Connect with us

Ekonomi

“Ekonomi gig bukan penyelesaian masalah pengangguran belia,” – Timbalan Ketua Penerangan PKR

Jika kita melihat trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan belia lebih cenderung untuk mendapatkan ‘wang segera’ melalui sektor ekonomi gig daripada memberi fokus kepada pekerjaan tetap dan berkemahiran tinggi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ekonomi gig bukan penyelesaian masalah pengangguran belia
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Pekerjaan ekonomi gig yang didominasi anak muda hanya penyelesaian jangka masa pendek bagi menjana pendapatan tambahan bukan pekerjaan bagi jangka masa panjang.
  • Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang dikemaskini pada bulan Jun lalu, mengatakan bahawa kadar pengangguran anak muda Malaysia yang berumur 15 hingga 24 tahun mencecah 15.6 peratus berbanding tahun 2021.
  • “Kerajaan digesa mengambil tindakan drastik dan strategik bagi menangani permasalahan pengangguran dalam kalangan belia ini demi masa depan negara.”- Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat
  • Pertubuhan Buruh (ILO) Antarabangsa beri amaran bahawa anak muda berada dalam krisis pekerjaan disebabkan keperluan tenaga buruh atau pekerjaan yang ditawarkan tidak sejajar dengan minat golongan muda.
  • Ia disebabkan kerajaan didakwa lebih menumpukan peluang pekerjaan berkemahiran rendah.

KUALA LUMPUR – Jika kita melihat trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan belia lebih cenderung untuk mendapatkan ‘wang segera’ melalui sektor ekonomi gig daripada memberi fokus kepada pekerjaan tetap dan berkemahiran tinggi.

Tidak hairan, jika sebelum ini kaji selidik Jabatan Pe­rangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enggan menyambung pelajaran. 

Terbaharu, laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang dikemaskini pada bulan Jun lalu, mengatakan bahawa kadar pengangguran anak muda Malaysia yang berumur 15 hingga 24 tahun mencecah 15.6 peratus berbanding tahun 2021.

Antara faktor yang sering diketengahkan apabila melibatkan permasalahan pengangguran dalam kalangan belia adalah, ketidakpadanan dalam pasaran kerja, ketidaksetaraan gaji setimpal dengan jawatan yang dimohon, terlalu memilih pekerjaan serta kekurangan program latihan yang benar-benar berkesan untuk memenuhi keperluan industri dan sebagainya.

Mereka yang memasuki pasaran pekerjaan akan ditawarkan dengan gaji sangat rendah. Bagaimanapun, mereka tiada pilihan selain menerima tawaran tersebut supaya tidak menganggur.

Berikutan itu, kerajaan digesa untuk mengambil tindakan drastik dan strategik bagi menangani permasalahan pengangguran dalam kalangan belia ini demi masa depan negara.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, Pertubuhan Buruh (ILO) Antarabangsa memberi amaran bahawa anak muda sedang berada dalam krisis pekerjaan disebabkan keperluan tenaga buruh atau pekerjaan yang ditawarkan tidak sejajar dengan minat golongan muda.

Ia disebabkan kerajaan didakwa lebih menumpukan peluang pekerjaan berkemahiran rendah.

“Kekurangan peluang pekerjaaan yang berkualiti bagi graduan yang mempunyai kemahiran sederhana dan tinggi akan menyebabkan anak muda kita terpaksa bersaing dengan pekerja buruh asing yang bergaji rendah dan secara tidak langsung menyebabkan produktiviti dan inovasi buruh negara merundum dan kualiti kehidupan rakyat Malaysia turut menurun.

“Kerajaan harus mengambil serius dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk membantu industri pekerjaan menjalani transformasi supaya industri negara kita secara pantas bertukar pergantungan kepada teknologi baru, meningkatkan produktiviti lantas mampu menawarkan peluang pekerjaan yang menarik dan bernilai tinggi kepada golongan anak muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata pekerjaan ekonomi gig yang didominasi golongan anak muda sekarang bukan satu penyelesaian baik dan bukan pekerjaan bagi jangka masa panjang.

Ia berikutan ekonomi gig jelasnya, hanya penyelesaian jangka masa pendek bagi menjana pendapatan tambahan anak muda dan kerajaan sepatutnya melatih anak muda menguasai kemahiran yang mampu menjana lebih banyak pendapatan.

“Anak muda kini menghadapi situasi yang sukar melihatkan kepada prospek masa depan pekerjaan tetap yang terjejas teruk dan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk “wang segera” melalui sektor ekonomi gig yang tidak mampan disebabkan kekurangan peluang pekerjaan yang bermaruah,” ujarnya lagi.

Sumber : Astro Awani

 

Author