Connect with us

Terkini

Keadilan Islam, antara faktor Siti Nuramira tidak didakwa di Mahkamah Syariah

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan berkata, terdapat tiga faktor menyebabkan wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi minggu lalu tidak didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini, lapor Sinar Harian.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

keadilan islam siti nuramira abdullah
Foto: Siti Nuramira Abdullah, Sumber Bernama.
  • Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan berkata terdapat tiga faktor yang  menyebabkan Siti Nuramira tidak didakwa di Mahkamah Syariah.
  • Faktor pertama, bertujuan mengelak wanita itu daripada dituduh atas kes yang sama, di dua mahkamah berbeza.
  • Faktor kedua, memelihara tujuan syarak dari sudut pentadbiran keadilan memandangkan pertuduhan dibawa kedua-dua mahkamah bakal mencapai matlamat sama.
  • Faktor ketiga, Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat sesuai dengan matlamat syariah yang menekankan ta’dib atau mendidik.

KUALA LUMPUR – Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan berkata, terdapat tiga faktor menyebabkan wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi minggu lalu tidak didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini, lapor Sinar Harian.

Katanya , faktor utama yang diambil kira semasa membuat keputusan tidak meneruskan pertuduhan terhadap Siti Nuramira Abdullah, 26, adalah bertujuan mengelak wanita itu dituduh atas kes yang sama, di dua mahkamah berbeza.

Beliau berkata, mengikut jadual asal Siti Nuramira sepatutnya didakwa di mahkamah ini, mengikut Seksyen 58 (2) Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 181 Akta 560 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1997.

Jelasnya berkenaan faktor kedua pula, pertuduhan jenayah bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan sudah dimulakan di Mahkamah Sesyen di sini pada 13 Julai lalu.

“Ia bagi memelihara tujuan syarak dari sudut pentadbiran keadilan, iaitu mengelakkan wanita itu dituduh di dua mahkamah yang berbeza, bagi mencapai matlamat yang sama iaitu untuk dihukum atas kesalahan yang dilakukan.

“Faktor ketiga, Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

“Sesuai dengan maqasid iaitu matlamat syariah yang menekankan pendekatan ta’dib atau mendidik, dalam pentadbiran jenayah syariah, diharap dapat membawa kembali tertuduh ke arah amalan Islam sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes berkenaan sudah didaftarkan pada 13 Julai lalu dan sebutan pertama ditetapkan pada keesokkan harinya, tetapi ditangguhkan pada 21 Julai.

Menurutnya, wanita itu ditahan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada Selasa untuk siasatan lanjut.

Siti Nuramira terdahulu telah ditahan oleh penguatkuasa JAWI  selepas dilepaskan dengan ikat jamin di Mahkamah Sesyen namun tidak lama kemudian turut terlepas daripada didakwa ke Mahkamah Tinggi Syariah hari ini.

Pada 13 Julai, The Merdeka Times melaporkan Siti Nuramira atau turut dikenali dengan Amy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan sesama Islam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengaku seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Sumber : Sinar Harian

Author