawatan percuma di situ.

Taiko : Macam saya. Saya berhenti sebelum umur bersara. Saya tidak dapat rawatan percuma di hospital kerajaan. Sebab tiada GL. Adakah adil layanan sebegini ? Apakah mahal kos untuk pihak kerajaan menanggung kami yang berhempas pulas berjuang membanteras pengganas komunis. Tetapi hanya kerana berhenti sebelum umur persaraan, kami tidak mendapat apa-apa layanan istimewa daripada kerajaan.

Rolling : Sebagai contoh. Antara pegawai F TEAM yang berhenti sebelum umur persaraan adalah Cif Inspektor Abdul Kalam Suhaimi. Beliau kini memerlukan rawatan hemodialisis kerana masalah buah pinggang. Tetapi apabila beliau pergi ke Pusat Rawatan Dialisis PULAPOL, mereka meminta kad pencen. Dia mana ada pencen. Tetapi dia adalah salah seorang pegawai F TEAM yang sama-sama berjuang membanteras pengganas komunis. Adakah adil layanan sebegini? Tidakkah mereka kenang jasa-jasa kami sebagai F TEAM?

Camel : Satu lagi contoh kes. Anggota F TEAM kita yang buta mata sewaktu dalam perkhidmatan. Beliau telah dinasihati oleh pegawai atasan supaya pencen awal. Kini beliau hanya menerima pencen ilat sebanyak RM380 sebulan sahaja. Cukupkah hidup dengan bantuan RM380 sebulan itu? Berbanding dengan jasa dan pengorbanan yang dia lakukan sewaktu berjuang bersama F TEAM dahulu?

TMT : Jadi apakah yang pihak encik-encik mahu suarakan ?

Camel : Yang pertama kami mohon kebajikan kami dijaga.Salah satunya adalah rawatan kesihatan percuma. Usahlah berkira sangat dengan kami. Walaupun ada antara kami yang berhenti sebelum umur persaraan. Apalah kiranya, kami yang lebih kurang 115 orang ini, diberikan rawatan percuma untuk hospital pakar atau hospital kerajaan.

Hanya kelulusan khas sahaja daripada kerajaan membolehkan anggota dan pegawai F TEAM mendapatkan rawatan percuma tersebut. Umur kami semuanya di hujung usia. Berapa tahun sahajalah untuk kami meneruskan hidup.

Tapi kami mohon agar di hujung usia ini, kami diberi keselesaan terutamanya rawatan perubatan percuma untuk seluruh anggota dan pegawai F TEAM tanpa mengira status pencen atau tidak.

Taiko : Jika ahli sukan seperti pemain badminton, pemain bola, atau perenang serta pemain skuasy diberikan layanan istimewa kerana menyumbangkan pingat kepada negara. Jadi adakah kami ini tidak menyumbangkan apa-apa kepada keamanan negara ?

Lihatlah Malaysia kini. Aman damai. Tenang. Bebas berniaga. Ekonomi yang makmur. Atas perjuangan siapa? Siapa yang bertarung nyawa? Kami tidak bongkak atau membangga diri. Cukuplah kebajikan kami terjaga. Agar diri kami, anak-anak dan isteri kami boleh mendapat rawatan hospital percuma. Jika ada sumbangan kewangan lain pun boleh juga disalurkan bagi membantu rakan-rakan kami yang kurang berkemampuan.

Rolling : Kita mohon kerajaan pusat atau kerajaan negeri, melihat semula jasa-jasa kami dan menghargai serta menjaga kebajikan seluruh anggota dan pegawai F TEAM. Pertama dari segi rawatan perubatan kesihatan. Kedua, sumbangan kewangan yang sewajarnya. Ketiga, jika ada pengurniaan tanah kepada anggota dan pegawai F TEAM. Serta keempat, pengurniaan pingat yang sesuai kepada seluruh anggota dan pegawai F TEAM. Kerana tidak semua F TEAM mendapat pingat. Ada yang tak dapat. Kalau dapat pingat pun tidak disertai elaun kewangan. Maka mohon semua hal kebajikan ini diperbaiki.

Kesimpulan

Hasil carian di internet berkaitan F TEAM, Berita Harian pernah menyiarkan artikel bertarikh 7 Disember 2016 dengan tajuk, ‘Pasukan F, wira negara perlu dijulang’.

Satu Majlis Makan Malam ‘Pasukan F Jasamu Dikenang’ di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di Jalan Semarak yang diadakan pada 6 Disember 2016, yang turut dihadiri, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor; Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Puzi Harun dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1(M) Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin.

Ketika itu memang telah dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim tentang hal kebajikan ini. Menurut Noor Rashid, pihaknya akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk mewujudkan insentif khas berbentuk bantuan kewangan, penjagaan kebajikan dan penganugerahan pingat penghargaan kepada 161 (bilangan ahli F TEAM ketika itu) pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang pernah berkhidmat dalam pasukan F sejak ditubuhkan pada 1971.

“Jasa mereka perlu didedahkan supaya ia boleh dikenang dan diabadikan dalam lipatan sejarah negara serta dijadikan contoh oleh masyarakat.” Tambahnya, “Kebanyakan mereka sudah bersara dan ada yang meninggal dunia dan ramai juga yang uzur. Sebahagian mereka pula berkhidmat secara kontrak dalam pasukan F dan tiada pencen, justeru perlu ada satu inisiatif daripada segi kebajikan,” katanya.

Sepanjang 24 tahun penubuhan F TEAM, seramai 48 orang pengganas komunis dapat dihapuskan. Manakala seramai 171 orang pengganas komunis ditangkap di hutan dan 1,662 anggota pasukan bawah tanah PKM yang aktif di kawasan bandar serta luar bandar berjaya ditangkap.

Author